"I'm sorry..."
Suara itu lembut, tapi jelas. Terlalu dikenali.
Hanya itu yang diperlukan untuk May terus meluru tanpa berfikir panjang. Dia menyiku bahu orang ramai, melanggar sesiapa saja yang menghalang, langsung tak peduli pada jeritan atau makian sekeliling. Fokusnya hanya satu.
Zack.
Dia mesti selamatkan Zack. Dan kali ini, dia tak akan gagal.
Tangga sempit itu seperti tak berpenghujung, tapi May panjat dua anak tangga sekaligus. Lututnya perit, nafasnya tersekat, tapi dia tak berhenti. Bayangan Zack yang jatuh terhempas bermain di mindanya—dan dia melajukan langkah. Dia tidak ingin terlambat lagi.
"ZACK!" jeritnya sekuat hati, tapi tiada sahutan.
Setibanya di tingkat paling atas, dia menolak pintu kecemasan sekuat hati hingga terpelanting terbuka. Otaknya belum sempat memproses pemandangan di hadapan, tubuhnya terlebih dahulu bergerak. Dia berlari dan melompat, menarik tubuh yang hampir terjun itu sekuat mungkin ke belakang.
Kedua-duanya terjatuh ke lantai konkrit. Tubuh May menghentam keras di bawah, dihempap tubuh yang lain. Nafas mereka sama-sama sesak, dada turun naik, tercungap.
Zack selamat. Dia berjaya!
Tubuh di atasnya segera bangun duduk dan May mengikuti langkahnya. Tanpa ragu, dia terus menarik tubuh itu ke dalam pelukannya. Rontaan di dalam pelukannya langsung tak diendahkan. Untuk pertama kali sejak kehilangan Zack, air mata yang lama membeku akhirnya mengalir juga.
"Please... jangan tinggalkan aku. Aku ada sini."
Suara May pecah. Rapuh. Jauh dari kebiasaan dirinya.
Tubuh itu terhenti dari meronta. May dapat rasakan kehangatan air mata di bahunya. Dia mengelus rambut itu perlahan... tapi jari-jarinya terasa janggal. Rambut ini—terlalu panjang. Terlalu lembut. Terlalu asing.
May melonggarkan pelukan. Dia menjarakkan tubuhnya sedikit—cukup untuk melihat wajah yang sedang menangis di dalam pelukannya.
Bukan Zack.
May terkaku. Wajahnya kembali beku, kosong. Air matanya mengering tiba-tiba. Dia hampir ketawa dengan kebodohannya.
Zack dah mati. Macam mana dia boleh jadi Zack?
Pelukan dilepaskan. Dia bangkit, menepuk habuk di tangan, dan berpaling—tanpa sepatah pun kata. Seolah-olah gadis itu tidak pernah wujud. Dia ingin berlalu pergi. Jika itu bukan Zack, maka bukan urusannya.
Gadis tadi masih terduduk, menggigil. Air matanya menitis deras. Bibirnya bergerak, suaranya tersekat di kerongkong.
"Kau patut biar je aku mati..." katanya perlahan.
May berhenti. Dia tidak berpaling. Suaranya muncul—datar, dingin.
"Kenapa?"
Gadis itu terdiam seketika, seperti tidak menjangka soalan itu. Tapi akhirnya dia bersuara, "Kau tak akan faham!"
May masih diam, tak memberi sebarang reaksi. Jika gadis itu tidak ingin bercerita, May juga tidak sudi menadahkan telinga. Tapi sebelum dia sempat beredar, gadis itu menyambung katanya.
"Strayz... dia ambil kesempatan atas aku. Aku ingat dia baik. Aku percaya dia. Tapi dia guna tubuh aku macam aku ni tak ada nilai... macam aku ni pelacur. Lepas tu dia buang aku macam sampah."
Perlahan, sedu gadis itu bertukar amarah.
May tidak berpaling. Angin menyapu hujung jaket Zack yang dipakainya.
Cerita itu tidak menyentuh hatinya. Tapi entah kenapa, dia masih berdiri di situ. Mungkin dia rindu dengar suara seseorang. Mungkin dia rindukan Zack.
"Aku buat laporan... polis lepas sebab tak cukup bukti. Syarikat dia saman aku balik sebab fitnah. Semua orang kecam aku. Kata aku perempuan murah. Nak tumpang populariti. Aku hilang kerja. Kawan semua pergi. Semua sebab dia penyanyi popular dan aku orang biasa. Undang-undang memang tak guna. Semua orang cuma akan bela yang kaya dan berpengaruh..." suara gadis itu bergetar. "Semut macam aku akan hancur macam tu je."
"Jadi kenapa?" May memotong. Masih belum sedikit pun memandang gadis itu. Suaranya masih tenang, tapi kali ini ada sedikit tekanan.
Gadis itu terhenti. Nafasnya tersekat.
"Apa maksud—"
May berpaling perlahan. Suaranya kini lebih tajam. Matanya menatap lurus ke arah gadis itu—kosong, tapi menusuk.
"Kenapa bukan dia?"
Soalan itu menggantung di udara—berat, dingin, dan terlalu jujur.
Gadis itu terpinga. Tidak mampu menjawab.
Mereka berdua hanya berpandangan. Sunyi yang membeku, seperti dunia berhenti seketika. Tiada yang bersuara. Sekadar saling memandang.
Bunyi pintu kecemasan dibuka tidak berjaya mengalihkan pandangan mereka. Sepasang pasangan tua bergegas masuk—mungkin ibu bapa gadis itu. Si ibu terus meluru, memeluk anaknya dengan esak tangis. Si ayah berdiri suram, wajahnya tak dapat dibaca.
Mereka berbicara, tapi tiada satu suara yang masuk ke telinga May. Gadis itu dibawa pergi—namun sempat berpaling, cuba menatapnya semula.
May masih berdiri di atas bumbung, memandang ke bawah. Gadis tadi dituntun pergi—namun matanya masih mencari May. Pandangan mereka bertemu sehingga gadis itu menghilang dari pandangan.
May diam. Matanya masih ke bawah. Jari-jarinya mengetap hujung jaket Zack.
"Zack..."
Angin menghembus pelan tiba bersama bayangan yang muncul di belakang May saat namanya diseru.
May masih lagi memandang kosong tanpa berkedip.
"Rupanya dunia ni bukan cuma ada satu raksasa."
If you're still reading this, thank you
Share this novel