IZARA melancarkan setiap gerak-geri lincah tangannya untuk menyiapkan satu jenis menu dessert tempahan pelanggan.
Ketulan mentega yang masih mengeras itu dimasukkan ke dalam sauce pan bersama dengan air lalu diletakkan ke atas api yang sudah dikecilkan suhunya, dibiarkan seketika sehingga adunan tadi sebati dengan baik, lalu api dimatikan. Kemudian, adunan tepung gandum bersama secubit dua garam dimasukkan pula ke dalam cairan mentega tadi sebelum digaul dengan sangat laju agar tidak berketul.
Pergerakannya kelihatan begitu sempurna, sesempurna adunan bahan-bahan yang sudah mula bersebati. Dalam hati tidak henti-henti memuji kepakarannya sendiri.
Leka sungguh wanita itu bekerja; belum sempat menuju ke langkah yang seterusnya, namanya pula kedengaran dipanggil keras dari arah belakang. Lalu, dengan pantas Izara menoleh walau sudah ditebak siapa gerangan yang memanggil itu.
"Iz, aku nak cakap sikit ni. Free tak?" soal Chef Iskandar dengan wajah yang sentiasa terlihat tegang. Namun setegang dan segarang apapun riak seorang Chef Eksekutif itu, tidak akan mampu membuatkan Izara berasa takut kerana dia sudah terlalu biasa berhadapan dengan situasi seperti itu.
"Kau mampak aku sedang berbaring tengok tv ke?" ringan sahaja mulut Izara memerli. Mana tidak geram, orang sedang sibuk mengadun, boleh-boleh pula dia bertanya yang aneh-aneh.
"Ah, tu suruh Mikhail sambung! Mikhail, sambung cepat!" arahan lantang terlantun dari mulut seorang ketua chef itu. Yang mendengar sudah pasti akan terkecut perut. Tetapi tidak bagi Izara, dia memandang Chef Iskandar hanya dengan sebelah mata sahaja kerana sifat sebenar lelaki itu, hanya dia yang tahu.
Setelah Mikhail mengambil-alih tugasnya, Izara terus menuruti pergerakan Chef Iskandar yang ke arah luar. Lokasi yang diambil sedikit hujung kerana bimbang perbualan mereka akan mengganggu para pelanggan yang sedang enak menjamu selera.
"Esok kau afternoon shif kan?" lelaki itu terus bersuara sebaik sahaja Izara sudah melabuhkan punggung di hadapannya.
"Haa, kenapa?"
"Tadi aku baru berjumpa dengan Tuan Hafeez. Tapi sebelum tu aku nak tanya, kau ada dengar tak pasal pertukaran C E O baru hotel ni?" nada suara Chef Iskandar masih sahaja kedengaran mendatar.
"Ada. Tapi kenapa? Ada kena-mengena dengan aku ke?" soal Izara kembali dengan riak kurang kisah. Dia yakin, semua itu tidak ada kaitan dengannya kerana dia hanyalah seorang chef biasa yang setiap hari bermain dengan pelbagai jenis tepung juga tidak jemu menghangatkan diri pada kepanasan suhu oven.
"Benda ni mendadak sangat dan kau tahu, esok C E O baru tu akan datang sini." kali ini, suara lelaki itu seakan-akan mahu mengeluh. Tiada lagi tampang yang serius melainkan riak kebimbangan hanya semata-mata.
"Oh, aku ingat apalah tadi." Izara tertawa sumbang dan yakin. "Dia pergi sini pun bukannya dia kacau kita pun kan? Tu, atas tu tempat dia." Izara menghalakan jari telunjuknya ke arah atas bersama sisa senyuman sinis.
"Gila tak kacau, esok Tuan Hafeez akan bawa dia minum petang kat sini dan kita diminta untuk sediakan setiap teatime menu." Chef Iskandar terus menyatakan apa sebenarnya yang membuatkannya sedari tadi keresahan. Bukan tidak biasa berhadapan dengan situasi seperti ini, namun Chef Iskandar terlalu bimbang dengan sikap cerewet pegawai atasan baharunya itu nanti; seperti mana yang telah diberitahu oleh Tuan Hafeez.
"Hahh? So, maksudnya kita semua kena datang awal-awal pagi la ni?!" tebak Izara, dan ketika itu juga dia mula merasa kerunsingan dan...malas.
"Haa, bijak pun dan aku dengan amat berbesar hati memberikan seluruh kepercayaan ini kepada kau! Menu apa-apa je la. Janji sedap, menarik dan terbaik." Chef Iskandar mengarah tegas dan serius. Namun lama-kelamaan, bibir yang sudah tidak dapat lagi mahu menahan senyum, akhirnya terlanjur memecahkan tawa apalagi saat melihat wajah masam Izara yang sudah terkulai layu di situ.
Mencebik geram, mendengus juga dengan perasaan geram Izara dibuatnya kerana dia tahu, penganugerahan kepercayaan itu sudah tentu-tentu akan memenatkan dirinya sahaja.
**********
Pagi itu, seperti biasa Izara akan menghantar anak kesayangannya. ke pusat jagaan terlebih dahulu sebelum berangkat kerja.
Izara memberhentikan keretanya tepat di hadapan pagar sekolah. Brek tangan ditarik kuat, sekuat perasan geramnya terhadap anak kesayangan yang tidak sudah-sudah menayangkan drama air mata. Bukan sekali dua, tetapi setiap pagi. Waktu pulang nanti, boleh pula anak itu terkinja-kinja menayang wajah seolah-olah dialah 'Good boy' mama yang sebenar.
Pintu kereta tempat duduk hadapan ditolak dengan sedikit kasar dari arah dalam. Ah, gagal!
Kemudian, dengan wajah yang berlapis-lapis kemasaman, Izara menuju pula ke arah pintu tempat duduk belakang. Juga gagal!
Nafas ditarik panjang, bersama gerakan bibir yang terkumat-kumit membaca sesuatu.
'Ya Allah, sabarkanlah hatiku...'
Izara mengaku, dia bukanlah seorang ibu yang lemah-lembut dan bersabar melayan karenah degil anaknya sendiri. Jika sekali, mungkin ya, tetapi semua itu sudah berlaku dengan terlalu sering!
Dengan bibir yang masih mempamerkan senyuman, Izarq berjalan lagi mengelilingi keretanya untuk menuju ke arah pintu tempat duduk belakang sebelah kiri; tempat anaknya melarikan diri tadi. Juga gagal!
'Sabar Izara sabar. Jangan kau mengamuk pula kat sini, malu parents lain tengok!' wanita itu memujuk diri.
"Baby please, mama nak pergi kerja ni." akhirnya Izara bersuara juga. Wajah sayu ditayangkan, dengan harapan agar anaknya bersimpati.
"Tak nak! Nak follow mama! Baby nak follow mama! Baby akut!" bentak Aryan sambil menendang belakang dada tempat duduk hadapan berkali-kali.
"Takut apa, baby? Teacher dengan kawan dah tunggu dah tu, baby! Tolonglah, mama dah lambat!" Izara mencuba melembutkan suara semampu boleh.
"Nak follow mama gak!" bentak anak itu lagi. Lebih kuat malahan suara nyaringnya sudah tertembus sehingga ke luar. Terjengul-jengul kepala para ibu bapa menonton drama tidak berbayar yang tertayang percuma di hadapan mata mereka. Ah, bukan tidak biasa, kulit muka Izara bahkan sudah tebal berinci-inci.
"Mama kena pergi kerja, faham tak?!Boleh tak kalau sehari je Aryan tak buat hal? Pening kepala mama ni tau tak?!" omel Izara geram sambil menjeling ke arah dalam pagar. Para pengasuh yang bertugas bukannya mahu membantu, tahu bergosip sahaja. Pantang melihat bapa-bapa segak datang menghantar anak, mulalah mereka merenyam, pergi merayap menayang diri masing-masing. Tidak dikisahkan langsung sama ada lelaki tersebut suami orang atau bukan. Janji lelaki! Ah, memikirkan hal itu, semakin sahaja membuatkan Izara bertambah sakit hati.
"Good boy mama, please sayang..." kali ini Izara merayu dengan nada yang lebih lembut dan keibuan.
"Aye takut, mama! Tak nak masuk!" kali ini, Aryan juga menjerit dengan lebih keras sebelum tangannya mula mencapai semua barangan yang dibawa lalu dilontarkan merata. Mencerlung tajam bebiji mata Izara melihat. Sabar seorang ibu itu benar-benar sudah hilang, malah senyuman yang terukir pada bibirnya juga dimatikan serta merta.
"Aryan!" tengkingnya kuat. Izara terus menerkam masuk ke dalam perut keretanya. Tubuh anaknya ditarik kasar keluar tetapi tenaga rontaan anaknya pula lebih menguasai drama aksi itu.
'Degil! Degill...agaknya macam ni perangai ARWAH bapa kau dulu!!' Izara memaki di dalam hati.
"Mama, Aryan sayang. Kenapa pula ni?" satu suara garau menegur dari arah luar, tepat di belakang Izara. Wanita itu terus mengeluh kegeraman, bertambah-tambah lagi geramnya. Selain anak, pemilik suara tadi turut membuatkannya bengang. Sudahlah dia sekarang sedang tertongeng, boleh-boleh pula jantan kemaruk berbini itu berdiri tepat di belakangnga. Tidak senonoh langsung! Adab mana adab?
'Mama?' Puii!
Izara segera memperbetulkan kedudukannya.
"Tuan..." Izara menyapa malas. Tidak perlu menambah ayat lain; hanya dengan menunjuk jari ke arah Aryan sahaja, Ridza sudah tentu akan tahu jalan ceritanya.
Tidak perlu diceritakan dari A sampai Z sinopsis drama itu kerana setiap pagi juga jalan ceritanya sama sahaja, dan penonton tetapnya sudah tentu lelaki itu; Tuan Ridza yang merupakan seorang pengarah perakaunan di hotel tempatnya bekerja. Setiap pagi juga lelaki itu yang akan menghantar anak abangnya sama ke pusat jagaan itu.
Dengan senyuman memujuk yang terukir pada bibir, Ridza terus beralih ke pintu sebelah kiri untuk mendapatkan tubuh bakal anak tirinya. Melihat Ridza, Aryan tidak pula melawan. Dipandangnya sahaja Ridza membukakan pintu kereta itu dari luar, seolah-olah dia sememangnya sedang menunggu kemunculan lelaki itu.
"Aryan, jom papa...opps...uncle hantar Aryan masuk." Ridza memujuk dengan nada yang lemah-lembut, sesekali melirik bangga pula ke arah Izara. Lelaki itu memang sengaja tersalah sebut kerana dia benar-benar memaksudkan usikannya itu. Jika bukan disebabkan panahan tajam mata Izara tadi, memang dia akan menggelarkan dirinya papa sahaja.
Aryan yang tadinya memberontak terus memaut bahu Ridza, mencerukkan wajahnya pada batang leher lelaki itu tanpa mahu memandang ke arah wajah Izara lagi. Namun semua itu sama sekali tidak akan membuatkan Izara merasa hairan. Memang seperti itu kemuncak cerita Aryan setiap pagi. Anak bertuah itu hanya mahu dibawa masuk oleh Ridza sahaja, dan penghujungnya, Izara akan mengucapkan terima kasih dan setelah itu, barulah dia akan bertolak ke tempat kerja dengan hati yang tenang. Selalu begitu, huhhh!
I update slow2 ya.sorry.next chap pun hari ni.
Share this novel
Ni mcm my boys.. Awal bangun lps tu.. Aduhaii.. Drama2