PROLOG

Romance Series 156474

SUASANA malam di pelantar Celestia agak dingin. Angin berhembus kencang namun tidak membuat Luthfi, Jimi dan beberapa rakan mereka beranjak. Duduk bersantai dengan joran masing-masing. Tidak terlalu mengharapkan hasilnya, hanya membuang waktu sementara menunggu kantuk menjengah.

“Sofea baru hantar gambar Eshal.” Jimi menunjukkan gambar anaknya yang berusia setahun kepada Luthfi.

“Sebijik muka kau,” ujar Luthfi setelah mengerling sekilas skrin telefon Jimi.

Tiada jawapan daripada Jimi. Tersengih-sengih menatal skrin telefonnya sebelum suara kecil menyebut ‘pa’ singgah di indera pendengaran Luthfi.

“Dia dah pandai sebut pa. Ni yang buat aku tak sabar nak balik ni.”

“Lambat lagi bro. Baru semalam masuk.” Luthfi menjawab seadanya. Sedikit tersinggung apabila Jimi asyik bercerita tentang anak. Sedangkan dia dan Eliza masih belum dikurniakan anak walaupun sudah tiga tahun usia perkahwinan mereka. Namun mereka tidak menjadikan itu satu kekurangan. Lambat diberi cahaya mata bermakna Tuhan mahu mereka meluangkan lebih banyak masa berdua. Merajut kasih dan mencipta sebanyak mungkin kenangan manis untuk disimpan dalam memori.

“Kalau aku mati dulu, kau tolonglah tengok-tengokkan anak bini aku. Sofea tu anak tunggal. Mak ayah dia dah meninggal. Pakcik makcik dia macam tak boleh diharap sangat.”

“Insya-Allah kau panjang umur boleh jaga Eishal sampai dia beranak bercucu.”

“Harap-harapnya macam tu lah.”

Hening. Luthfi dan Jimi kembali fokus kepada joran masing-masing yang belum mendapat hasil. Namun isi kepala mereka memikirkan perkara yang sama.

Anak!

.
. .

"THERE'S an increase in gas flow and there has been a fire in the shaker!"

Laporan yang diterima itu membuat Luthfi mengarahkan penggerudi mematikan pam, meninggalkan lantai pelantar dan pergi ke bottom hole assembly untuk menutup telaga.

Namun kelambatan mengesan peningkatan aliran gas itu membuat kebakaran mula merebak sehingga mencetuskan letupan.

Ketenangan di pelantar serta-merta bertukar riuh-rendah. Pelan tindak balas kecemasan diaktifkan.

KEBAKARAN berjaya dipadamkan dalam masa 16 minit.

Luthfi bertinggung sambil menyembamkan wajahnya ke lutut. Insiden yang kali pertama berlaku sepanjang dia bekerja dan mengorbankan nyawa Jimi serta tiga lagi rakan mereka.

Kevin yang melihat keadaan Luthfi itu, mendekat.

"It's not your fault," ujarnya sambil menepuk-nepuk bahu Luthfi.

"It's my fault!" Sedikit meninggi suara Luthfi. "...because I was there, supervise the operations...I am the one responsible for monitoring safety and ensure the good maintenance of the well, I'm the one responsible for coordinating and supervising the work of the drilling team but..." Luthfi tidak mampu meneruskan kata-katanya.

"But this accident has nothing to do with the safety and maintenance of the well! Belum tahu apa punca tekanan gas tiba-tiba meningkat and I'm sure that's not your fault."

Luthfi diam. Sungguh dia benar-benar terpukul dengan apa yang berlaku. Walaupun bukan salahnya, tetapi dia terkilan kerana kemalangan itu berlaku semasa seliaannya.

Baru beberapa hari lepas dia berbual dengan Jimi tentang anaknya. Betapa tidak sabarnya Jimi mahu pulang bertemu isteri dan anaknya. Namun sekarang, lelaki itu mungkin sudah rentung tidak bernyawa. Tuhan, tidak dapat dia bayangkan bagaimana reaksi isteri dan keluarga Jimi.

SUASANA pilu menyelubungi tanah perkuburan Taman Sentosa. Jenazah Jimi sudah selamat dikebumikan. Luthfi menunggu sehingga semua pulang sebelum dia mendekati Sofea yang masih berteleku di depan pusara suaminya. Eliza dia suruh menemaninya kerana tidak mahu menimbulkan curiga dan fitnah.

“Sofea…” panggilnya.

Sofea toleh. Matanya yang sembap menatap Luthfi dengan tatapan kosong.

“Jimi…pernah pesan dengan saya. Kalau dia tak ada, dia mintak saya tengok-tengokkan awak dengan Eshal. Jadi…” Luthfi jeda. Melirik Eliza untuk memastikan isterinya itu mendengar apa yang dia mahu perkatakan walaupun perkara itu sudah mereka bincangkan semalam.

“...kalau awak ada masalah, atau nak mintak tolong apa-apa, awak boleh cari saya. Kalau saya tak ada, awak boleh cari isteri saya,” sambungnya.

Sofea sekadar mengangguk sebelum kembali menatap pusara suaminya.

Share this novel

arizah hashim
2024-10-16 22:07:30 

Akhirnya selesai sudah sayangku Eliza. Alhamdulillah, ending yg sngt cantik dan membahagialan hati pembaca. Karya cikgu Calyta mmg tak pernah mengecewakan. Semoga Calyta sentiasa sihat dlm rahmatNYA dan terus berkarya sambil mendidk

Guest User
2024-08-21 17:31:43 

test_account

Nordiana Kasmir
2024-08-21 06:01:28 

tak update ke cikgu


NovelPlus Premium

The best ads free experience