BAB 2

Romantic Comedy Series 11772

JAM menunjukkan pukul 10.15 malam. Suasana malam yang hening itu ditemani oleh bunyi cengkerik dan riang-riang yang bersahut-sahutan di luar rumah. Malam semakin larut, namun Shira masih segar berjaga. Terkebil-kebil matanya merenung siling putih yang kelihatan seperti layar kosong, seolah-olah dia sedang menonton wayang drama kehidupannya sendiri yang bertajuk, Kahwin Paksa – Episod Seterusnya.

“Ya Allah... Macam manalah bakal suami aku tu nanti? Nak kenal pun tak sempat, tahu-tahu dah jadi bini orang dalam tempoh beberapa hari lagi. Macam aku ni barang Shopee pula. Klik, check out, terus sampai rumah. Bezanya, barang Shopee boleh return dan minta refund dalam tujuh hari. Aku ni? Nak return macam mana? Kena jadi janda dulu nampaknya. Arghhh!" Shira menekup muka dengan bantal. Suara jeritannya tenggelam dalam bantal peluknya yang baru diganti sarung itu.

“Umur 28 tahun, education Bachelor of Civil Engineering, kerja stabil, ada saving sikit, ada kereta tinggal 2 tahun nak bayar, tak pernah couple, tapi ada crush. Sekali... ayah bagi aku surprise suami terus! Hmm, surprise la sangat!" Shira mencebik. Bantal peluknya ditolak ke samping, lalu dia melepaskan satu keluhan panjang. "Kalaulah boleh tukar 'surprise' ayah ni, aku nak tukar dengan set skincare full package. At least, glowing dan tegang berseri jugak muka aku, bukan muka tegang sebab stress.”

Patung beruang sebesar bantal di sebelahnya lantas diraih, lalu diangkat ke udara dan direnung. “Kan best kalau aku boleh kahwin dengan kau, Teddy. Kau diam je, tak cerewet, tak pandai buat muka. Ya lah, sebab muka kau memang dah ‘frozen’ macam ni dari kilang.”

Shira mendengus. Dia tahu dia tidak mampu melarikan diri daripada hakikat. Jiwanya memprotes, namun fikirannya memujuk supaya reda dan pasrah. Ini soal menyelamatkan ayahnya dan juga reputasi keluarga mereka yang tidak semudah menyelesaikan hutang sardin dan belacan di kedai runcit Pak Usin bayar hujung bulan.

Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan pintu membuatkan Shira spontan memandang ke arah pintu.

“Masuklah, pintu tak kunci!” laungnya seraya menarik bantal peluknya semula ke dalam pelukan. Posisi baringnya yang tadi menelentang segera diubah kepada mengiring mengerekot, acah-acah watak dalam telenovela yang tersakiti dan pasrah dengan nasib.

Daun pintu terkuak perlahan. Puan Salmiah menjengahkan kepalanya ke dalam sebelum dia melangkah masuk bersama dengan senyuman, tetapi jelas ada riak bimbang yang terpamer pada seraut wajah yang belum dimamah usia itu.

“Shira…” panggilnya sambil melabuhkan punggung di samping anak perempuannya itu. “Mak tahu keputusan ni berat untuk Shira. Sebenarnya, mak sendiri pun tak faham kenapa arwah atok dan arwah Tuan Haidun buat wasiat pelik macam ni. Tapi, Shira faham keadaan ayah sekarang, kan? Bahagian harta warisan arwah atok untuk ayah dulu bukannya banyak sangat lagi lepas dah bahagi dengan 8 orang adik-beradik ayah. Itu pun ayah dah guna untuk beli tanah ladang 20 ekar tu. Harta pusaka gabungan arwah atok dengan arwah kawan dia tu je harapan yang ada sekarang."

Shira menelan liur sambil melakar senyuman nipis untuk sembunyikan pergolakan dalamannya. Lantas, dia duduk menyandarkan belakangnya pada kepala katil. “Shira faham, mak. Kalau ini je cara nak selamatkan ayah, keluarga kita dan nama baik keluarga kita… Shira sanggup dan reda. Kahwinlah dengan siapa pun. Walaupun lelaki tu alien, Shira sanggup je, janji ayah tak diisytihar muflis.”

Puan Salmiah menarik nafas berat. “Terima kasih, sebab faham. Ayah bukannya tak cuba usaha cara lain. Ayah dah pergi jumpa kawan-kawan lama, cuba mohon pinjaman baru dan cuba tawar dengan pihak bank, tapi semua jumpa jalan buntu. Seboleh-bolehnya, ayah tak nak lepaskan masalah ni kat Shira, tapi memang dah takda cara lain lagi.”

"Kan Shira dah cakap tadi, Shira faham. Jangan risau, okey?" Senyuman nipis kembali terukir di bibirnya, namun hatinya meraung sambil memeluk bantal peluknya kuat-kuat seolah-olah bantal itu adalah perisai daripada realiti. Air matanya bertakung, tetapi dia berusaha agar tidak tumpah di depan wanita kesayangannya itu.

Kalaulah ada pilihan, aku boleh je buat pinjaman untuk tolong bayar hutang ayah. Tapi, dengan gaji aku yang tak berapa nak gah ni, berapa sangatlah bank nak bagi. Nak cover tiga bulan gaji pekerja-pekerja ladang ayah pun tak cukup, inikan pulak hutang berjuta ringgit. Kalau aku pinjam pun, bolehlah setakat nak bayar habis balance hutang kereta dan hutang SpayLater aku. Itu pun mungkin sangkut jugak kalau aku asyik shopping online tambah hutang.

Dia tersengih sendiri, kemudian cepat-cepat dia sembunyikan riak wajahnya ketika Puan Salmiah menatapnya. Kalau mak nampak aku sempat senyum dalam situasi macam ni, confirm kena bebel, sebab tak pandai serius! Padahal, aku senyum bukan sebab lucu, tapi sebab kesiankan diri aku sendiri.

“Shira anak yang baik…” Puan Salmiah mengusap lembut kepala anak perempuannya. “Mak bangga dengan Shira, tau. Insya-Allah, semua ni ada hikmahnya. Kalau Shira tak nak buat majlis besar-besaran, kita buat majlis nikah simple je."

Shira hanya mengangguk. Hendak membantah, tetapi dia tidak sampai hati. Biarlah dia memprotes dalam hati sahaja.

Selepas beberapa minit berbual, Puan Salmiah akhirnya meminta diri. Shira kembali memandang siling disusuli dengan keluhan panjang.

“Okey, Shira. Kau kena tidur, nanti muka kusam dan sembab macam baru keluar gua pula kat majlis nikah kau," gumamnya sambil menutup mata rapat-rapat, memaksa diri untuk masuk ke alam mimpi, namun otaknya masih ligat berputar.

Katil bersaiz queen itu terasa luas, tetapi dadanya terasa sempit. Hampir setengah jam berlalu dan akhirnya dia tertidur tanpa sedar.

- - - -

HALAMAN belakang rumah agam milik Dato' Jasri itu tampak tenang dengan hiasan bunga orkid milik Datin Asnah yang tersusun rapi di tepi pagar. Bau aroma kopi panas dan kuih bingka ubi di atas meja bulat yang terletak di bawah gazebo menghangatkan suasana minum petang tiga beranak itu.

Arrian bersandar pada kerusi rotan dengan kaki bersilang, sibuk menatal skrin telefon pintarnya dengan muka tanpa riak, namun telinganya menangkap setiap butir bicara kedua-dua orang tuanya tanpa menyampuk langsung. Sesekali, dia menghirup kopinya yang masih berasap.

“Abang betul-betul serius ke dengan rancangan kahwin tu?” Nada suara Datin Asnah kedengaran tenang, tetapi berbaur sinis dan tidak puas hati. Ekspresi wajahnya yang tegang jelas memancarkan keresahan. “Abang sanggup gadaikan masa depan anak sendiri semata-mata sebab duit?”

Dato’ Jasri meletakkan cawan kopinya selepas dihirup beberapa kali. “Awak sendiri tahu pasal projek pembinaan jalan raya kat Selatan tu, kan? Projek tu bukan projek kecil, kalau dapat projek tu, pulangan berkali ganda. Bidaan siapa paling tinggi, dialah yang dapat projek tu. Sekarang ni, syarikat kita kekurangan bajet, jadi kita sangat-sangat perlu modal tambahan untuk bidaan."

“Halah abang ni! Banyak lagi cara lain nak dapatkan dana lah. Kenapa mesti libatkan perkahwinan anak? Abang fikir perkahwinan ni main-main ke? Takkan abang nak anak kita kahwin dengan orang yang tak selevel dengan kita?"

"Nak dapatkan dana tu memang banyak cara, tapi dengan cara dapatkan partner share atau pinjaman. Yang ni, hak milik, faham tak? Abang tak peduli pasal level, asalkan harta pusaka arwah abah tu cair. Kalau projek tu masuk, bukan masalah kewangan syarikat je selesai, tapi nama syarikat kita juga akan naik. Itu jauh lebih penting.”

Datin Asnah mendengus. "Saya ada calon yang jauh lebih baik untuk Rian, Bang. Kalau nak dibandingkan dengan keluarga kampungan tu, keluarga calon saya tu ada reputasi dan ada rangkaian besar dalam bidang bisnes. Kita boleh je minta tolong dengan dia orang nanti."

Arrian spontan melirik ibunya, tahu sangat siapa calon yang dimaksudkan oleh wanita itu. Siapa lagi kalau bukan anak kawan rapatnya yang tidak habis-habis cuba dijodohkannya sejak dia balik dari UK dulu. Wanita seksi dan 'liar' itu, tidak berkenan langsung di hatinya.

“Ma..." Arrian akhirnya bersuara. Tenang, tetapi dingin, “Saya dan Papa dah confirm dah hal ni dengan peguam yang urus harta pusaka arwah Tok Abah. Dah tak boleh tarik balik dah. Lagipun, harta pusaka tu bukan hutang, tapi akan jadi hak milik keluarga. Kalau guna istilah minta bantuan, bukan ke tambah hutang namanya tu?"

"Rian! Awak betul-betul tak kisah ke kahwin dengan orang yang awak tak kenal sebab duit?” Sedikit meninggi suara Datin Asnah, geram.

Arrian menjungkit bahu dengan lagak selamba, lalu dia kembali menatap skrin telefonnya. “Saya tak nampak beza pun, Ma. Kahwin dengan pilihan Mama atau kahwin sebab wasiat, dua-dua tetap bukan pilihan saya. Jadi, bagi saya sama je. Bezanya, perkahwinan ni ada faedah. Kalau pilihan Mama tu, buat rugi masa dan rugi emosi je."

Kata-kata anak lelaki mereka itu membuatkan Datin Asnah langsung terdiam. Pandangan tajamnya jelas menunjukkan ketidakpuasan hati.

“Tahu tak apa! Betul apa yang Rian cakap tu, As," celah Dato' Jasri sambil mencapai sebiji kuih di atas meja. "Esok sebelum tengah hari, kita gerak pergi ke rumah Tuan Faheem untuk bincang pasal majlis nikah tu."

Arrian hanya mengukir senyuman nipis sambil melepaskan keluhan halus. Dia tidak menentang perkahwinan itu, tetapi tidak juga mengalu-alukannya. Baginya, perkahwinan yang bakal berlangsung dalam tempoh tiga hari sahaja lagi itu hanyalah demi kepentingan syarikat semata-mata dan dia fikir, sudah dapat apa yang diperlukan nanti, ceraikan terus perempuan itu, mudah!

Perempuan yang bakal menjadi isterinya itu cuma tiket sementara. Selepas semua hal besar syarikat selesai, dia akan bebas semula. Namun, jauh di sudut hatinya, ada kisah terpendam yang sudah lama dia simpan. Kisah yang tidak pernah dia ceritakan kepada sesiapa, kecuali sahabat karibnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience