DAPP 3 - Akad Nikah

Romantic Comedy Series 1700

ANEESA menutup tubuh badannya yang sudah separuh terdedah, dengan kedua-dua tangannya. Dia cuba untuk bangun, tetapi tubuhnya ditolak semula ke atas lantai. 

“Kau, kau siapa!” Aneesa bersuara tinggi. Tetapi masih ada ketakutan dalam dirinya.

Naem tidak bersuara. Matanya sedang terarah pada tubuh badan Aneesa, yang dirasakan semakin menggiurkan. 

Air mata Aneesa sudah mula bertakung. Dia benar-benar takut saat ini. Tidak menunggu lama, dia terus sahaja bangun dari lantai tersebut, dan cuba untuk melarikan dirinya ke dalam bilik. Tetapi kakinya tersadung saat dia melangkah untuk menaiki anak tangga.

Naem masih tidak mahu bersuara. Dia menantikan orang kampung tiba, barulah dia membuka topeng mukanya. Dengan cara itulah, dia akan dapat bernikah dengan Aneesa. Orang kampung pasti akan salah faham, dengan apa yang akan dilihat mereka nanti.

Pada saat ini, Hud sudah tiba di halaman rumah Aneesa. Rumah kayu dua tingkat itu kelihatan sunyi sepi.

Bekal makanan di tangan terasa berat. Matanya terus terarah pada cahaya lampu dapur yang menyala saat ini. Hud terus menuju ke arah pintu dapur tersebut. Mulutnya sudah bersedia untuk memberi salam, dan selepas menyerahkan makanan, dia akan terus pulang.

Belum sempat Hud mahu membuka mulut, kedengaran suara Aneesa sedang menjerit dari arah bilik tingkat atas.

“Tolong! Tolong lepaskan aku!” jerit Aneesa.

Hud terpaku seketika. Kenapa dengan wanita itu? Ada apa-apa yang berlakukah? Tanpa berfikir panjang, Hud terus sahaja berlari masuk ke dalam. Bekal di tangan terus diletakkan di atas meja.

Suara Aneesa yang sedang merayu bercampur tangis, kedengaran dari dalam arah bilik. Hud laju menuju ke bilik tersebut.

Alangkah terkejutnya dia, apabila melihat Aneesa sedang bergelut dengan seorang lelaki bertopeng. Dia nampak Aneesa cuba meronta, matanya penuh ketakutan, dan memandang tepat ke arah Hud, seperti meminta pertolongan.

“Kau siapa ha! Apa yang kau cuba buat!” jerit Hud. Tangannya sudah terkepal, bersedia untuk menyerang.

Naem terkejut mendengar suara dari arah belakang. Dia terus berpusing. Sangkaannya orang kampung yang datang, tetapi bukan.

Buk!

Satu tumbukan tepat mengenai wajah Naem. Tetapi nasib baiklah topeng yang dipakainya tidak tertanggal dari wajahnya.

Kenapa bukan orang kampung! Dan kenapa Hud pula yang datang ke sini? Tidak. Ini bukan rancangannya. Jika dia tertangkap, dia pasti akan dipenjarakan akibat cubaan memperkosa.

Naem terus sahaja menolak tubuh Hud, sehinggakan lelaki itu tersungkur ke belakang. Dia mengambil peluang untuk melarikan diri. Laju sahaja dia mengambil langkah seribu. Sekelip mata sahaja Naem menghilang. Hud langsung tidak sempat mengejar.

Aneesa sudah menangis teresak-esak saat ini. Dia terus menarik selimut bagi menutupi tubuhnya badannya yang masih dalam keadaan berkemban. Nasib baiklah kain batiknya tidak terlucut.

Tanpa berfikir apa-apa, Hud terus menuju ke arah Aneesa, lalu berdiri di sisinya.

“Kau okey tak ni?” soal Hud. Dia cuba untuk menenangkan wanita itu. Tangannya seakan mahu menyentuh bahunya, tetapi Hud sedar, mereka tiada ikatan yang sah.

Aneesa masih menangis. Dia benar-benar berasa takut. Nasib baiklah Hud datang menyelamatkannya. Kalau tidak, entah apa yang akan terjadi kepadanya.

“Astagfirullah al-azim. Apa yang kau orang berdua buat ni?” Ketua kampung sudah berdiri di muka pintu. Beberapa orang kampung turut memandang ke arah mereka berdua.

Hud dan Aneesa terpinga-pinga saat ini. Kenapa tiba-tiba ada orang kampung berada di dalam rumah ini?

“Hud, Neesa? Kau orang buat apa ni?”

Wajah Hud mula berubah. “Tok, ni salah faham tok. Kami berdua tak buat apa-apa. Saya datang tadi nak hantar bekal. Lepas tu saya terdengar suara Neesa menjerit. Dan saya cuba nak selamatkan dia.”

“Apa maksud kamu?” soal ketua kampung lagi.

“Tadi ada lelaki bertopeng masuk ke dalam rumah, dan cuba nak buat benda yang tak elok pada Neesa.”

“Eh, kau jangan nak tipu. Aku nampaklah kau datang tadi. Kau ikut pintu dapur. Kenapa tak ikut pintu depan? Mentang-mentanglah Ajim tak ada dekat rumah.” Ali tiba-tiba bersuara. Dia mendapat arahan daripada Naem tadi. Rancangan sudah bertukar.

“Betul tok. Hud memang datang nak selamatkan saya. Ini semua salah faham tok.” Aneesa pula bersuara.

“Mana lelaki yang cuba nak buat benda yang tak elok tu? Takkan tak sempat nak tangkap?” Ali sengaja memanaskan keadaan.

Lidah Hud kaku untuk bersuara. Dia tidak sempat menangkap lelaki bertopeng tadi.

“Kenapa kau berdiri sebelah Neesa? Kenapa kau tak berdiri jauh? Memang kau orang berdua nak buat benda yang bukan-bukan, kan?” Ali masih lagi menokok tambah.

“Ha, itu apa atas meja tu? Durex? Kau bawa Durex? Ha, confirm la kau orang berdua nak buat benda tak elok tu, kan? Tapi gunalah alasan, ada orang lain yang masuk dalam rumah ni.” Jari Ali menunjukkan satu kotak kecil berisi alat pelindungan untuk bersama, di atas meja solek Aneesa.

Ketua kampung menggeleng perlahan. Begitu juga dengan yang lain.

Hud dan Aneesa terkejut. Mereka langsung tidak mengerti apa yang berada di atas meja solek. Bila masa pula benda seperti itu boleh berada di dalam bilik ini?

Ali sudah tersenyum sendiri. Nasib baiklah Naem sempat meletakkan benda tersebut di atas meja.

“Kalau macam itu, tak boleh dibiarkan. Kau orang berdua harus bernikah, untuk mengelakkan daripada kau orang berdua buat maksiat Lagi.”

Aneesa terkejut. Begitu juga dengan Hud. Dinikahkan?

Ali turut terkejut. Aneesa dan Hud harus dinikahkan? Habislah dia. Ini bukan rancangannya bersama Naem. Kenapa mereka berdua harus dinikahkan pula?

HAMIDAH duduk di kerusi ruang tamu rumah, sambil memandang Hud yang sedang berdiri memandangnya. Wajah anaknya kelihatan nampak kelat, dengan tangannya terkepal kuat. Dia tahu, anaknya masih marah dengan apa yang telah berlaku malam tadi.

“Hud kena nikah juga dengan Neesa,” kata Hamidah dengan suara tegas, walaupun ada getar kecil yang cuba disembunyikannya.

“Orang kampung dah mula bercakap. Malu kita takkan hilang, kalau Hud tak nak bertanggungjawab,” sambung Hamidah lagi.

Hud mengetap gigi, kemarahan semakin membuak-buak saat ini. “Ibu, Hud tak buat apa-apa pun dengan dia! Hud cuma tolong dia aje! Kenapa Hud pulak yang kena tanggung semua ni? Ibu yang paksa Hud hantar bekal. Bila masa pulak Hud nak buat benda yang tak senonoh dengan Nessa? Fikir logik sikitlah ibu!” Suaranya mula naik.

Hamidah terdiam, sambil memegang dadanya.

“Ini bukan salah Hud! Lelaki bertopeng tu yang sepatutnya ditangkap, bukan Hud pulak yang dipaksa bernikah dengan perempuan tu!”

Hamidah bangun dari kerusi, langkahnya perlahan menuju ke arah Hud. Dia memandang anaknya, dengan penuh kasih sayang.

“Hud, dengar cakap ibu ni. Ini bukan pasal salah ataupun betul. Ini tentang nama baik keluarga kita. Orang kampung takkan lupakan kejadian malam tu. Kalau Hud tak nikah dengan Neesa, mereka akan cakap Hud tak bertanggungjawab, dan orang kampung akan cakap keluarga kita tak ada maruah.”

Hamidah tarik nafas seketika, untuk mengawal nada suaranya. “Neesa tu mangsa, Hud. Hud yang jumpa dia dalam keadaan macam tu. Dan Hud juga yang selamatkan dia malam tu. Kalau Hud tak sempat selamatkan dia, entah apalah nasib Neesa.”

Di hati Hamidah, ada rahsia yang  dipendam. Dia tak mahu Hud tinggalkan kampung ini, dan pergi ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kursus lakonan yang selalu dibualkan. Sejak suaminya meninggal, Hud adalah satu-satunya yang dia ada. Jika pernikahan ini berlaku, itu adalah tiket untuk memastikan Hud kekal di kampung, dan juga di sisinya.

Tapi Hamidah tahu, jika dia berterus-terang, Hud pasti akan melawan dengan lebih keras. Jadi, Hamidah terpaksa menyembunyikannya. Dan dia juga gunakan cara ini, dengan menggunakan nama baik keluarga sebagai alasan.

Hud menggeleng. “Ini langsung tak adil! Hud ada impian, ibu tahu tak? Hud nak jadi pelakon, Hud nak keluar dari kampung ni! Sekarang ibu suruh Hud nikah dengan perempuan yang Hud tak cinta, cuma sebab orang kampung bercakap?” Air mata mula bergenang, tapi dia menahan, tak mahu nampak kelihatan lemah.

“Hud tak nak terperangkap, ibu!”

Hamidah melangkah lebih dekat, tangannya memegang lengan Hud. “Hud, anak ibu. Ibu tahu Hud ada impian, tapi hidup bukan cuma pasal impian. Hud kena fikir pasal tanggungjawab, pasal keluarga kita, pasal Neesa juga.” Dia berhenti, batuk kecil mengganggu kata-katanya, tapi dia tetap mahu teruskan.

“Hud nikahlah dengan Neesa. Bukan cuma untuk Neesa, tapi untuk kita semua. Ibu takkan bagi nama keluarga kita tercalar. Neesa pula? Takkan nak biarkan orang kampung bercakap, kalau Hud tak nak bertanggungjawab?”

Hud menarik tangannya, wajahnya merah dengan kemarahan. “Ibu menang, tapi Hud takkan bahagia dengan perkahwinan ni,” katanya, dengan suaranya rendah. Hud berpaling, dan melangkah keluar ke beranda, memandang sawah padi yang terbentang luas.

Di hatinya, merasakan kampung ini seakan membawa bala kepadanya, dan perkahwinan yang bakal mengikat impiannya.

Hamidah duduk kembali di kerusi, tangannya memegang dada yang terasa sesak. Batuknya semakin kerap sejak akhir-akhir ini. Sebelum Hamidah menutup mata, dia berdoa di dalam hati, supaya Hud tidak membencinya dengan keputusan yang telah dibuatnya. Dia tahu, dia sudah terlalu mementingkan diri sendiri.

SUASANA di dalam bilik akad nikah pejabat agama terasa hambar. Tiada pelamin indah, tiada bunga rampai, hanya meja panjang dengan tok kadi. Dan di hujungnya, ada dua orang saksi duduk di sisi, dan beberapa pegawai agama yang memerhati.

Hud duduk berdepan dengan tok kadi, wajahnya saat ini benar-benar tegang. Di sebelah, Aneesa  menunduk, seolah-olah lantai di bawah kakinya lebih selesa dipandang daripada wajah-wajah yang hadir.

“Aku terima nikah, Nur Aneesa binti Amir, dengan mas kahwinnya, tiga ratus ringgit tunai.”

“Sah?”

Saksi yang berada di situ masing-masing mengangguk. Akhirnya Aneesa sah menjadi isteri kepada Hud, dengan sekali lafaz sahaja.

Tiada upacara sarung cincin, tiada tepukan gemuruh. Yang ada cuma beberapa helai kertas yang perlu ditandatangani, seakan perjanjian hidup yang dimeterai di bawah tekanan. Segalanya berlangsung singkat, kaku, dan penuh rasa malu yang bersisa.

Hamidah yang berada di belakang, hanya mampu terdiam. Setelah dipujuk, akhirnya Hud bersetuju untuk bernikah dengan Aneesa.

Ajim yang berada di sisi Hud, memandang ke arah Aneesa. Dia sebenarnya masih terkejut dengan apa yang berlaku. Tetapi apakan daya, ini sahaja caranya untuk mengelakkan daripada dirinya menanggung malu. Sampai ke hari ini, masih tidak tahu, siapakah lelaki bertopeng itu.

Dalam masa tiga hari ini juga, mereka berdua telah melalui ujian HIV sebelum akad nikah. Urusan borang pernikahan, dibantu oleh Ajim. Adik iparnya itu benar-benar dingin. Tetapi Ajim tidak peduli, yang penting mereka berdua mahu dinikahkan.

Pada masa itu, Hud benar-benar di dalam keadaan serabut. Nak tak nak, dia harus bersetuju, selepas menerima tekanan daripada Hamidah. Manakala kursus perkahwinan pula, akan diambil selepas akad nikah mereka nanti.

Walaupun mereka bersetuju untuk dinikahkan, keputusan mahkamah syariah tetap tidak berubah. Kes khalwat yang menjerat mereka, tidak digugurkan begitu sahaja. Hukuman tetap berjalan, dan denda harus dibayar mengikut undang-undang.

Hud juga tidak mahu memanjangkan kes khalwat itu, jadi dia hanya bersetuju sahaja.

Usai membaca doa, dan menandatangani borang nikah, mereka berempat terus sahaja melangkah keluar dari pejabat agama tersebut.

“Mana cincin?” soal Hamidah.

Hud berdecit perlahan. Dia mengeluarkan kotak cincin dari kocek seluarnya.

“Sarung cincin tu dekat jari Neesa.”

Nak tak nak terpaksa jugalah Hud menyarungkan cincin tersebut pada jari manis Aneesa. Cincin yang ada pada jari manis Aneesa, merupakan cincin tunang ibunya dulu. Walaupun sudah lama, tetapi nampak seperti baru. Aneesa cuba untuk menyalami tangan suaminya, tetapi laju sahaja Hud berjalan menuju ke kereta.

Hud langsung tidak mahu memandang wajah mereka bertiga. Dia benar-benar sakit hati. Lebih-lebih lagi dengan ibunya.

“Jangan ambik hati sangat dengan Hud ya? Ini, mas kahwin Neesa.” Album bersaiz A5, yang berisi enam keping wang tunai RM50 dihulurkan kepada Aneesa.

Perlahan-lahan Aneesa mengambil album tersebut, dari tangan ibu mentuanya. “Terima kasih mak cik.”

“Eh, kenapa masih panggil mak cik lagi ni? Panggil aje ibu.”

Aneesa terdiam. Baru dia teringat, dia sudah pun mempunyai suami. Dan Hamidah, sudah pun menjadi ibu mentuanya.

“Ibu, kami sebenarnya tak buat perkara terkutuk tu.”

Hamidah tersenyum. Dia tahu, mereka tidak melakukan hal seperti itu. Tetapi itu sahaja caranya untuk membuatkan Hud tidak meninggalkannya. Disebabkan itulah dia memaksa Hud untuk bertanggungjawab.

“Sudah, dah lama Hud tunggu tu. Mari kita balik?” ajak Hamidah.

Aneesa mengangguk. Dia memandang wajah abangnya Ajim.

“Nanti kita jumpa di rumah. Baju adik ada yang tak kemas lagi, kan?” kata Ajim dengan suara sebaknya.

Aneesa mengangguk. Dia turut berasa sebak. Melihat wajah abangnya sahaja, telah membuatkan dadanya berombak. Dalam masa yang sama dia turut berasa takut. Entah macam mana kehidupannya selepas ini. Adakah dia akan bahagia bersama-sama dengan Hud? Ataupun Hud akan membencinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience