ENAM : TERIKAT SELAMANYA

Mature Content Series 260

Racun tikus di dalam minuman. Roy mencuba — tapi tangannya menggigil. Akhirnya, minuman itu dituang semula ke dalam sinki.

Pisau di tangan. Segalanya kelihatan terlalu mudah. Papanya sedang menadah diri di ruang tamu. Di rumah ini, cuma mereka berdua. Satu tikaman — dan dendam Devon akan terbalas.

Langkahnya mendekat. Pisau diangkat. Tapi saat papanya memalingkan tubuh, keberaniannya hilang — lagi.

Dia benar-benar ingin menjerit sekuat hati.

Ini bukan kali pertama dia 'membunuh' papanya. Sudah berkali-kali dalam fikirannya, dengan pelbagai cara. Tapi di dunia nyata, dia terlalu lemah. Tangannya tak pernah berhenti menggigil. Dan hatinya... tak pernah mengizinkan.

Lima belas tahun. Begitu lama dia mencuba membunuh raksasa itu. Terlalu banyak peluang — dan dia tetap gagal. Sehinggalah tiga bulan lalu, Roy akhirnya melihat 'dia'.

TIGA BULAN LALU.

Hujan lebat. Kilat saling menyerang seperti medan perang. Begitu juga telefon Roy — berbunyi tanpa henti.

Papanya menghilang tanpa dikesan. Telefon bimbit ditemui di luar pagar rumah. Tapi rumah itu kosong.

Roy mengeluh. Dia mahu lelaki tua itu mati. Tapi keganjilan situasi ini menyesakkan. Papanya tak pernah hilang begitu saja. Bahkan untuk melampiaskan nafsunya sekalipun, pengawal peribadi pasti akan tahu lebih awal.

Dia sudah cari di setiap sudut rumah. Kecuali...

Roy berdiri di hadapan pintu menuju ruang bawah tanah — neraka ciptaan ayahnya. Tempat lelaki itu 'bermain' dengan mangsa.

Nafasnya tertahan. Kenangan tujuh tahun lalu masih menghantuinya — papanya sedang menjahanamkan seorang remaja lelaki sebaya dirinya.

Dia menarik buku di rak. Klik. Pintu terbuka secara mekanikal.

Perkara pertama yang dia dengar?

Bunyi kereta.

Roy mengintai. Lampu Mercedes-Benz G63 AMG 6x6 milik papanya baru sahaja terpadam. Seorang gadis melangkah turun dari tempat duduk pemandu.

Langkahnya perlahan. Longlai. Tapi tak terhenti walau kaki kanannya memijak sesuatu.

Darah Roy berderau.

Tubuh papanya.

Kaki lelaki itu hampir leper — digilis. Entah masih hidup atau sudah mati. Tapi gadis itu langsung tak memandangnya. Dia terus berjalan... ke arah Roy.

Roy kaku. Mahu lari, tapi tubuhnya beku. Kakinya terpaku ke lantai.

Dan akhirnya gadis itu berdiri di hadapannya.

Roy tak tahu — adakah ini akhirnya? Kalau dia mati pun... sekurangnya, dendamnya sudah terbalas.

Mata mereka bertaut.

Mata gadis itu... kosong. Tanpa sedikit pun perasaan.

Kemudian, dia melangkah pergi. Meninggalkan Roy terjelopok di situ — longlai, seolah seluruh tenaganya hilang dibawa gadis itu bersamanya.

Mungkin benar kata orang, nyawa orang jahat sangat liat. Mungkin nyawa papanya juga akan lebih panjang darinya.

Roy menyerah. Hampir.

Ketika pertemuan keduanya dengan gadis itu sebulan lalu, Roy yakin lelaki tua itu memang ditakdirkan untuk mati. Hanya sebulan yang diperlukan. Dan sekarang, lelaki itu sedang terbakar dalam neraka yang dia sendiri pernah ciptakan.

Segalanya kerana dia. Roy berpaling memandang May di sisinya.

May masih lagi memandang kosong ke arah api yang semakin perlahan. Rasa itu masih... kosong. Sama seperti saat Zack berada di udara di hadapan matanya, tiga bulan yang lalu. Sama seperti malam dua minggu selepas kematian Zack — tika dia berkali-kali menikam kaki makhluk yang merampas Zack daripadanya.

Masih kosong, seperti saat dia menghentak kaki lelaki itu, membiarkannya menjerit kesakitan.

Terlalu kosong, ketika dia membaringkan tubuh yang terikat itu ke lantai — dan menggunakan kelima-lima kereta mewah milik lelaki itu sendiri untuk menggilis kakinya, sehingga lelaki itu meraung.

Dan tetap tidak terisi di saat ini — ketika tubuh lelaki itu sedang rentung di hadapannya.

Seolah-olah abangnya yang sentiasa bersamanya dari dalam perut ibu mereka... telah membawa pergi segala rasa yang pernah ada.

"Terima kasih. Untuk hari ni."

Suara Roy membawa May kembali ke dunia nyata. May memandang ke arahnya. Mata mereka bertaut lagi. Mata May masih kosong — tanpa makna.

"Macam yang aku janji, aku akan bayar kau mahal untuk semua ni."

Roy mula bergerak ke arah pintu. Sepuluh lelaki yang sudah kehilangan tenaga di lantai dilangkah begitu sahaja. Mereka umpama prop dalam drama — langsung tak penting. Yang dia tahu, dia mahu segera meninggalkan tempat itu.

Biarpun tempat ini menyaksikan dendamnya terlunas... traumanya masih belum terpadam.

"Roy!"

Langkahnya terhenti. Dia berpaling.

"Ke...na...pa?"

Hanya itu soalan terakhir yang sempat ditanya Roy sebelum tubuhnya terasa lemah — dan dia rebah ke lantai, persis sepuluh lelaki tadi. Pandangannya kabur. Kepalanya berpusing. Semuanya menjadi gelap.

May masih berdiri, selongsong di tangannya. Gas berwarna gelap memenuhi ruang, tapi wajahnya tenang. Tiada kesan apa-apa padanya.

Gas itu dicampakkan ke lantai. Dan dia melutut di sebelah tubuh Roy.

"Bayaran aku, aku ambil sendiri."

Dia menyelongkar poket Roy. Menemui telefon bimbit. Kod kunci dipecahkan dengan mudah. May berdehem kecil, dan satu panggilan dibuat.

"To...long..."

Telefon itu dicampakkan kembali ke sisi Roy — tanpa menamatkan panggilan. Tidak dipedulikan siapa yang menjawab.

Dia bangun. Melangkah pergi, meninggalkan 11 tubuh tidak sedarkan diri, menuju ke kamar yang pernah menjadi tempat segala kegelapan bermula.

Tempat di mana semua harta disimpan.

"Kenapa kau tak bunuh je dia?"

Suara itu menyapa saat May membuka peti besi di balik lukisan.

"Kenapa aku perlu bunuh dia?"

Tenang dia menjawab, sambil mengaut jongkong-jongkong emas ke dalam beg.

"Dia keturunan orang yang bunuh aku."

Jawapan itu — simple. Tapi cukup untuk membangkitkan rasa yang cuba dipendam. Amarah.

May berpaling, membaling jongkong emas ke arah lelaki yang bersuara.

Tapi gagal. Jongkong itu hanya menembusi tubuh lut sinarnya.

"Dia tak bunuh kau! Kau bunuh diri! Kau pilih untuk mungkir janji kau dengan aku!"

Suara May penuh dendam.

Zack memandangnya. Sayu.

"Aku tahu. Semua ni salah aku. Maafkan aku. Maafkan diri kau jugak. Lepaskan aku pergi, May. Teruskan hidup kau. Semuanya dah selesai sekarang."

May menggeleng perlahan.

"Aku takkan pernah lepaskan kau sampai aku mati. Tu hukuman untuk kau sebab mungkir janji."

Dia berpaling ke arah peti besi. Sambung kembali kerjanya.

"Dan hukuman untuk aku sebab gagal selamatkan kau."

SO MACAMMANA?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience