“ISYA nak jugak!”
“Kejap la. Ayash baru gigit.”
“Ayash dah gigit banyak...Isya tak makan lagi.”
Arman yang sedang bersiap-siap di bilik, bergegas keluar apabila mendengar suara anak-anaknya bergaduh.
"Arash, Arisya...kenapa ni?" tanyanya sambil memandang dua anak itu silih berganti. Satu corn dog yang sudah digigit separuh tergolek atas meja. Arash tarik muka, Arisya pula sudah menangis teresak-esak.
"Arash..." Tidak mendapat jawapan, Arman pandang anak lelakinya.
"Ayash baru gigit sikit corn dog tu, tapi Isya dah mintak," jawab Arash.
"Isya pun nak jugak!" Tangis Isya menggaung lagi.
"Eh, kan papa beli dua. Kenapa berebut?"
“Malam tadi Nadim makan satu. Dia kata kau beli lebih.”
Arman kepal kedua-dua tangan. “Tu saya beli untuk Arash dan Arisya.”
“Lain kali kalau tak nak bagi orang makan, tulis nama!" Nada Rosnah meninggi. Geram kerana merasakan Arman terlalu berkira. "Lagipun Arash dengan Arisya tu selalu tak habis pun makan pun. Membazir je.”
Arman menghela nafas. Berusaha meredam segala emosi yang bergelung dalam dada. Dia pandang wajah anak-anaknya yang kecewa. Wajah yang dia bayangkan tersenyum apabila bangun pagi. Namun kesudahannya bergaduh sesama sendiri.
Dia meluru ke ruang tamu, tempat Nadim tidur luar
“Nadim! Bangun!” Selimut yang menutupi tubuh Nadim ditarik kasar.
Nadim buka mata lalu bangun bersila.
"Kenapa kau makan corn dog kat dapur tu?!"
“La... kenapa? Tak boleh ke?"
“Tu aku beli untuk anak-anak aku! Engkau kalau nak makan, cari duit sendiri!” Arman melampiaskan amarahnya. Walaupun kedengaran keanak-anakan kerana bergaduh tentang makanan, namun hati yang panas membuat dia tidak peduli semua itu.
"Alah...corn doh je pun..." Nadim berbaring semula. Langsung tidak rasa bersalah dengan perbuatannya.
“Bangun!" Arman tarik tubuh Nadim supaya bangkit semula. "Kau lelaki. Dewasa. Duduk rumah tak kerja, tak malu ke ambik makanan budak?!”
“Apa hal jerit-jerit ni bang?Tak malu ke marah-marah depan mak? Yang abang marah tu anak dia!”
“Arman, setakat makanan tak seberapa tu, tak payahlah berkira. Budak-budak biasa la berebut. Kalau beli 10 pun dia berebut jugak.” Mentuanya menyampuk.
“Tak seberapa? Tu makanan yang saya beli untuk anak-anak saya dengan duit ihsan orang luar? Nak harapkan duit gaji saya, memang tak merasa. Dia orang kena kongsi." Arman tidak mampu meneruskan kata-katanya. Seberapa banyak pun yang dia katakan, mereka tidak akan faham.
Akhirnya dia ke bilik Arash dan Arisya. Ambil beg sekolah anak-anaknya, dia tarik tangan Arash dan Arisya keluar.
"Kita nak pergi mana papa?"
“Kita keluar awal hari ni.”
“Kenapa?” tanya Arisya.
“Kita singgah Family Mart dulu. Beli corn dog.”
SETENGAH jam kemudian, mereka sudah berada di Family's Mart. Arisya memesan corn dog. Arash pula hanya membeli minuman kerana dia sudah makan separuh corn dog di rumah tadi. Separuh lagi pula dia makan di atas motosikal.
“Sedap, Papa…” ujar Arisya dengan mulut penuh.
Arman tersenyum. Senyuman anak-anak sudah cukup membuatnya bahagia dan rasa bernyawa.
SELEPAS menghantar anak-anak ke sekolah, Arman terus ke pejabat. Melakukan rutin pekerjaannya tanpa mempedulikan dunia sekeliling.
"Arman, nanti tolong hantar fail ni pada Cik Thalia ya," ujar Thaqif.
"Okay." Arman mengangguk. Fail diletak ke tepi dahulu kerana Thalia tidak ada di pejabat. Baru beberapa minit tadi dia melihat wanita itu keluar bersama briefcasenya. Mungkin ke mahkamah.
Menjelang petang, baru Thalia muncul di pejabat semula. Arman menunggu beberapa minit sebelum masuk. Tidak mahu terus mengganggu.
Melalui dinding kaca yang memisahkan pejabat Thalia dan ruang kerjanya, dia memastikan Thalia benar-benar sudah rileks selepas pulang dari mahkamah, barulah dia bangun. Membawa fail yang diberi Thaqif tadi.
Pintu dia ketuk tiga kali. Setelah mendengar arahan masuk, barulah dia memulas tombol.
"Cik Thalia..."
"Ya, ada apa Arman?"
"Encik Thaqif mintak saya bagi fail ni." Dia serahkan fail di tangannya kepada Thalia.
"Oh...thanks..." Thalia sambut fail itu. Namun pada saat yang sama, matanya tertancap pada wajah Arman yang jelas penat. Ada bayang gelap bawah mata, dan sedikit lesu pada cara dia berdiri.
“Awak okay, Arman?” tanyanya.
Nada simpati dengan tatapan penuh perhatian itu berhasil membuat hati Arman sedikit tersentuh. Sudah lama dia tidak mendengar pertanyaan dan nada seperti itu daripada sesiapa.
"Arman?" Thalia memanggil apabila Arman diam, tidak menjawab pertanyaannya.
"Ah ya...okay..."
Thalia buka laci lalu sebungkus energy bar lalu dihulurkan kepada Arman.
Arman teragak-agak.
"Energy bar. Ambiklah. Jangan biarkan badan terus penat. Awak ada anak-anak tau. Kena jaga diri."
"Terima kasih, Cik Thalia." Arman ambil energy bar dari tangan Thalia.
"Sama-sama."
Saat Arman melangkah keluar dari bilik Thalia, dia berpapasan dengan Norli yang baru mahu masuk. Hanya menunduk sopan sebelum berlalu ke tempatnya.
"Apa jejaka idaman kau tu buat kat sini?" tanya Norli. Mata sempat mengerling ke arah Arman melalui dinding kaca pejabat Thalia.
"Hantar fail."
"Oh..."
"Aku dah tahu kelemahan dia," ujar Thalia tiba-tiba.
"Apa? Godaan manja kau?"
"Anak-anak dia."
"Wah... jadi kau nak culik anak-anak dia, lepas tu ugut dia kahwin dengan kau?"
"Aku takut satu hari nanti orang gunakan anak-anak dia untuk lemahkan dia."
"Tak ada orang lain yang berpotensi buat macam tu kecuali kau," balas Norli.
"Kalau otak aku sesingkat otak kau, mungkin aku akan buat macam tu. Tapi sebab aku ada akal yang panjang, aku mungkin..." Thalia diam sejenak, nampak berfikir-fikir. "...pendekkan akal aku dan buat macam tu. Janji aku dapat bapak dia. Hahaha!"
Norli turut ketawa.
"Tak...sekarang ni aku nak tanya, kenapa kau tertarik sangat dengan dia?"
"Handsome. Mula-mula aku tertarik dengan rupa dia. Lepas tu aku kaji tingkah laku dia, bahasa tubuh dia, ekspresi muka dia. Kalau kau nampak aku pandang dia, aku bukan pandang kosong tau. Aku pandang dengan penuh penghayatan."
"Muka handsome tu tak bawak ke mana."
"Muka handsome la bawak ke mana. Kalau tak handsome, simpan kat rumah. Kalau bawak masuk majlis, nanti orang ingat aku bawak saka."
Pecah tawa Norli dengan kata-kata selamba Thalia.
HARI itu Arman tidak buat Grab. Terus pulang selepas waktu kerja. Masih perang dingin dengan Nadira, dia habiskan masa dengan anak-anaknya. Membantu Arash dan Arisya menyiapkan kerja sekolah.
“Arman!"
Suara Nadira yang bernada keras dan seperti memerintah itu membuat Arman menoleh.
"Saya ni suami. Anak-anak pun ada kat sini. Cuba suara tu rendah sikit," ujar Arman. Kadang-kadang dia tertanya-tanya ke mana hilangnya Nadira yang dikenalinya lapan tahun lalu. Nadira semasa bercinta, sangat lembut dan manja. Malah dulu Nadira selalu memanggilnya abang. Namun sekarang, panggilan abang atau sayang hanya ketika live atau untuk content semata-mata.
"Apa guna jadi suami kalau tak mampu menyenangkan anak bini," ketus Nadira.
Arman terdiam. Bukan kerana merasakan Nadira betul. Namun meredam emosi yang akan membuat dia meledak di depan anak-anak. Dia tidak mahu Arash dan Arisya trauma dengan kehidupan mereka.
"Ada apa?" tanyanya lalu kembali fokus kepada Arash dan Arisya.
"Petang esok kita rakam video kat taman. Saya dah siapkan skrip. Awak dengan anak-anak ikut je skrip tu,” ujar Nadira.
"Isya tak nak rakam..." Arisya yang mendengar kata-kata mamanya tiba-tiba bersuara. Dia serik dimarah dan disuruh ulang babak atau dialog yang sama beberapa kali selagi mamanya tidak berpuas hati.
"Eh...Arisya!" Suara Nadira naik setakuk. "...mama buat ni untuk kita tau. Ni cara mama cari duit."
Arisya berdecit. Riak wajahnya jelas nampak tidak suka. Namun Arman cepat-cepat peluk bahu anaknya itu, tunjuk pada buku dan meminta Arisya menyudahkan kerjanya. Tidak mahu Arisya terus-terusan menunjukkan protes sehingga berakibat anaknya itu dimarah. Bukan dia tidak mampu mempertahankan Arisya, tetapi dia tidak mahu mood Arisya yang sedang belajar rosak dek kerana mamanya.
"Ni..." Nadira letak sekeping kertas di depan Arman. "...suruh anak-anak hafal dialog ni."
Arash capai kertas itu. Dia baca dialog yang ditulis.
“Kenapa kena ikut ni?” soalnya.
“Sebab kita nak tarik views. Nanti boleh buat duit dari TikTok."
"Anak-anak tak faham lagi pasal views, TikTok semua tu. Jangan ajar anak benda-benda melalaikan tu...”
"Habis tu, nak ajar anak jadi macam abang? Kerja dari pagi sampai gelap, malam buat Grab tapi hidup tak berubah? Tak payah berlagak jadi hero kalau setakat balik rumah bawak muka letih, poket kosong.”
Arman diam. Malas berdebat lagi. Duit gajinya dan duit dia buat Grab lebih dari cukup jika mereka hidup seadanya. Namun Nadira yang banyak menuntut membuat wang gajinya selalu tidak mencukupi. Dulu minta dibelikan pendingin hawa. Dia akur memandangkan cuaca memang panas. Fikirnya tidak apa-apa jika bil elektrik mahal sedikit asalkan isterinya selesa. Namun sepanjang hari berkurung dalam bilik buat live, pendingin hawa juga dipasang 24 jam membuat bil elektrik melambung berkali ganda. Ditambah pula Nadim datang menumpang tanpa menyumbang apa-apa membuat keperluan keluarga mereka meningkat.
Namun Arman malas mengungkit. Elok dapat pahala, nanti hilang semua. Duit habis sia-sia.
“Petang esok kita keluar taman depan. Semua pakai baju biru," ujar Nadira sebelum berlalu.
TAMAN permainan kecil di depan flat menjadi lokasi untuk rakaman hari itu. Nadira sibuk mengatur sudut kamera dan cahaya. Arman duduk di bangku batu, melayan anak-anak yang nampak letih. Sudah lima kali mereka dipaksa mengulang dialog dan babak yang sama.
“Arisya, senyum la sikit! Ulang balik ayat tadi..."
"Isya penat..." Arisya mula menangis lalu menyembamkan muka ke paha papanya.
"Alah penat apa?! Setakat suruh berlakon, bercakap...Itu pun tak boleh buat ke?!
"Kalau dia dah cakap penat tu dahlah. Tak payah paksa-paksa," balas Arman. Arisya diangkat naik ke pangkuannya. Belakang Arisya ditepuk lembut, memujuk.
"Awak apa tahu!"
"Memang saya tak tahu dan tak nak ambik tahu. Lain kali kalau nak buat content, nak rakam, nak live ke apa ke, jangan libatkan saya dan anak-anak!"
Nadira berdecit marah. Mahu membantah, namun percuma memaksa Arisya terus berlakon jika moodnya sudah tidak begitu baik.
"Okeylah...kita tunggu sekejap lagi." Nadira labuhkan punggung di sebelah Arman. Sempat mengambil foto Arisya yang berada di dalam dakapan Arman dan memuat naiknya di media sosial.
-Papa's girl.- Kapsyen yang dia sertakan dengan gambar itu.
"Isya..." Nadira cuba tarik Arisya ke pangkuannya.
Arisya merengek tidak mahu. Mengeratkan pautan pada leher papanya.
"Isya marah mama ke? Mama mintak maaf okay?"
Arisya tidak menjawab. Angkat muka pun tidak.
Nadira tidak mahu memaksa. Bimbang mood Arisya bertambah buruk dan mereka tidak dapat meneruskan rakaman.
Saat dia menoleh ke arah Arash, dia melihat anaknya itu sudah mula bermain pasir. Cepat-cepat dia meluru.
“Arash! Habis kotor baju!" Nadira tarik tangan Arash duduk di bangku. Kemudian dia membersihkan sisa pasir pasa baju Arash.
“Dia penat, Dira. Dah sejam rakam benda sama…” ujar Arman.
“Kita belum famous, kena usaha lebih sikit. Kalau views naik, baru ada income. Kalau tak, jangan harap,” balas Nadira.
MENJELANG Maghrib, content berjaya dirakam. Nadira senyum puas dengan hasil rakaman keluarga bahagia lengkap dengan kapsye manis.
Arman pandang anak-anaknya yang melangkah lesu. Letih fizikal dan emosi selepas ditengking dan dipaksa berulang-ulang kali.
Mereka senyum di dalam kamera, tetapi hakikatnya jiwa mereka remuk.
Share this novel
cerita ni free reading ke