Bab 1
Dua bulan lalu...
Kamilia mengatur langkah satu persatu menghampiri satu meja yang ditujui dalam restoran berputar itu. Dia menghadiri makan malam tetapi dengan hanya memakai pakaian kerja yang masih belum ditukar. Dia adalah wanita yang workaholic sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hidupnya menjadi hamba kerja dan dia lansung tiada masa untuk kehidupan peribadi. Oleh itu, apabila isu hidupnya mula diatur oleh keluarga dia tidak betah untuk membiarkan hidupnya mengikut telunjuk sesiapa. Biar dia sendiri yang menentukan arah tuju hidupnya walaupun pernah gagal sekali. Dia tidak mahu mengingati perkara itu. Jika sesiapa yang mengungkit di hadapannya pasti akan menyesal. Ini adalah serius!
Langkahnya terhenti di satu meja empat segi di mana seorang jejaka sudah menunggu bersama sejambak ros di atas meja. Hujung bibir Kamilia terjungkit sedikit menandakan dia agak terkesan dengan cara lelaki itu memulakan pertemuan pertama mereka. Ini adalah blind date yang ke sepuluh untuk tahun ini dan setakat ini lansung tiada yang berjaya. Sedangkan tempoh yang diberi datuknya Tan Sri Mokhtar hanya setahun. Tempoh untuknya mencari calon suami sendiri yang ideal.
“Hello, I'm Kamilia.” tegur wanita itu sambil menghulurkan tangan.
Sedikit kerutan di dahi lelaki itu terpamer apabila melihat huluran tangan Kamilia. Namun, dia tidak membiarkan tangan itu tidak disambut. Setelah bersalaman Kamilia mengambil tempat di hadapan lelaki itu.
Dia tidak bangun ketika aku sampai? Lansung tidak gantle. Ahh... Lelaki muda? Kamilia tersengih sedikit. Wajah lelaki di hadapannya ditenung dengan selamba. Berapa agaknya beza usia mereka? Kamilia cuma mengagak di dalan hati.
“Excuse me? Awak tak nak perkenalkan diri?” soal Kamilia apabila melihat lelaki itu hanya diam merenungnya.
“Er... Sis, I'm sorry but give me a second. I want to check my table.” kata lelaki itu sambil melihat skrin telefonnya.
Membulat mata Kamilia ketika itu. Apa? Adakah setelah melihat dirinya lebih tua dia mahu berdalih untuk melarikan diri?
Kamilia ketawa sinis. “Saya sudah tahu trick tu. Kalau awak nak pergi boleh pergi aje tak payah nak buat alasan seperti itu!”
Lelaki itu tersentak sehingga berkelip-kelip matanya memandang Kamilia.
“Sis... Ini adalah meja yang saya tempah. Ianya betul... Saya tak akan melarikan diri. Tapi, saya mohon sis yang kena pergi.” kata lelaki itu selamba sambil cuba menahan ketawa.
“Apa?” Kamilia terus melihat nombor meja tempahannya di telefon.
Wajah Kamilia merah padam apabila mendapati dirinya yang tersalah tempat. Dia mahu mengutuk diri sendiri tetapi cuba untuk berlagak tenang. Dia mengerling lelaki muda di hadapan dengan ekor mata lalu berdeham.
“Ehem! I'm sorry. But please don't call me sis. I bukan kakak you.”
Lelaki itu ketawa sehingga mengecil matanya. Kacak!
“I'm sorry miss...”
“Madam!” Kamilia betulkan panggilan itu.
“Okay, I'm sorry madam. Boleh tak you bangun? I'm waiting for my girlfriend...”
Sekali lagi wajah Kamilia merah padam. Dia ketawa sinis sambil bangun diri.
“Berusalah anak muda. Dunia sangat kejam untuk pasangan bercinta.” sempat dia memberi nasihat sinis secara percuma sambil melangkah ke meja belakang.
Lelaki itu tersengih seorang diri kerana tidak menyangka akan bertemu seorang wanita yang hadir ke blind date. Siapalah yang mahu berjanji temu dengan wanita seperti bongkah ais yang dilanggar Titanic itu? Meremang bulu romanya apabila melihat wajah sejuk itu. Namun, dia mahu lihat juga pasangan janji temu buta wanita tersebut.
Kamilia menyumpah di dalam hati apabila melihat pesanan yang baru masuk dari matchmaker yang tiba-tiba mengatakan dia silap memberi nombor meja. Kamilia pula tidak membuka pesanan tersebut sebelum tiba di situ. Ahh... Awal-awal sudah spoil. Moodnya juga sudah ke laut.
Selang beberapa minit, Kamilia tersedar ada seorang gadis manis berpakaian seperti pelayan restoran ataupun hotel berjalan menghampiri lelaki muda tadi. Wajah gadis itu kelihatan letih barangkali baru selesai bekerja kerana pakaiannya masih belum ditukar. Namun, dia kelihatan gembira berjumpa dengan teman lelaki yang kelihatan seperti anak orang kaya itu.
Kali ini Kamilia ketawa sendirian. “Ingin jadi cinderella? Berkahwin dengan anak orang kaya? Pergilah terjun bangunan...”
Kamilia mengambil air kosong yang sudah tersedia lalu meneguknya perlahan. Ya, dia adalah manusia yang memandang negatif kepada semua bentuk perhubungan. Baginya semua itu palsu! Cinta? Jangan sesiapa pun berani menyebut hal itu dihadapannya. Dia pasti akan mencarut sehingga sesiapa yang mendengarnya akan muntah!
Jadi, apa yang dia cari di atas semua temujanji yang dihadirinya? Dia mahu mencari seseorang yang mempunyai tujuan yang sama sepertinya!
Kamilia tidak boleh menahan diri dari mengintai pasangan di hadapannya yang kelihatan begitu bahagia. Si lelaki muda itu tersenyum dengan penuh gembira sambil menyentuh tangan si gadis. Lalu sejambak ros dihulurkan kepada gadis itu yang kelihatan sangat teruja. Wajah naif si gadis kelihatan malu-malu seperti mengatakan tidak perlu. Namun, si lelaki menyentuh kepalanya untuk menyampaikan keikhlasan hati.
Urghh... Kamilia terasa tekaknya kembang. Dia menggeleng kepala lalu melemparkan pandangan ke luar cermin kaca. Malas mahu mengintai lagi. Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur yang dilimpahi cahaya neon begitu mengasyikkan. Sekilas dia menoleh melihat jam di tangan, nampaknya dia sudah menunggu selama 20 minit. Dia mengeluh kasar. Sudah terpamer kerutan di dahinya menandakan anginnya sudah mula berubah arus dari sepoi-sepoi bahasa berubah ke angin kencang yang semakin menjadi tornado. Dia menyilang paha kanan ke atas paha kiri. Terserlah betis cantiknya yang licin.
“Exuse me... Sorry I'm late.” tegur seorang lelaki lalu mengambil tempat di hadapannya.
“Hi, I'm Faris.” Lelaki itu menghulurkan tangan.
Kamilia mengangkat kening sebelah. “Kenapa lambat?” soalnya tanpa menyambut huluran tangan itu.
Lelaki itu terkesima. Matanya memandang wajah Kamilia yang tiada segaris senyuman.
“Traffic jammed.” jawab lelaki itu. Dia menarik semula tangan lalu mengambil kedudukan yang lebih selesa. Inikah wanita yang menjadi buruan ibu bapa yang mahu menjadikannya menantu? Sudah pastilah kerana kedudukan wanita itu yang merupakan waris AZANI Group. Hanya kerana itu! Faris telah membuat sedikit kajian tentang wanita ini dari kenalan-kenalannya sebelum mereka bertemu pada hari ini. Wanita ini bukan perempuan sihir, tetapi psycho. Kenapa dia datang juga walaupun tahu? Sudah pastilah kerana terpaksa.
Kamilia melihat ke skrin telefonnya.
“Awak sepatutnya dari Kristal Idaman, tiada kesesakan trafik di jalan itu ke sini.” Kamilia meletakkan kembali telefon ke atas meja. Dia menyilangkan tangan ke dada.
“Pertama awak telah lewat, kedua awak telah menipu saya. Lepas ni apa pula?”
Lelaki di hadapannya ketawa sinis.
“Why so serious? Kita cuma nak blind date. My mom yang suruh I datang sini. You ingat I mahu sangat nak jumpa janda terdesak macam you ni?”
Lelaki itu menarik hujung kolar bajunya kerana panas hati.
Kamilia mengariskan senyum yang sangat sinis bersama renungan yang mampu membekukan hati sesiapa yang melihat. Meremang bulu roma Faris secara tiba-tiba. Ada puaka ke perempuan ni?
“You ingat anak tak guna yang hanya tahu habiskan duit mak bapak macam you ni... Layak untuk janda terdesak yang ada segala-galanya like me? Siapa yang lebih kasihan sekarang? Lelaki tak guna yang terpaksa datang ke blind date kerana bimbang elaun bulanan ditarik atau janda terdesak yang mahu mencari pasangannya?”
“Pasangan? Siapa yang mahu kahwin dengan perempuan gila macam kau? Biarlah kau taburkan segunung emas pun, tak ada lelaki yang mahukan kau. Kau tahu sebab apa? Sebab kau perempuan yang psycho. Sebab kau berduit je orang datang blind date bodoh dengan kau!”
Kamilia menarik nafas panjang lalu dihembus perlahan.
“Aku tahu... Kau meroyan sebab bekas suami kau telah berkahwin lain dan hidup bahagia kan? Sedangkan kau masih lagi kelihatan terdesak. Jangan bermimpi... Perempuan psycho macam kau ni nak hidup normal macam orang lain.”
Lelaki itu terus bangun dengan perasaan yang begang. Dia menyepak kaki kerusi bagi menunjukkan perasaan marahnya lalu terus meninggalkan meja itu.
“Hey...” panggil Kamilia
Lelaki itu berhenti dan menoleh.
Pappp!
“Aduhh!!” jerit lelaki itu apabila dahinya seperti terkena satu objek. Dia membuka mata dan melihat sebelah kasut wanita itu tergolek di hadapannya. Tangan kanannya masih menyentuh dahi kerana kesakitan.
“Perempuan gila!”
“Aku tak kisah kau nak cakap apa pasal aku, tapi jangan sesekali ungkit kisah silam aku, tiada siapa yang pernah beri kau amaran ke?” kata Kamilia dengan sinis dan selamba.
Kamilia terus berjalan ke hadapan untuk mengambil sebelah kasutnya yang dibaling tepat ke dahi lelaki tadi.
“Perempuan psycho, gila meroyan!” jerit Faris sambil mengangkat tangan untuk menampar wajah sejuk beku itu dengan sekuat hati.
Papp!
Tangan Faris di tahan dengan kejap. Lelaki itu terus memandang ke arah seseorang yang menahan tangannya. Kamilia tidak terkejut. Ia biasa berlaku untuk wanita hot sepertinya. Tidak perlu mempertahankan diri kerana pasti akan ada prince charming yang akan membantu. Dia sempat tersengih sinis.
“Bro... Tak perlu menampar perempuan. Patahkan aje kasutnya yang harga roadtax kereta tu. Good luck.” kata lelaki muda itu sambil tersengih.
Terbuntang mata Kamilia ketika itu dengan mulutnya yang ternganga. Celaka! Nampaknya semua orang sedang mencari pasal dengan Kamilia Irdina hari ini!
Share this novel
bru bab stu dh best apa lgi sterus nya. update lgiilgiilgii
betul2 cari nahas si Faris. Continue lagi Author please
betul2 cari nahas si Faris. Continue lagi Author please