FAAEQ membawa langkah panjangnya memasuki Villa Mawar milik Tan Sri Ghazi. Masih sama seperti kali terakhir dia melihatnya empat tahun lalu. Ya, empat tahun. Ketika dia dia datang menjejak Mayleia. Namun diberitahu isterinya itu sudah berlepas ke US untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik. Namun empat tahun pencarian masih tidak membuahkan hasil membuat dia mula curiga.
“Tuan Faaeq.” Mak Jidah muncul dari arah dapur dengan senyum ramah.
“Dah empat tahun. Tapi Mawar masih di US.”
Entah itu pertanyaan atau pernyataan, namun berhasil membuat jantung Mak jidah berdegup kencang. Namun dia berusaha menutupinya dengan senyuman.
“Agaknya dia nak terus kerja kat sana. Bidang muzik, jauh mana sangatlah boleh pergi kalau kat Malaysia ni,” jawabnya.
“Hmmm...” Faaeq mengangguk-angguk. Tanpa melabuhkan duduk, matanya terus melilau mengitari ruang utama yang didominasi warna biru dan putih itu. Saat matanya menancap pada foto pernikahannya dengan Mayleia yang terpajang di dinding, perlahan dia menapak ke arah itu.
“Berapa umur dia sekarang?” Faaeq menggumam sambil mengira dengan jemarinya walaupun kiraan semudah itu hanya boleh dicongak dalam kepala.
“24...” Dia berbicara sendiri sebelum menoleh ke arah Mak Jidah. “24 kan?”
“Betul.” Mak Jidah tetap tersenyum. Dalam hati, bermacam doa dan jampi serapah dia hembuskan supaya Faaeq segera beredar.
“Dia takde call Mak Jidah?” tanya Faaeq.
“Takde.”
“Dia ambil course muzik?”
“A’ah.”
“Dia main instrumen apa?”
“Piano.” Ah, lagi-lagi Mak Jidah terpaksa berbohong.
Mata Faaeq melilau. Mencari jika ada grand piano di mana-mana sudut ruang itu. Namun tidak ada.
“Saya tak nampak pun piano kat sini,” ujarnya.
“Oh...ada kat pavilion. May selalu main piano kat situ.”
“I see.”
“Tuan Faaeq nak makan? Makcik boleh siapkan.” Mak Jidah cuba ubah topik supaya Faaeq tidak terus menyoal tentang Mayleia.
“Boleh jugak.”
“Tuan nak makan apa?”
“Masak apa yang Mawar suka.”
“Oh...” Mak Jidah tercenung sejenak. Kenapa tiba-tiba Faaeq mahu makan makanan kegemaran Mayleia?
“Boleh?” Faaeq bertanya apabila Mak Jidah nampak ragu.
“Ah...boleh...boleh... Tuan Faaeq duduklah dulu.”
“Saya rehat kat bilik Mawar.”
“Bilik Mawar kat...”
“Saya tahu...” Faaeq menyela sebelum sempat Mak Jidah menyudahkan kata-katanya. Tanpa mempedulikan Mak Jidah yang nampak terkulat-kulat, dia terus membawa langkah panjangnya menuju tangga sebelum menapak ke tingkat atas.
Mak Jidah memerhati dengan dada beramuk bimbang. Gaya Faaeq seperti lelaki itu sudah dapat menghidu penipuan Mayleia. Setiap pertanyaannya tidak menunjukkan dia benar-benar ingin tahu, tetapi lebih kepada menguji.
“Dia dah tahu ke...?” gumamnya. Tetapi mengingat selama ini dia dan Sabri sudah menjaga rahsia Mayleia dengan cukup rapi, dia yakin Faaeq belum tahu. Lega dengan andaian, dia beredar ke dapur untuk memasak.
FAAEQ melangkah masuk ke bilik Mayleia. Lagi-lagi matanya dijamu dengan dominasi warna biru dan putih. Sejuk dan tenang. Dekorasi ringkas, moden dan minimalis. Mungkin menggambarkan personaliti pemiliknya.
Faaeq melabuhkan punggung di birai katil. Laci meja di sisi katil ditarik sebelum sebuah sampul menarik perhatiannya. Segera dicapai sampul itu lalu menarik keluar isinya. Matanya menelusuri setiap perkataan pada borang yang sudah lengkap diisi itu sebelum terhenti pada sebab-sebab yang dikemukakan oleh Mayleia untuk bercerai. Perbezaan usia yang sangat jauh, diabaikan nafkah batin sejak hari pertama bernikah, ingin mengejar cita-cita sebagai pemuzik.
Dia menggeleng. Alasan kedua itu membuat tawa halus meletus dari bibirnya. Nafkah batin? Apa Mayleia sendiri yang menulis alasan itu atau ada seseorang yang mengajarnya? Empat tahun lalu, usianya baru 20 tahun. Apa yang dia tahu tentang nafkah batin? Dan mereka berkahwin pun ketika Mayleia baru berusia 18 tahun. Tidak mungkin Mayleia mengharapkan nafkah batin sebagaimana pasangan yang bernikah pada usia matang.
Faaeq menyimpan semula sampul itu ke dalam laci sebelum dia bangun lalu melangkah ke walk in closet. Pakaian-pakaian Mayleia tergantung rapi. Yang dilipat pula tersusun kemas. Sepertinya pembantu rumah rutin mengemas bilik ini walaupun Mayleia tidak ada.
Matanya melingas mengitari ruang pakaian yang luas itu. Laci paling atas island closet dia tarik. Berkerut dahinya melihat cincin yang tidak asing di matanya. Cincin yang dia sarungkan ke jari manis Mayleia pada hari pernikahan mereka.
Jadi Mayleia benar-benar mahu memutuskan ikatan pernikahan mereka dan hidup sebagai wanita bujang?
Satu sudut bibirnya tertarik ke atas. Mayleia mahu bercerai? Jangan mimpi!
Cincin itu dia capai. Meniliknya sejenak sebelum menyimpannya di dalam saku seluar.
Tidak tahu apa lagi yang harus dicari, dia melangkah turun. Pavilion yang terletak bersebelahan villa dituju. Benar kata Mak Jidah. Ada sebuah piano di situ. Jemarinya menekan key secara rawak, membentuk melodi sumbang yang menyakitkan telinga.
“No...” Dia menggumam sendiri. “...not piano.”
Melabuhkan punggung di bangku, jemarinya mula menekan key. Satu persatu. Sebelum melodi lagu Nuvole Bianche berkumandang. Salah satu lagu yang notnya terakam kemas di kepalanya. Nuvole Bianche atau White Clouds. Melodi yang sangat indah dan sesuai tajuknya.
“Macam lain bunyinya.”
Suara yang menyapa sebaik sahaja lagu itu tamat membuat dia menoleh. Danish. Entah sejak bila lelaki itu berdiri di pintu pavilion.
Faaeq tidak menjawab walaupun dia ada jawapan untuk itu. Namun belum masanya untuk memberitahu Danish.
FAAEQ memerhatikan hidangan di atas meja. Sup tomato, pasta, zuchini panggang dan ayam tempura.
“Kenapa tuan? Ada nak tambah apa-apa ke?” tanya Mak Jidah apabila melihat Faaeq hanya merenung makanan itu tanpa menjamahnya.
“Ni...makanan yang Mawar suka?” tanya Faaeq tanpa menjawab pertanyaan Mak Jidah.
“Ya,” jawab Mak Jidah. Tertunggu-tunggu jika Faaeq mahu bertanya lanjut atau mahu melontar apa-apa komen, namun lelaki itu diam saja.
“Ada yang tak kena ke?” Danish pula bertanya.
Tiada jawapan daripada Faaeq. Pasta di pinggannya diputar pada garpu sebelum dibawa ke mulutnya.
Danish yang melihat Faaeq mula makan, ikut menjamah makanan yang sudah dihidang itu. Dalam hati tertanya-tanya dengan reaksi Faaeq. Lebih 10 tahun bekerja dengan Faaeq, membuat dia cukup masak dengan setiap riak yang terpapar pada wajah bossnya itu. Namun sekarang bukan masa yang tepat untuk bertanya.
“THEY lie.”
Danish yang sedang memandu memandang Faaeq melalui cermin pandang belakang.
“Who?” tanyanya.
“The maid, the driver, Mawar.”
Dahi Danish berkerut dalam. “I don’t understand.”
“Mak Jidah bagitahu I, Mawar main piano. But actually it’s not. Dia bukan main piano.”
“How’d you know?”
“Piano dekat pavilion tadi cuma ada 61 keys. Real pianist yang bercita-cita nak lanjutkan pelajaran dalam bidang muzik dan bina kerjaya dalam bidang tu, takkan guna piano 61 keys. They will use full piano with 88 keys. I tak rasa dia ke US dengan kemahiran basic. At least kalau nak further study dalam bidang muzik, dia dah gred 8.”
Danish mengangguk-angguk. Bersetuju dengan Faaeq.
“So, I tak rasa dia main piano.”
“Right.”
“And...makanan tadi. I suruh Mak Jidah masak apa yang Mawar suka. Tapi dia masak apa yang Mawar tak suka.”
“Maksud you?”
“She hates tomatoes and she hates zuchini,” ujar Faaeq. Beberapa kali bertemu dalam perjumpaan keluarga, dia sempat memerhatikan tabiat makan Mayleia. Sejak kecil sehingga menginjak usia remaja, Mayleia tidak sukakan masakan berasaskan tomato. Dan zuchini juga musuh ketatnya. Dia tidak rasa selera Mayleia sudah berubah kerana kali terakhir bertemu, semasa majlis tahlil Tan Sri Ghazi, Mayleia tetap tidak menjamah makanan yang ada tomato. Spageti bolognese, sup tomato, nasi tomato, salad tomato. Dan dia tidak rasa Mak Jidah lupa selera Mayleia kerana wanita itu yang mengasuh Mayleia sejak kecil.
“Kenapa Mak Jidah buat macam tu?
“I don’t know. Mungkin Mawar yang suruh. Atau mungkin dia tak nak I tahu tentang Mawar. Whereas without her knowledge, I knew a lot about Mawar.”
Danish tertawa perlahan. Bukan mudah untuk menipu Faaeq. Sekalipun berhasil, penipuan itu tidak akan bertahan lama. Lambat laun lelaki itu pasti tahu.
“Kalau dia boleh tipu I tentang tu, tak mustahil...Mawar sebenarnya bukan ke US.”
Kali ini mata Danish membuntang sempurna. Faaeq dijeling melalui cermin pandang belakang. Tampang lelaki itu menggelap. Menunjukkan emosinya sedang beramuk di dalam. Mungkin marah kerana ditipu. Apatah lagi panggilan Mawar empat tahun lalu membuat khabar angin kurang enak tentang Faaeq terus menjadi buah mulut sehingga sekarang.
“So, what are you gonna’ do?” tanyanya.
Tiada jawapan daripada Faaeq. Tidak perlu ditanya, sudah tentu dia akan mencari Mayleia sampai dapat dan memastikan gadis itu membayar harga yang setimpal untuk pencarian yang sia-sia selama empat tahun ini serta khabar tidak enak yang bertebaran tentang dirinya.
.
.
.
“DARI sumber-sumber dalaman kita, I dapat maklumat yang Mawar akan balik Malaysia Sabtu ni untuk mesyuarat agung Ghazij minggu depan.”
Berita yang dibawa Danish itu membuat satu sudut bibir Faaeq terangkat. Akhirnya...Mawar pulang juga.
“Arrival 4.30 petang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang,” ujar Danish lagi.
“Hantar orang kita ke KLIA1, KLIA2 dan Subang bermula hari ni.”
“Hmm?” Sedikit terjongket kening Danish dengan arahan Faaeq. Hari ini baru Selasa. Sebelum Sabtu ada Rabu, Khamis, dan Jumaat. Apa sebegitu rindukah Faaeq pada isterinya sehingga perlu mengarah orang berkampung di 3 buah lapangan terbang empat malam berturut-turut?
“Bermula hari ni sampai hari mesyuarat agung Ghazij”
Kali ini mulut Danish ternganga luas. Jemari mula mengira jumlah hari orang-orang mereka perlu berada di 3 lapangan terbang itu. Lapan hari! Gila! Apa ke jadah orang yang ditunggu sudah mendarat, mereka perlu menunggu lagi di lapangan terbang?
“Jangan polos Danish. I tak rasa maklumat tu disebarkan sekadar untuk suka-suka. Mawar tahu kita masih cari dia. Jadi dia sengaja leak maklumat tu untuk kelirukan kita. I tak rasa dia akan touch down hari Sabtu di Subang. Mungkin hari lain, waktu lain, airport lain.”
“Ah...” Danish mengangguk-angguk. Baru dia faham.
Faaeq pula mengoyak senyum sinis. Mayleia...berbohong untuk disangka benar. Bercakap benar supaya disangka berbohong.
Ya, kali ini dia tidak akan tertipu lagi.
SETIAP hari bermula hari itu, beberapa orang yang diupah Faaeq untuk memerhati di lapangan terbang menghantar laporan. Namun sehingga pagi Sabtu, tiada tanda-tanda Mayleia sudah tiba di Malaysia.
“It’s okay. Keep watch,” ujar Faaeq setiap kali mendapat berita yang menghampakan itu.
Dia tidak kecewa. Malah semakin seronok bermain-main dengan Mayleia. Setiap permainan pasti ada penamat. Dan di setiap penamat pasti ada pemenang.
Dia tidak akan mendesak atau terburu-buru. Tetapi dengan perlahan dia akan memastikan Mayleia masuk ke jeratnya.
“BOSS,I dah nampak someone who looks like Puan Mawar. Ada Datuk Jamil dan Madam Alicia dengan dia.”
Akhirnya Faaeq menerima berita itu tepat jam lima petang hari Sabtu dari orangnya yang berada di KLIA1
“You nampak muka dia?”
“She wears mask tapi feature tubuh dia macam Puan Mawar.”
“Okay, follow her.”
DARI pesawat peribadi milik Tan Sri Ghazi, Mawar membawa langkahnya menuju balai ketibaan. Menunggu sekejap untuk urusan imigresen sebelum keluar menuju lobi. Topi diturunkan sedikit untuk menutupi wajahnya. Kata Datuk Jamil, sebuah sedan hitam sudah menunggunya di luar. Pemandu itu tahu ke mana harus menghantarnya.
Tepat saat dia keluar dari pintu lobi, dia melihat sebuah kereta hitam sedang menunggu. Segera dibawa langkahnya ke arah itu. Sempat dia melihat nombor plat kereta untuk memastikan ia sama dengan nombor plat yang dihantar Datuk Jamil. Setelah pasti ia kereta yang betul, barulah dia meloloskan tubuhnya ke tempat duduk penumpang.
Saat kereta mula bergerak meninggalkan lapangan terbang, Mayleia menanggalkan topinya. Kepala disandarkan pada headrest sambil mata membuang pandang ke luar. Empat tahun. Akhirnya dia kembali ke tanah air. Masih samar-samar akan bagaimana kehidupannya bermula esok. Dengan usianya yang masih muda dan mentah, apalah yang dia tahu tentang menguruskan sebuah syarikat. Hanya sedikit gambaran daripada laporan yang dibaca dan penerangan oleh Datuk Jamil dan Alicia rasanya belum cukup untuk dia mengangkat dirinya sebagai ketua sebuah syarikat besar. Tetapi pujukan Datuk Jamil yang sudah seperti bapanya tidak mampu juga dia abaikan. Akhirnya di sinilah dia. Separuh menyesal, separuh berharap supaya semuanya baik-baik saja.
Lamunan Mayleia sirna dek bunyi telefon pemandunya. Mayleia mengagak, mungkin panggilan itu dari Datuk Jamil. Pemandu itu juga tidak bercakap banyak. Hanya diam mendengar sebelum memutuskan panggilan.
“Datuk Jamil ke?” tanya Mayleia.
“Bukan.”
“Oh...” Mayleia tidak bertanya lanjut. Kembali membuang pandang ke luar. Namun sesaat kemudian, dia menegakkan tubuhnya apabila tiba-tiba pemandu itu memberhentikan keretanya di pinggir jalan.
“Kenapa berhenti?” tanyanya.
Tidak menjawab, pemandu itu memusingkan sedikit tubuhnya memandang Mayleia di belakang. Topi ditanggalkan sebelum dia tersenyum melihat wajah pucat Mayleia.
“Hallo wife.”
Share this novel
akhirnya, muncul jg, tq cg
hari² bukak,tgk ade update x..penantian 1 penyiksaan.. x sabar nk tnggu setan & neraka..hihihi
tq cg, tk apa dfhmi ksibukkn itu, cuma sorry klu rasa trdesak, penulisan cg the best, buat kami tk sbr2 tggu next