Adam melabuhkan pandangannya pada Khayla dari kejauhan. Hatinya digigit geram. Sudah seminggu dia cuba menghubungi gadis itu namun setiap panggilan langsung tidak diangkat. Mesejnya juga dibiarkan sepi. Jelas benar Khayla cuba melarikan diri.
Silap besar, Khayla. Kau belum kenal aku. Kau lari ke lubang cacing sekalipun, aku tetap akan cari.
Adam melangkah perlahan menuju ke tempat kerja Khayla.
“Adam…” Bulat mata Khayla sebaik sahaja menyedari kehadiran susuk tubuh itu yang semakin mendekat. Tanpa fikir panjang, dia berpaling dan cepat-cepat cuba meloloskan diri dengan menyorok di bawah kaunter.
“Kau dah kenapa? Ada customer datanglah.” Haziqah menegurnya. Menyorok macam ternampak hantu. Khayla tidak menjawab sebaliknya dia menekup mulut menggunakan tangannya sendiri.
“Yes, sir. Dine in or take away?” soal Haziqah, tersenyum profesional saat Adam berdiri di depannya.
“Take away.”
“Order, sir?”
“Khayla. Please.”
Haziqah terdiam. Nak order Khayla? Apa hal? Matanya merenung lelaki kacak itu. Eh, macam mana dia kenal Khayla? Otaknya ligat menggali memori, mencuba mengingat kalau-kalau pernah kenal lelaki itu dari masa lalunya tapi jawapan yang diterima “syntax error”!
“Khayla, I know you’re down there. Cepat keluar sebelum saya sendiri tarik awak keluar dari bawah tu,” suara Adam bernada amaran.
Khayla menepuk dahi. Tiada peluang untuk lolos. Perlahan-lahan dia bangkit, tersenyum kelat memandang Adam. Macam mana mamat ni tahu aku kerja sini? Dia stalk aku ke? Seram!
“Boleh kita bercakap?”
“Tak boleh. Saya tengah kerja.”
“Oh, bos awak tak beritahu ke? Hari ni awak kerja half day.”
“Hah?” Khayla terpinga. Bila masa pula dia mohon half day?
Adam mengeluarkan telefon bimbit, mendail nombor, lalu menyerahkan kepada Khayla.
“Cakaplah. It’s your boss, Saini.”
Haziqah hanya memerhati. Gerak hatinya berbisik, ini mesti Adam. Wajah lelaki itu tampak gentleman walaupun serius. Rahang tajam, hidung mancung, tubuh tegap — sempurna!
“Hello?” Khayla bersuara ragu-ragu.
“Haa, Khayla! Hari ni saya lepaskan awak half day. Esok pula off day, atas permintaan Adam.”
“Eh, tak payah. Semalam saya dah off—”
“Itu semalam. Saya cakap pasal esok. Apalah awak ni, perkara baik macam ni pun nak sorokkan dari saya. Apa-apa pun lucky you, Khayla. Saya tumpang gembira. Good luck untuk wedding preparation awak. Bye!”
Talian terputus. Khayla membatu. Wedding preparation? Apa semua ni?!
Telefon kembali ke tangan Adam. Lelaki itu hanya mengangkat kening, mengukir senyum puas. Khayla kian terperangkap.
“Cepat siap. Saya tunggu.”
Khayla mengetap bibir. Dia ni ingat boleh arah hidup aku suka-suka?
“The time is clicking, Khayla. Kalau awak tak ikut saya, saya block depan kaunter ni sampai semua customer belakang tak dapat order.”
Khayla mengeluh. Fine! Apa nak jadi, jadilah.
“Ziqah, kalau aku tak balik pukul enam, kau cari aku tau.” bisiknya.
Haziqah menarik bajunya. Berbisik semula. “Eh, siapa dia ni?”
“Adam…”
Haziqah melopong. Oh my God! Betul teka aku! Untungnya Khayla, dibuang Rais, dapat pula lelaki macam ni. Jackpot! Kau beruntung Khayla!
“Girl, come on.” Adam menyampuk. Tidak sabar melihat mereka berdua berbisik panjang.
“Pergi la cepat, Khayla. Aku nak layan customer lain,” kata Haziqah, menolak bahunya. Seolah-olah mengusir Khayla supaya segera pergi dari situ. Kalau itulah rupa bakal suami kawannya, 100% persetujuan dia berikan.
“Lambat.” Adam bersuara saat Khayla tiba di sisinya.
“So tak jadi la kan? Kalau macam tu saya sambung kerja.”
“Nak lari lagi? Seminggu saya cuba contact awak tapi awak sengaja mengelak saya, kan?”
“Saya busy. Tak sempat nak layan call awak.” Dalih Khayla. Walhal dia sengaja membiarkan nama Adam berkelip di skrin.
“Oh sibuk ya? Kalau dah kahwin nanti awak tak payah kerja. Saya tanggung awak.”
“Eh, kita tak bincang pun lagi pasal tu. Awak tak boleh buat keputusan sendiri.” Khayla membentak.
“Itu sebab saya call awak. Nak bincang tentang hidup kita. Saya tak gila nak buat keputusan seorang diri. Ini tentang hidup kita yang sedang kita perjuangkan.”
Khayla mencebik. Dah memang gila, tak nak mengaku pula.
“Cepat masuk kereta. Kita pergi minum. Dah seminggu awak buang masa kita sebelum tarikh nikah.”
Terpaksa, Khayla melangkah berat mengiringi Adam ke parkir. Terpana seketika melihat Range Rover hitam mewah itu. Siapa sebenarnya lelaki ni?
Kereta meluncur tenang. Khayla pecah sunyi. “So, kita nak minum dekat mana?”
“Kita nak pergi fitting baju kahwin.”
Khayla tersentak. Ish, kalau tahu dari awal lagi dia tak ikut.
“Adam, please. Lepaskan saya. Saya menyesal. Saya tak nak kahwin. Kita cancel, okay?” Khayla panik.
“There’s no turning back, Khayla.” Adam tegas.
“Saya tak nak. Saya tak kenal awak pun. Banyak lagi perempuan lain kat luar sana, cantik, wangi, bergaya. Saya ni… bau ayam goreng pun melekat!” Khayla merayu hingga bergenang air mata.
“Ya, ramai. Tapi saya nak awak.”
Khayla kaku. Harapannya untuk lari kian tipis.
“Tapi saya tak kenal awak.”
“Awak tahu nama saya. Itu dah cukup.”
“Adam…” suara Khayla pecah.
“Jangan berdalih. Kita ada tiga minggu saja. Awak dah buang seminggu, sekarang masa sangat sempit."
“Tak nak kahwin…” Khayla teresak. Menyesali persetujuan dulu.
Adam terdiam, membiarkan dia menangis.
“Khayla, kalau awak tak ready nak jadi isteri saya… At least, be my housemate. Kita kalau nak duduk serumah, kita kena kahwin. Kalau tak, orang tuduh kita bersekedudukan. Lagi pula saya tak boleh nak batalkan semua ni sekarang. Nenda dah uruskan semua dewan, katering, bridal. Please, untuk setahun saja…” rayu Adam perlahan.
Khayla menyeka air mata. Wajahnya muram, langkahnya longlai saat Adam mengajaknya masuk ke butik. Dengan berat hati, dia akhirnya akur untuk mencuba baju pengantin yang bakal disarung dalam tiga minggu lagi.
Fitting baju kahwin - merupakan permulaan kepada sebuah pengakhiran yang belum pasti.
Khayla menatap bayangannya di dalam cermin. Untuk seketika, dia sendiri bagaikan terpaku melihat bayangannya. Tubuhnya kini disarungkan dengan kurung moden songket ivory keemasan, penuh sulaman benang emas dan taburan kristal halus yang berkilau setiap kali cahaya butik menyentuh permukaannya. Potongan bajunya kemas, menonjolkan siluet sederhana sebelum jatuh beralun mewah ke bawah.
Di bahagian kepala, tudung satin silk warna ivory lembut membingkai wajahnya dengan sempurna. Tudung itu dijahit bersama lace Perancis di tepiannya, dihiasi butiran manik mutiara yang berkilau halus. Veil panjang tiga meter disemat rapi di belakang, bertingkat-tingkat jatuh mengikut langkahnya, bagaikan gelombang sutera yang mengiringi tiap gerakan.
Bahagian lengan bajunya sarat dengan sulaman kerawang perak, manik kaca kecil bertaburan sehingga ke pergelangan tangan, seolah gelang yang menyatu dengan kulitnya. Khayla sendiri hampir tidak percaya bayangan di cermin itu adalah dirinya. Wajah bertudung yang kelihatan sederhana sehari-hari kini berubah menjadi ratu.
Khayla kini kelihatan seperti pengantin idaman setiap lelaki. Dia kelihatan anggun, mewah dan sangat mempesonakan. Ini semua terlalu megah dan mewah.
Adam terpegun. Tidak berganjak. Matanya menatap Khayla seolah-olah dia baru saja menemukan sesuatu yang berharga.
"Perfect,” bisiknya dengan suara rendah yang hanya mampu dia dengar.
Adam melangkah mendekati Khayla. Pekerja butik yang sejak tadi membantu Khayla cepat-cepat mengundurkan diri. Memberi ruang hanya untuk mereka berdua.
“You look stunning, Khayla,” ucap Adam perlahan, matanya tidak beralih daripada bayangan gadis itu di cermin.
Khayla cuba mengukir senyuman, namun senyumannya hambar, tawar, penuh keterpaksaan. Di dalam hati, masih terdapat pergolakan yang sedang berlaku. Jiwanya memberontak dengan rasa tidak rela.
“Nanti pada hari perkahwinan kita, saya tak nak tengok muka murah, masam, kelat macam ni,” suara Adam tegas. Hampir seperti arahan.
“Awak kena berlatih senyum. Ingat, Khayla, awak kena pandai bawa diri di depan keluarga saya. Saya tak nak seorang pun tahu tentang kesepakatan kita.”
Khayla hanya mengangguk lemah. Dalam diam, hatinya menyumpah. Belum kahwin dah pandai arah itu ini. Lepas ni apa lagi? Senyum kena paksa, hidup pun kena berlakon. Kenapa aku rasa seperti sedang mainkan watak dalam drama yang bukan dia pilih?
Adam membetulkan veil yang berjuntai jatuh pada bahu Khayla. tangannya bergerak sendiri tanpa sempat dia mengawalnya. Sebaik saja menyedari tindakannya, Adam segera berpaling. Nafasnya turun-naik buat seketika. Menyedari bahawa dia hampir melangkaui batas. Jantungnya berdegup kencang. Ada getar halus yang menusuk jauh ke dadanya.
Khayla sekadar diam. Tidak menyedari situasi yang sedang dialami Adam. Sedaya-upaya Adam menghapuskan debarnya dengan senyuman.
Share this novel