“ABANG nak balik dah? Macam awal pulak selalunya abang spend masa sampai hari Ahad. Ni baru Sabtu. Pagi pulak tu balik?” rungut Melati yang memandang belakang Muiz. Muiz sedang mengikat tali kasutnya. Selepas siap mengikat dia bangun dan memandang Melati sambil tersenyum.
“Kesian pulak opah kat kampung tu. Lagipun hati abang tak tenang pulak bila opah sorang kat sana walau ada yang jagakan,” kata Muiz sambil menghulurkan tangan mahu mengambil Ryan daripada dukungan Melati.
“Eh, anak buah pak long. Sorry, pak long kena balik dah. Moyang sorang kat sana,” kata Muiz kepada Ryan yang pastinya tidak memahami lagi apa yang sedang berlaku.
“Opah tu macam dah lupakan Melati je? Yalah dah dapat kawan baru.” Melati bersuara sepeprti berjauhan hati.
Puan Sofia menepuk bahu Melati sambil menggelengkan kepala. “Kamu ni apa cakap macam tu. Opah ada kenduri kan kat kampung. Kan opah dah cakap. Lagipun baru minggu lepas opah datang sini. Melati fikir badan orang tua tahan ke lama-lama dalam kereta, jalan jauh apa semua?” bebel Puan Sofia sambil membekalkan makanan untuk Muiz.
Perlahan Muiz serahkan Ryan kepada Puan Sofia yang mahu mengambil Ryan daripada dukungan Muiz.
“Okeylah. Terima kasih mak su. Nanti kirim salam dengan pak su dan Faisal. Muiz gerak dulu nanti dah panas sangat cepat letih pula nak memandu,” kata Muiz sambil mengambil begnya dan bekalan makanan yang diberi oleh Puan Sofia.
Hidung Melati dipicit kuat dan Muiz tergelak bila Melati buat muka.
“Abang drive hati-hati. Nanti dah sampai bagitahu. Kirim salam opah dengan kawan baru opah tu,” pesan Melati sambil buat muka nakalnya.
Muiz anggukan kepala dan terus masuk ke dalam kereta. Entah kenapa dia rasakan kali ini perjalanan baliknya ke kampung rasa bahagia sedikit. Dan dia tahu dia pernah rasa perasaan ini lama dahulu. Muiz tersenyum dan berpesan pada hatinya agar bersabar.
JASMIN mula susah hati melihat jam di dinding menunjukkan sudah pukul 10.30 malam. Dia berjanji akan balik tengah hari tadi tapi tak sampai hati pula melihat opah yang keseorangan di rumah. Lalu dia mengambil keputusan untuk menemani opah sehingga Muiz pulang ke rumah. Yang menjadi kerisauanya adalah dia akan pulang keseorangan nanti kerana dia tidak membawa keretanya.
“Kalau Jasmin nak balik dulu, balik je. Tapi kalau tengok jam sekarang ni tak berani pulak opah nak suruh Jasmin balik. Dah lewat sangat ni. Jasmin tidur sinilah ya. Esok pagi-pagi opah mintak Muiz hantar Jasmin balik,” cadang opah sambil duduk di sofa di ruang tamu. Opah tahu pasti Jasmin mahu pulang juga kerana esok sudah mula bekerja.
Muiz pula petang tadi sudah menelefon opahnya yang keretanya rosak di highway. Dan sedang dalam perjalanan balik ke kampung.
“Tak apa, opah. Jasmin teman sampai Muiz balik. Jangan risau kalau dah malam sangat nanti Jasmin tidur sini je. Tak pun nanti Jasmin call ayah suruh datang ambil kat sini. Kalau ayah tak tidur lagi. Opah kalau nak tidur dulu, tidurlah,” kata Jasmin cuba menenteramkan hati opah yang mungkin risaukannya.
Bunyi kereta masuk ke pekarangan rumah opah melegakan hati Jasmin. Sempat Jasmin melihat jan yang sudah beranjak ke 11.00 malam. Opah sudah bangun dan menuju ke tingkap untuk menjenguk. Menjadi kemarahan Muiz jika opah tidak mengunci pintu bila malam.
Jasmin juga sudah dipesan oleh Muiz berulang kali agar selalu mengunci pintu dan melihat siapa yang datang ke rumah melalui cermin tingkap baru buka pintu.
“Ha, Muiz dah balik.” Opah tersenyum lega dan laju membuka pintu. Benar, Muiz sudah keluar dari kereta sambil membawa beg bajunya dan beberapa beg.
Jasmin pula keluar selepas itu sambil membawa beg bajunya yang tidak seberapa itu dan berdiri di sebelah opah.
“Jasmin nak balik jugak ke?” soal opah sambil memandang Jasmin. Jasmin senyum dan menganggukkan kepalanya. Walaupun ayahnya tidak lagi menjawab panggilan telefon tapi dia perlu balik mala mini bila mengenangkan ada kerja yang patut dia siapkan dan tidak sedap pula nak serumah dengan Muiz walau opah ada di rumah ini.
Muiz pandang Jasmin terkejut bila Jasmin mahu pulang. Dia pandang sekeliling pekarangan rumah namun tiada keretanya selain kereta dia.
“Awak nak balik ke?” tanya Muiz dengan wajah serba salahnya.
Jasmin angguk dan senyum. “Tak apa. Saya cuba call ayah saya lagi ni. Nanti saya suruh ayah saya datang ambil. Bukan tak nak tidur sini opah tapi lupa ada benda yang saya nak kena buat. Sorry opah,” kata Jasmin serba salah.
“Sorry Jasmin. Susahkan awak pulak. Hmm, kereta saya ni memang esok baru ada mekanik akan datang ambil. Sebab bateri problem tadi ni. Saya pulak susah nak percayakan orang sentuh kereta saya. Hmm, saya hantar awak jalan kaki je boleh tak?” tanya Muiz serba salah.
Tertelan air liur Jasmin. Nampak macam dia pulak menyusahkan Muiz. Laju Jasmin gelengkan kepala. “Awak mesti penat. Tak apa kesian pulak opah tinggal sorang-sorang,” kata Jasmin cuba menolak sambil tu tangannya mendail nombor ayahnya yang sememangnya masuk voice call saja. Malah, telefon mak dan neneknya juga tidak berjawab.
“Opah okey je. Sekejap je kan Muiz pergi hantar. Pergilah sekarang dah pukul 11.00 dah ha,” kata opah sambil masuk ke dalam rumah dengan mengambil beg baju Muiz dan menutup pintu sengaja meninggalkan Jasmin dan Muiz di luar.
Tergamam Muiz dan Jasmin dengan tingkah opah.
“Hati-hati bawak anak dara orang tu Muiz. Cepat balik rumah. Jasmin esok singgah rumah opah okey. Nak belanja sarapan ni,” kata opah dari dalam rumah.
Tergelak Jasmin dan Muiz. Mereka berpandangan sekejap dan Muiz buat isyarat ‘jom’. Jasmin mengangguk entah kenapa berdebar pula hatinya untuk jalan berdua-duaan dengan Muiz.
ANGIN malam menemani sepanjang perjalanan mereka. Muiz banyak berdiam diri hanya Jasmin saja yang bersuara.
“Oh, untunglah awak pernah kerja kat luar negara. Dulu, saya ingat awak dengan Melati tu pasangan kekasih tau. Tapi, ramai kata awak berdua macam adik-beradik tapi entahlah. Dulu pun saya bukan selalu balik sini pun. Sekali-sekala je ikut nenek nak tengok rumah,” cerita Jasmin sambil terangguk-angguk.
“Saya ada opah dengan arwah atok je selama saya membesar ni. Jadi, menjadi tanggungjawab saya menjaga opah dan arwah atok. Saya tak menyesal pun dengan keputusan saya ni. Lagipun, Allah dah bagi rezeki dapat tempat kerja kat negeri yang sama walau jauh sikit dari rumah. Tapi, okeylah kan,” balas Muiz.
Mereka semakin hampir dengan rumah nenek Jasmin. Dalam otak kepala Jasmin bermacam-macam benda dia fikirkan untuk bertemu lagi dengan Muiz. Apa lagi aku nak bual ni, malam ni ending dengan baik. Opah dah bagi aku peluang ni, bisik hati Jasmin.
“Awak masuklah dulu. Terima kasih sebab tolong jagakan dan tengokkan opah. Nanti saya belanja awak makan,” kata Muiz tanpa menyedari yang mulutnya lancar mengajak Jasmin keluar makan.
Apa entah yang merasuki Jasmin terus saja dia melompat di hadapan Muiz dan membuatkan Muiz terkejut dan terkebelakang. “Awak ajak saya dating secara halus ya?” tanya Jasmin sambil angkat-angkat keningnya.
Tertelan air liur Muiz. Tak tahu nak balas apa.
Gelakan Jasmin membuatkan Muiz tak tahu nak buat reaksi apa.
“Saya gurau je, Muiz. Awak ni janganlah buat macam nak reject saya. Terima kasih sebab tolong hantar saya tengah malam ni. Okeylah, hati-hati awak. Saya masuk dulu,” kata Jasmin sambil menapak mendekati pintu rumah.
“Tak bagi pantun pun?”
180 darjah Jasmin berpusing bila mendengar ayat daripada Muiz. Lagi cair hatinya melihat Muiz tersenyum dalam kepenatan. Anyooo… comelnya. Ada yang aku ikut dia balik rumah ni kang.
“Dua, tiga kucing berlari, esok boleh kita jumpa lagi?” Jasmin tersenyum pandang Muiz yang 10 kaki jauh daripadanya.
Muiz angguk dan senyum.
Tiba-tiba ada idea dalam kepala Jasmin. Dia perlu ambil kesempatan apa yang ada.
“Muiz, esok macam mana awak nak pergi kerja?” tanya Jasmin. Sememangnya dia mahu menolong Muiz kalau boleh selain nak mengambil hati Muiz. Hehehe.
Keluhan keluar dari mulut Muiz. “Mungkin akan call pejabat untuk masuk lambat atau minta sesiapa tolong hantar saya. Susah juga tak ada pengangkutan ni. Motor arwah atok pula dah bagi pinjam kat Pak Meon buat sementara motor dia dibaiki nanti tiada siapa pulak nak tengok kebun tu,” kata Muiz polos.
“Awak gunalah kereta saya tu. At least esok saya boleh suruh ayah saya hantar ke sekolah. Awak gunalah, nah kunci.” Jasmin menggodek begnya dan menyerahkan kunci keretanya kepada Muiz.
Muiz hanya tergamam. Manakan tidak baik pula Jasmin mahu memberi dia pinjam keretanya. Serba salah jugak hendak menolak. Selepas berkira-kira Muiz senyum dan menyambut huluran kunci kereta Jasmin.
“Betul eh tak menyesal? Terima kasih Jasmin.”
Tergelak Jasmin sambil menggeleng. Lagi seronok hatinya bila pujaan hatinya mahu menggunakan keretanya itu.
“Oh, kalau macam tu esok pergi kerja dengan sayalah. Saya hantar awak ke sekolah. Kebetulan esok kan opah suruh awak ambil sarapan untuk esok. Jadi, plan dia macam ni. Malam ni saya bawak balik kereta awak. Esok pukul 7.00 pagi saya datang rumah awak dan ambil awak. Lepas tu hantar awak ke sekolah. And saya pergi kerja. Okey?” terang Muiz bersungguh dan tanpa dia sedar seseorang sedang makin jatuh cinta dengannya.
“Pak Meon jumpa biawak, apa saja untuk awak,” gelak Jasmin sambil masuk ke dalam rumah dan melambai Muiz. Lagi lama dia berduaan dengan Muiz makin berdebar jantungnya nanti.
Fuh, gilalah. Esok nak pakai baju apa ni? Nak make up gaya apa? Tidur lambatlah malam ni sebab nak tengok tutorial mekap. Kah!
BREK tangan ditarik. Muiz pandang Jasmin dan memberikan senyuman. “Okey, hati-hati. Kerja elok-elok. Kalau ada apa-apa bagitahulah. Terima kasih tolong saya.”
Tersipu terus Jasmin sambil mengawal debaran hatinya. Sudahlah Muiz hari ni kelihatan sangat kacak dengan berkemeja hitam dan berseluar slek berwarna coklat dan bauan Muiz sangat menggoda.
“Tak ada apalah, Muiz. Saya seronok dapat bantu awak. Lagipun saya kan tak ada kawan kat kampung ni. Awak je yang sudi kawan dengan saya,” kata Jasmin sambil memandang kawasan sekolah yang semakin ramai pelajar masuk ke dalam kawasan sekolah.
“Kawan je awak anggap saya?” tanya Muiz sengaja menyakat Jasmin yang seperti tidak keruan itu.
Gulp! Tertelan air liur Jasmin. “Awak jangan macam-macam Muiz. Saya ni dahlah memang ada hati dengan awak. Terlajak perahu boleh undur, awak dah terlajak kata ni. Nanti saya tuntut,” kata Jasmin yang sudah bersedia untuk keluar dari kereta.
Tergelak terus Muiz. “Take care, Cikgu Jasmin. Nak balik call saya okey. Call tau takut mesej saya tak perasan.”
“Aik? Awak bukan balik pukul 6.00 macam tu ke?”
“Aik, awak tahu ya pergerakan saya? Hahaha. Saya minta keluar kejaplah. Dahlah pinjam kereta orang lepas tu nak susahkan orang tu. Lagipun nanti saya boleh tukar kereta terus masa hantar awak balik nanti,” terang Muiz.
“Cis, kereta siap awal pulak,” kata Jasmin perlahan tapi sampai ke pendengaran Muiz.
“Alah, nak saya hantar setiap pagi pun boleh.” Terhenti terus Jasmin yang baru saja tutup pintu kereta dan tergamam terus di situ.
Muiz melambai sambil tersenyum.
Mak… nak kahwin. Nak kahwin dengan lelaki macam tu. Malu, malu tapi mahu macam tu.
Share this novel
sex