Ngilu.
Itu yang menjalar dalam tubuh lelaki itu sebaik mata mereka bertaut. Kakinya mungkin sudah tiada, tetapi sakitnya kembali serta-merta. Biarpun anggota itu telah hilang, dia masih merasakannya.
Kesakitan itu terlalu segar, seolah-olah baru semalam dia ditikam berkali-kali. Masih terbayang hentakan demi hentakan, masih terasa bagaimana tulangnya retak saat tayar kereta menggilis kakinya. Rasa itu tak pernah hilang. Dan hari ini, ia kembali. Tepat seperti hari itu. Tidak berkurang walau sedikit.
Hatinya mula berdebar. Takut? Marah? Dia sendiri tidak pasti. Yang dia tahu, ada sesuatu dalam dirinya yang tak mampu dikawal.
Dia menggolekkan tayar kerusi rodanya perlahan ke belakang, tetapi matanya tidak beralih daripada wajah gadis itu—berdiri di hadapannya sambil memeluk buku erat di dada. Wajah itu terlalu polos. Terlalu lembut. Namun dia tahu lebih baik daripada sesiapa, gadis itu bukan seperti yang dipamerkan.
"Papa?"
Suara anak lelakinya mengembalikannya ke dunia nyata.
"Kenapa tengok May macam tu?"
Dia memandang semula ke arah gadis itu. Polos? Kekejaman yang dilakukan gadis itu langsung tidak layak digelar kepolosan. Dia psiko. Raksasa berselindung di sebalik wajah malaikat.
Dia terganjak sedikit ke belakang akibat lintasan fikirannya, namun pergerakan kerusinya dihentikan oleh tangan gadis itu.
"Uncle okay?" suara May menyusul, lembut dan tenang—jauh berbeza dengan hari itu. Hari yang menjadi saksi dia kehilangan kakinya. Hari yang menjadi saksi segala kekejaman.
"Apa lagi yang kau nak daripada aku?" soalnya kasar, menepis tangan gadis itu.
May kelihatan terpinga dengan reaksinya. Dia dan anak lelaki itu saling berpandangan.
"Apa papa ni?" Anak lelakinya bersuara, nada kecewa mula jelas kedengaran.
May mengangkat tangan sedikit, cuba menenangkan. "Salah I. I pegang wheelchair papa you tiba-tiba. Dia mungkin tak selesa," balasnya lembut. Tenang. Membela lelaki itu walaupun dia baru saja disergah.
Lakonan.
Dulu, tiada simpati pun waktu dia merayu meminta belas kasihan.
"But that's rude!" anaknya menyanggah.
"You tak rasa apa yang papa you rasa. Lagipun I orang luar. I boleh faham," May membalas, masih lembut, sambil melemparkan senyuman yang... ikhlas?
Dia tersilap pandang? Atau dia tersalah orang?
Tak. Mustahil.
Wajah itu dia kenal dengan jelas. Dia hafal setiap inci wajah gadis itu. Mereka memang orang yang sama. Dia yakin dia tidak salah. Jadi... sandiwara apa yang sedang dimainkan sekarang?
"Papa, enough! You're really rude right now!" Anak lelakinya bersuara lagi, lebih lantang. Pergelangan tangan May—yang entah sejak bila berada dalam genggamannya—direntap kasar oleh anaknya. Dia terpana.
May meneliti perlahan bekas merah di pergelangan tangannya, lalu meniupnya perlahan, seperti mahu meredakan rasa sakit. Gadis itu tidak berkata apa-apa. Tidak melawan. Tidak menyindir. Hanya diam.
"Jom pergi," kata anaknya perlahan. Dia menarik tangan May dan mula melangkah pergi.
"Wait! I'm sorry!" Suaranya segera menyusul.
Dia tak boleh biarkan May pergi begitu saja. Gadis itu berbahaya. Dia takkan biarkan anaknya terus bersama raksasa dalam wajah manusia.
***************************************************************************
Hari itu.
Jelas dalam ingatannya. Tidak pernah dilupakan walau sesaat. Tidak mungkin mampu dilupakan walau seberapa kuatnya dia mencuba.
Dia membuka mata perlahan. Pandangannya kabur, namun tubuhnya cukup peka untuk menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Kepalanya berdenyut. Leher terasa berat. Nafasnya sempit, seolah dinding di sekeliling sedang menghimpitnya.
Gelap. Sepi.
Dia cuba menggerakkan tangan. Gagal. Kaki—juga tidak mampu digerakkan. Panik mula mencengkam.
"Kat mana aku...?"
Tiba-tiba, cahaya terang menyala dan dipancarkan terus ke mukanya. Silau. Panas. Menyakitkan. Dia memejam mata serta-merta. Cuba mengangkat tangan untuk menahan cahaya, namun hanya kesakitan yang terasa. Kedua-dua tangannya terikat ketat ke belakang, tubuhnya dikunci ke kerusi besi yang keras dan dingin.
"Siapa dekat sana?!" jeritnya. Getar dalam suaranya cuba disembunyikan. "Apa ni?! Lepaskan aku! Kau tahu aku siapa?!"
Tiada balasan.
Hanya gema suaranya sendiri, melantun kembali dalam ruang gelap itu. Lebih menakutkan daripada diam itu sendiri.
Beberapa saat berlalu.
Kemudian, bunyi tapak kaki.
Perlahan. Teratur. Bergema dari belakang.
Langkah yang penuh keyakinan. Seolah pemiliknya tahu dia takkan ke mana.
Peluh dingin mula mengalir di tengkuknya.
"Hei! Jangan main-main! Kau nak duit, kan?! Aku boleh bayar! Berapa kau nak?!"
Langkah itu berhenti.
Seseorang berdiri di hadapannya. Sukar untuk melihat wajahnya kerana cahaya yang menyilaukan. Namun bentuk tubuh itu jelas... seorang perempuan.
Tubuh kecil. Langkah tenang. Tangannya memegang sesuatu.
Akhirnya suara itu kedengaran. Lembut. Perlahan.
"Duit?"
Perempuan itu ketawa kecil. Suara ketawa yang dingin.
"Berapa sangat kau boleh bagi?"
"Lima puluh ribu? Sejuta? Berapa kau nak?!"
"Hmm... macam sikit sangat jer." Gadis itu melangkah ke belakangnya, membuka sebuah beg kecil di atas meja. Satu demi satu, peralatan dikeluarkan. Pisau. Alat pencungkil. Playar. Jarum.
Semuanya tersusun rapi.
Ini bukan kali pertama dia lakukan semua ini.
Dia menelan air liur. Bunyi alat-alat itu cukup kuat di telinganya. Dia tidak tahu apa yang sedang menantinya, tetapi degupan jantungnya kini seolah-olah ingin meletup. Nafasnya mula sesak.
"Apa kau nak daripada aku...?" suaranya semakin perlahan, hampir hilang.
Gadis itu tidak menjawab. Dia hanya tersenyum, memandang ke belakang kepalanya.
"Jangan risau," katanya perlahan. "Aku cuma nak bermain."
Hmm.. Still good?
Share this novel