ANEESA sedang membawa beg pakaiannya, sambil dibantu oleh Ajim. Mereka berdua berjalan kaki menuju ke rumah batu satu tingkat tersebut, yang tidak jauh dari rumah mereka.
Ajim memandang Aneesa. “Along tengok adik macam tak happy aje?”
“Nak happy macam mana along. Nikah pun kena paksa. Entahlah, kenapalah orang kampung tak percaya apa yang kami cakap. Sedangkan, kami tak buat apa-apa pun. Hud datang nak selamatkan adik. Tiba-tiba dituduh berkhalwat pulak.”
“Along pun tak tahu nak cakap macam mana dah. Mak Cik Hamidah tu pun, paksa along terima anak dia. Dia cakap Hud nak bertanggungjawab. Nak tak nak along terpaksa terima, lepas Mak Cik Hamidah desak along. Along pun, nak jaga nama baik keluarga kita juga.”
“Tapi… adik langsung tak buat benda yang tak senonoh dengan Hud, along. Semuanya fitnah.”
“Ya, along tahu. Tapi, ini saja caranya, supaya orang kampung tak berkata bukan-bukan pasal Neesa dan Hud lagi.”
Aneesa diam menunduk.
“Tapi pelik juga along, siapa pulak lelaki bertopeng yang cuba nak buat benda tak elok pada adik tu? Hud memang tak sempat nak tangkap dia, kan?”
Aneesa mengangguk. Dia juga tidak tahu. Kerana lelaki tersebut langsung tidak bersuara. Dan lelaki itu juga, lengkap berpakaian serba hitam, serta bersarung tangan. Seperti kejadian itu sudah dirancangnya dari awal.
“Tapi adik pun tak tolak, bila Mak Cik Hamidah minta Hud nikah dengan adik. Sebab... adik memang suka pada Hud, kan?”
Aneesa memandang Ajim. Memang dia sukakan Hud. Tapi Hud tidak sukakan dia. Dan bukan ini caranya, untuk dia menggapai cinta Hud. Dan Hud pasti akan membencinya.
Tidak lama itu mereka berdua tiba di hadapan rumah Hud. Ajim meletakkan beg pakaian milik Aneesa di atas lantai.
“Okeylah along balik dulu. Nanti jenguk-jenguklah along. Rumah tak jauh pun.”
Aneesa mengangguk. “Adik akan sentiasa balik rumah. Dan masakkan sekali untuk along.”
“Tapi, adik kena minta izin daripada Hud dulu. Sebab adik dah ada suami. Jangan main keluar aje, kalau Hud tak izinkan. Ingat pesan along ni.”
Wajah Aneesa berubah muram. Minta izin?
Mereka berdua berpelukan. Usai bersalaman, Ajim meminta izin untuk pulang. Setelah memastikan Ajim hilang dari pandangannya, barulah Aneesa melangkah masuk ke dalam rumah. Ke mana pula, ibu mentuanya? Dia melihat kereta yang dipandu Hud tadi, sudah tiada di halaman rumah.
“Assalammualaikum ibu...” ucap Aneesa. Tetapi tiada sahutan. Tidak menunggu lama, Aneesa terus sahaja melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mencari kelibat Hamidah.
Kelihatan pintu bilik utama terbuka. Aneesa terus menjenguk. Kelihatan Hamidah duduk memegang dada saat ini.
“Eh, ibu. Kenapa ni?”
“Eh, Neesa. Bila sampai?” Hamidah tersenyum. Perlahan-lahan dia menjauhkan tangannnya dari dada.
“Baru aje sampai. Kenapa dengan ibu? Wajah ibu nampak pucat.”
“Tak ada. Dada ni, rasa macam masuk angin. Tu yang ibu duduk kejap. Maaflah, kalau ibu tak keluar tadi.”
“Tak apa ibu. Abang Ajim pun kejap aje tadi.”
Hamidah mengukirkan senyuman. “Ni, bilik Hud yang depan tu ya?”
Aneesa memandang ke arah bilik di hadapannya.
“Hud dah keluar. Tak tahulah ke mana dia pergi lepas tukar baju tadi.”
“Tak apalah ibu. Mungkin dia ada hal tu.”
“Ibu minta maaf.” Tangan Aneesa terus sahaja diraih perlahan.
Aneesa memandang Hamidah dengan penuh kasih. “Ibu tahu kau orang berdua tak buat apa-apa. Hud pun takkan buat perkara yang boleh menconteng arang di muka. Tapi ibu buat ni bersebab. Ibu tak nak Hud tinggalkan ibu. Ibu tahu apa yang dia mahukan. Sebab itu ibu nak Hud nikah juga dengan Neesa.”
“Maksud ibu?”
“Kita pun tak dapat tahukan, siapa lelaki yang cuba pecah masuk rumah Neesa malam tu? Dan tiba-tiba kau orang berdua ditangkap oleh orang kampung. Masa itu ibu betul-betul terkejut, bila orang kampung datang beritahu, yang Hud ditangkap khalwat dengan Neesa.” Hamidah terdiam seketika.
“Sebenarnya, bila keadaan jadi semakin huru-hara, ibu ambil kesempatan supaya Hud bertanggungjawab. Dan ibu nak dia nikah dengan Neesa. Ibu tahu, ibu tak patut ambil kesempatan dengan cara macam tu. Dan ibu betul-betul minta maaf.”
Aneesa terkejut dengan pengakuan ibu mentuanya.
“Ibu tak kisah Neesa nak maafkan ibu atau tak. Tapi, ini sahaja caranya supaya Hud tak tinggalkan kampung ni. Ibu tahu ibu terlalu pentingkan diri sendiri. Sedangkan masa itu, kau orang berdua tersepit dengan apa yang dah berlaku. Dan Neesa juga terpaksa korbankan hati dan perasaan Neesa. Tapi... bila Hud dah nikah dengan Neesa, dia dah ada tanggungjawab dia dah. Iaitu Neesa, di sini.”
Aneesa terdiam. Disebabkan itukah Hamidah memaksanya bernikah dengan Hud? Patutkah dia marah? Atau dia ikhlas menerimanya sahaja?
“Atau sebenarnya Neesa memang dah berpunya?” soal Hamidah tiba-tiba.
Aneesa menggeleng perlahan. “Sebenarnya, Neesa memang ada hati pada Abang Hud.”
Hamidah tersenyum. Dia tahu Aneesa sememangnya ada hati pada anak lelakinya. Dia juga perasan, setiap kali Aneesa datang ke sini, pasti Aneesa akan terjenguk-jenguk mencari kelibat seseorang.
“Maafkan ibu ya? Ibu harap, Neesa boleh terima Hud dalam hidup Neesa. Ibu tak nak rahsiakan perkara ni daripada Neesa. Sebab ibu tak nak, bila ibu dah tak ada nanti, Neesa dan Hud tak tahu kebenarannya. Jadi, ibu perlu ceritakan kepada Neesa. Cuma Hud, ibu belum ada keberanian lagi untuk beritahu pada dia.”
Aneesa diam seketika. Lama kelamaan dia mengangguk perlahan.
Hamidah tersenyum. Tangan Aneesa digosok perlahan. “Ibu ingat, lepas selesai kursus kahwin kau orang berdua nanti, ibu nak buat majlis sanding.”
“Er, tapi kami...”
“Tak apa. Orang kampung takkan cakap yang bukan-bukan.” Hamidah memegang erat tangan Aneesa. Dia sebenarnya risau juga, jika Hud tidak memberi layanan yang baik sebagai seorang suami. Dan dia juga takut, dia akan salah percaturan.
“Tak apalah. Neesa pergilah masuk bilik. Rehat ya?”
Aneesa mengangguk perlahan. Setelah itu, dia terus mengangkat beg pakaiannya dan menuju ke bilik Hud, yang dikatakan Hamidah tadi.
Tombol pintu dipulas. Matanya terus sahaja tertancap ke arah bantal dan selimut yang sudah berada di atas lantai. Aneesa terdiam. Itu pasti bakal menjadi tempat tidurnya.
“KAU memang betul-betul sial! Aku suruh kau cakap sikit-sikit aje. Ni tak, dah sampai ke lain! Sekarang ni apa yang aku dapat? Dia orang dah bernikah kau tahu tak!” Naem mencekak kolar baju Ali, sehinggakan wajah Ali kemerahan saat ini.
Ali tidak menunggu lama, satu tumbukan terus diberikan pada perut Naem, sehingga membuatkan Naem terduduk memegang perut.
“Kau sepatutnya berterima kasih dengan aku sebab aku dah selamatkan kau. Kalau tak, dah masuk penjara kau sekarang ni. Aku tak expect ketua kampung arahkan dia orang bernikah. Kau ingat, aku pun mintak benda tu berlaku ke?” Ali memegang lehernya yang sedikit pedih.
Naem tertunduk merenung tanah. Dia bungkam. Lain yang dirancang lain yang jadi. Sepatutnya dia yang menjadi suami kepada Aneesa. Dan bukannya Hud!
Ali perlahan-lahan menyentuh bahu Naem. “Aku minta maaf. Aku pun tak sangka benda ni terjadi.”
Naem tidak bersuara. Dia masih diam terpaku. Punah harapannya untuk memiliki Aneesa.
DINDING simen berwarna biru laut menyerap cahaya malam. Angin sejuk bersiul melalui celah-celah tingkap, membawa bau sawah padi yang basah. Di dalam bilik ini, telah menjadi tempat tinggal Hud dan juga Aneesa.
Suasana terasa lebih sejuk daripada dinding batu itu sendiri. Aneesa berbaring di atas tikar nipis, dan beralaskan kain batik miliknya. Selimut ditarik ke atas sedikit, bagi menutupi badan yang sedikit sejuk.
Sepatutnya malam ini merupakan malam pertama mereka berdua. Tetapi, Hud langsung tidak mahu menyentuhnya, apa lagi memandangnya. Aneesa tahu, Hud tidak menginginkan pernikahan ini. Tetapi desakan Hamidah dan orang kampung, telah membuatkan Hud terpaksa bersetuju.
Hud saat ini sedang berbaring di atas katil, sambil membelakangi Aneesa. Bunyi nafas Hud yang perlahan adalah satu-satunya tanda dia masih terjaga. Sejak akad nikah di pejabat agama pagi tadi, suaminya langsung tidak mahu bercakap dengannya.
Aneesa menarik nafas perlahan, cuba menahan sebak yang mula menyesak dada. Dia memandang ke arah siling, termenung mengenangkan nasibnya. Adakah hubungan yang dibina akan bertahan lama?
Teringat kejadian tiga hari yang lepas, di mana lelaki bertopeng datang memecah masuk rumahnya. Lelaki itu langsung tidak bersuara. Adakah lelaki itu, merupakan bayangan yang dilihatnya beberapa hari yang lepas di sawah padi?
Walaubagaimanapun Aneesa benar-benar bernasib baik, kerana Hud datang menyelamatkannya. Dan sekarang mereka berdua disatukan, gara-gara ditangkap khalwat pula.
Kalau Hud tak datang selamatkan aku malam tu, pasti aku takkan bernikah dengan Hud. Dan Hud juga takkan membenci aku macam ni... Bisik hatinya.
Jari-jemari menggenggam selimut lebih kuat. Dia cuba mengingatkan dirinya bahawa Hud tidak pernah meminta pernikahan ini terjadi. Tetapi hati kecilnya masih berharap Hud akan melihatnya dengan cara yang berbeza suatu hari nanti.
Pada saat ini, Hud cuba untuk memejamkan mata, tetapi matanya benar-benar berat untuk ditutup.
Melihat Aneesa yang sedang berbaring di bawah, lagi membuatkan dia berasa sakit hati. Punah harapannya untuk mengikuti kursus lakonan, yang sudah dia fikirkan sebelum ini. Dan sekarang, dia sudah pun menjadi seorang suami!
Bibir diketap kuat. Skrip yang dicipta sendiri, terselit di bawah bantalnya. Dia ingat lagi, setiap malam dia akan menonton drama melayu di televisyen. Kadang-kadang drama dari Negara Turki turut ditontonnya, sehinggakan dia boleh bercakap di dalam bahasa Turki, walaupun tidak begitu fasih.
Hud juga akan berlatih dialog setiap hari di hadapan cermin, sambil berjanji pada dirinya sendiri untuk menjadi seorang bintang yang terkenal. Tapi kini, dia sudah terperangkap di dalam rumah ini, bersama isteri yang tak pernah dia inginkan.
Saat memandang Aneesa, dan wajah-wajah orang kampung, dia berasa sangat benci.
Hud terus bangun dari pembaringan. Dia menjadi semakin hilang sabar. Lebih-lebih lagi melihat Aneesa yang sedang menangis saat ini.
“Kenapa kau menangis?” Hud tiba-tiba bersuara.
Aneesa terkejut. Dia bangun dari pembaringan, sambil matanya terarah kepada Hud. Wajah suaminya seakan mahu menerkamnya.
“Saya, saya tak menangis...” Laju sahaja Aneesa mengelap air matanya. Cuba menahan, daripada air matanya jatuh.
Hud terus sahaja bangun, lalu menuju ke arah Aneesa. Lengan isterinya terus sahaja direntap kuat.
Wajah Aneesa menyeringai menahan sakit.
“Kau jangan ingat, aku terima pernikahan ni? Disebabkan kaulah, aku terpaksa padam impian aku. Kenapalah aku pergi hantar bekal pada kau malam tu? Kenapa?” Hud masih mengawal suaranya. Dia tidak mahu ibunya yang sedang tidur terjaga pula, apabila mendengar suaranya.
“Tapi, saya tak minta benda tu terjadi.”
“Ya, memang kau tak mintak. Tapi, kenapa kau nak juga nikah dengan aku? Kenapa kau terima? Aku dah selamatkan kau, kau tahu tak? Sepatutnya kau jelaskan pada orang kampung, apa yang dah jadi.”
“Tapi saya dah beritahu pada orang kampung. Awak sendiri dengar, kan? Tapi dia orang langsung tak percaya.” Aneesa memalingkan wajahnya. Tidak berani dia bertentang mata dengan suaminya itu.
“Kau betul-betul dah musnahkan hidup aku. Dan kau juga, dah musnahkan impian aku! Kalau bukan sebab kau dan malam sial tu, aku mungkin dah ada peluang untuk jadi pelakon sekarang!” Suaranya meninggi saat ini.
Air mata Aneesa sudah mula bertakung.
“Aku tak mahukan pernikahan ni, kau faham tak? Dan aku tak nak kau wujud dalam hidup aku!”
Aneesa terpaku, air mata mula mengalir di pipi. Kata-kata Hud bagai menikam jantungnya.
“Saya... saya minta maaf.” Aneesa terdiam seketika. Suaranya tersekat di kerongkong saat ini.
Sedaya upaya dia cuba untuk bersuara. “Dan... saya bersyukur bila awak datang selamatkan saya...”
Hud terus sahaja melepaskan cengkaman tangannnya pada lengan Aneesa. Tetapi kemarahannya masih lagi membara.
“Selamatkan kau? Kau sekarang ni, dah jadi beban dalam hidup aku!” bentaknya, sebelum Hud berjalan keluar dari bilik tersebut.
Tinggallah Aneesa sendirian di dalam bilik itu. Air mata semakin laju mengalir. Dia redha, jika selepas ini Hud mahu menceraikannya. Dia tahu, dia sudah menjadi beban dalam hidup suaminya.
Share this novel