BAB 1

Romance Series 6157

BUNYI alarm membuat Arman terjaga. Dengan berat, dia mengangkat tubuhnya lalu bersandar pada kepala katil. Masih berusaha mengembalikan tenaga dan kesedaran dek tidur yang tidak begitu lena. Dia mengerling jam di dinding. Pukul lima pagi.

Di sebelah, Nadira masih lena. berpeluk bantal peluk panjang. Bibirnya sedikit terbuka dan rambutnya berselerakan menutupi muka.

Arman turun dari katil dengan berhati-hati, bimbang mengejutkan Nadira. Dia tahu apa akibatnya jika Nadira bangun terlalu awal. Muka masam, marah-marah, dan satu rumah akan jadi tegang sebelum Subuh.

Masuk dapur, dia mula memasak nasi. Kemudian, dia goreng ayam yang sudah diperap dengan garam kunyit sebelum tidur semalam. Sementara menunggu ayam garing, dia buat sambal kicap.

“Papa…”

Suara kecil yang tiba-tiba muncul dari arah belakang itu membuat dia menoleh

Arash berdiri di sana sambil menggosok mata.

Arman tersenyum. Anak lelakinya yang sulung. Lahir hanya tujuh minit lebih awal daripada Arisya. Kedua-duanya lima tahun, baru mula tadika. Satu-satunya alasan dia masih bernafas dengan waras.

“Awalnya bangun,” ujarnya sambil mengangkat Arash duduk di bangku kecil dapur.

“Tak boleh tidur…Lapar. Arisya pun dah bangun, tapi dia baring lagi,” jawab Arash.

Arman diam-diam mengeluh. Terkilan dengan Nadira yang tidak begitu peduli dengan anak-anak. Sibuk dengan live TikTok yang entah berapa sangat hasilnya. Sudah berapa kali dilarang, namun Nadira tetap berdegil.

"Nanti kejap lagi ayam masak, kita makan, okey?" pujuk Arman.

"Papa masak banyak sikit. Balik sekolah nanti Arash nak makan."

"Okey." Arman jeling ayam dalam kuali. Rasanya cukup sampai malam.

"Pak Ngah tu makan banyak. Dah la tak simpan untuk orang." Arash mengadu dengan mulut termuncung.

Arman diam. Pak Ngah ialah adik isterinya. Penganggur sepenuh masa dan tinggal bersama mereka jadi beban keluarga. Puas dia menasihat suruh bekerja, namun slip disc dijadikan alasan. Nadira dan mak mentuanya pun ikut membela. Sudahnya, suaranya langsung tidak bermakna di rumah ini.

SELESAI memasak dan siapkan bekal anak-anak, Arman menggosok pakaian kerjanya dan seragam Arash dan Arisya. Kemudian mandikan mereka, suap sarapan dan siapkan keperluan tadika. Nadira masih belum bangun walaupun sudah berkali-kali dikejutkan untuk solat Subuh.

Jam 7.10 pagi, Arman hidupkan enjin motosikal. Arisya duduk di depan, Arash pula di belakang. Anak-anak dihantar ke tadika KEMAS tidak jauh dari rumahnya. Kemudian dia bergegas ke firma guaman tempat dia bekerja sebagai pekerja logistik. Hari ini dia perlu menghantar fail ke Mahkamah Tinggi dan satu dokumen ke Pejabat Tanah. Dalam kepala, dia sudah susun jadual seperti biasa. Berpegang kepada disiplin itulah dia mampu bertahan.

Thalia yang baru memarkir kereta, memandang Arman dari jauh, seperti biasa. Lelaki itu tidak pernah lambat. Kerjanya juga tersusun dan teratur.

Dia keluar dari kereta. Melajukan langkah untuk menyaingi langkah Arman. Namun tiba-tiba dia dipintas oleh Norli.

"Suami orang jangan dikejar," bisik Norli. Tahu benar dengan apa yang mahu dilakukan Thalia.

"Aku kejar je. Bila dekat, aku stop. Aku tak sondol," balas Thalia.

"Baguslah."

"Aku tunggu dia jadi duda," balas Thalia. Kembali melajukan langkah supaya dapat menyaingi Arman yang sudah terpacak di depan lif.

Norli menggeleng. Dalam hati berdoa semoga Thalia tidak benar-benar memaksudkan kata-katanya.

"Morning, Arman..." Thalia menyapa.

Arman toleh. Tunduk sedikit tanpa menatap mata Thalia.

"Morning, Cik Thalia."

"Fail rayuan cukai Rahman Trading dah hantar ke unit litigation belum?" tanya Thalia. Sengaja mencipta perbualan.

Arman angguk. Toleh, namun masih tanpa memandang Thalia.

“Dah, Cik. Saya dah letak atas meja Cik Hani semalam.”

Thalia senyum nipis. Bukan kerana jawapan Arman, tetapi kerana suara lelaki itu. Tenang dan berhemah. Tidak seperti kebanyakan lelaki yang dia kenal.

"KENAPA la dia bukan lelaki bujang?" keluh Thalia. Topang kepala pada tapak tangan, dia memandang Arman yang sedang tekun di meja kerjanya. Cermin tembus pandang yang memisahkan pejabatnya dengan ruang litigasi membuat dia sering mencuri pandang ke arah lelaki itu. Tidak berniat mengganggu. Hanya memandang dan memuji keindahan ciptaan Tuhan.

"Berpijaklah di bumi yang nyata wahai sahabatku," ujar Norli sambil membelek fail di depannya.

"Kalaulah kenyataan sepahit melihat lelaki idaman sudah menjadi milik orang, lebih baik aku hidup dalam mimpi selamanya."

"Eh...sudahlah kau!" Norli sudah naik menyampah. "Hidup dia dah cukup bahagia dengan isteri dan anak-anak dia. Kau tengok baju dia kemas bergosok. Hari-hari bawak bekal datang kerja. Siapa yang siapkan tu kalau bukan isteri dia? Kalau dia tinggalkan isteri dia dan terjerat dengan panahan asmara Thalia Datuk Hamdan, memang jahatlah dia."

"Itulah kan. Yang handsome, yang baik, yang budiman, semua dah jadi milik orang. Tinggal la stok-stok tak guna tak layak dibuat laki."

"Ramai je. Kau yang tutup mata," ketus Norli.

"Tapi kan...aku pernah nampak Arman dengan isteri dan anak-anak dia. Aku rasa dia tak bahagia."

"Ya Allah Ya Karim..." Norli hentak pen ke meja. Turun naik anak matanya memandang Thalia.

"Kalau dia tak bahagia, dah lama dia ceraikan isteri dia. Tak ada la sampai beranak-pinak!" sambungnya. Naik seoktaf suaranya dek kerana geram.

Thalia diam. Dia pernah melihat Arman di sebuah restoran. Sibuk menyuap dan melayan anak-anak sedang isterinya sibuk dengan telefon. Merakam dan membuat siaran live. Sesekali memaksa Arman dan anak-anaknya ikut serta. Dia bukan sejenis yang mudah menghakimi, namun sekali pandang, dia mengagak isteri Arman bukan jenis yang menghargai.

LEWAT petang, Arman selesaikan semua urusan kerja. Sempat buat beberapa trip GrabFood sebelum pulang. Tambah sedikit duit belanja, walau sekadar RM8.50 per trip. Sampai di rumah, jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Lampu ruang tamu masih terpasang. Ibu mentuanya, Rornah, sedang menonton drama di TV. Adik iparnya, Nadim, berbaring di sofa dengan telefon di tangan.

"Assalamualaikum," sapa Arman perlahan.

"Waalaikumussalam," jawab Rosnah tanpa menoleh.

Arman melangkah ke dapur. Berniat mahu mengisi perut sebelum mandi dan tidur. Namun saat mengangkat tudung saji, meja kosong mengisi pandangan. Toleh ke sinki, penuh dengan pinggan mangkuk kotor tidak dicuci.

Dia mengeluh. Entah apa yang dilakukan tiga beranak itu sepanjang hari di rumah.

Letak beg sandangnya atas meja, dia sinsing lengan kemeja dan mencuci pinggan mangkuk yang menimbun.

Setelah selesai, barulah dia melangkah masuk ke bilik. Nadira sedang buat live TikTok. Di depannya penuh alat mekap. Latar belakang bilik didekor dengan ring light dan poster bunga plastik. Suara manja menggoda penonton. Nada yang sudah jarang sekali Nadira gunakan untuk berbicara dengannya.

Arman hanya pandang seketika sebelum berlalu ke bilik mandi.

SELESAI mandi, dia kembali ke bilik. Nadira masih dengan live TikToknya. Sedang menjawab komen-komen netizen.

“Husband I baru balik. Sayang, ada orang nak kenal awak. Say hi sekejap, boleh?" ujar Nadira manja.

Arman keberatan. Namun demi menjaga air muka Nadira dan tidak mahu bermasam muka kerana hal remeh, dia turutkan juga.

Menapak ke depan kamera, senyum sedikit sebelum menyapa. "Hai."

Dia berlalu. Tidak mahu berlama-lama di depan kamera seperti orang bodoh.

"Sorry korang. Husband I memang pemalu...tak pandai sangat bersosial."

Arman toleh. Bukan kerana marah, tetapi kerana suara itu. Suara yang sepatutnya dia rindukan bila seharian di luar. Justeru sekarang hanya membawa rasa tawar dan sedikit malu.

Dia merebahkan tubuh ke katil. Mata terpejam, namun otaknya ligat mencongak. Pusing memikirkan belanja hidup yang semakin menghimpit. Sewa rumah, susu, bil elektrik yang semakin tinggi kerana kipas yang tidak pernah padam dan ring light yang selalu menyala. Belum lagi belanja kecemasan jika tiba-tiba anak-anak diserang demam.

Nampaknya dia perlu tambah masa GrabFood minggu ini. Badan mungkin letih, namun isi dompet tidak boleh kosong.

“Sayang...awak tidur dah ke?” Nadira bertanya tanpa mematikan siaran.

Arman diam. Tidak ada tenaga mahu menyahut.

“Awak ni kalau balik kerja, buat hal sendiri je. Dah tak romantik macam dulu-dulu.”

"Husband I memang macam ni. Balik rumah, terus tidur. Tapi sibuk-sibuk dia pun, selalu masak, basuh baju, hantar anak sekolah, kadang siap urut lagi kalau I penat.”

Penat?

Arman tertawa perlahan. Entah apa yang dipenatkan. Kerja rumah satu apa pun tak buat. Rumah bersepah macam kapal pecah, bilik tidur berselerak dengan selimut tidak dilipat, dapur berkecah. Entahlah. Kadang-kadang dia bingung. Kehidupan perkahwinan seperti apa yang dia sedang lalui saat ini.

Pernah terfikir mahu menyerah dan berpisah. Namun dia masih sayangkan Nadira. Berharap dia masih boleh mendidik Nadira menjadi lebih baik. Terlebih, ada Arash dan Arisya antara mereka.

ESOKNYA Arman terjaga seperti biasa. Seperti biasa, Nadira masih lena di sebelah. Entah pukul berapa live tamat.

Dia bangkit.Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Tidak ada tenaga mahu memulakan rutin.

“Ya Allah… aku penat…”
Suara itu keluar perlahan dari bibirnya. Tidak ditujukan kepada sesiapa. Hanya keluhan kepada Dia yang Maha Mendengar.

Tangannya mengusap wajah. Penat atau tidak, selagi masih bernyawa, dia perlu bangun seperti biasa. Siapkan anak-anak, hantar mereka, pergi kerja. Jadi orang yang sama, rutin yang sama. Lagi. Dan lagi. Dan lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience