"Merdeka"
"Merdeka"
"Hisssshhhh.. awal pagi sudah membingit orang tua gila tu. Huh!" Adam
mengomel.
Bantalnya ditarik menutup kepalanya. Lebih tepat lagi, telinganya. Jarum
jam sudah menunjukkan angka enam. Adam masih bergumpal dengan
selimutnya. Semalam Adam tidur lewat. Main game semalaman membuatkan
Adam lupa untuk menjaga kesihatan diri.
"Merdeka"
Sekali lagi suara itu melaungkan "Merdeka" yang mengganggu tidur Adam.
Adam membuka selimutnya dengan kasar. Bantal dibuang ke lantai.
"Apa aku nak buat dengan orang gila ni?"
"Apaaa?? Eeee!" Adam menanya diri sendiri. Tekanan menguasai diri.
Tangannya memegang kepala. Rambutnya kusut-masai sekusut hatinya.
"Merdeka" suara itu semakin menjauh. Adam menghembus nafas, lega
sedikit. Otaknya mencerna untuk tidur kembali. Automatik badannya
terbaring dan terus menutup matanya. Tidak lama kemudian, kedengaran
daun pintu diketuk. Adam menggerakkan tubuhnya sedikit. Resah menguasai.
"Adam tak bangun solat, nak?" Suara lembut ibu dari luar. Aduh..ibuku
sayang. Saat inilah juga tidurku enak digoyah-goyah, keluh Adam.
"Baik, ibu" jawab lembut Adam. Kepalanya digaru-garu. Namun, mata masih
terpejam. Hatinya berbolak-balik hendak tidur sekejap atau bangun
dahulu. Atau selepas solat tidurlah balik, rancang Adam. Selimut yang
empuk itu dipegang. Wahh sejuknya, nyaman tidur ni. Lagi Adam
berkata-kata dalam hati.
"Merdeka"
"Merdekaaaa" Lagi panjang dilaungkan dengan gembira. Adam bangun.
Hatinya sangat membara. Marah. Kenapakah juga hari ini malang baginya,
getus hatinya yang ditekan-tekan sakit.
Share this novel