ELIZA mematikan api setelah selesai menggoreng ayam. Nasi juga sudah masak. Sup pun sudah tersedia. Timun , tomato dan salad sudah dipotong ketika menggoreng ayam tadi. Sebelum meninggalkan dapur, sempat dia mencecap sambal untuk memastikan rasanya cukup. Setelah berpuas hati, barulah dia kembali ke bilik untuk bersiap-siap. Walaupun Luthfi menyuruhnya menunggu di rumah, tetapi tidak ada salahnya juga kan jika dia membuat kejutan untuk suaminya itu.
Selesai mandi, dia memilih baju yang dibeli Luthfi ketika kali terakhir mereka keluar membeli-belah sebelum suaminya ke Oman. Blaus putih lengan panjang dari bahan sutera. Dia masih belum memakai baju itu. Tag harga pun masih belum dibuang. Memadankannya dengan jean biru gelap, dia memilih tudung bercorak bunga kecil dengan latar biru. Solekan ringkas dengan bibir dioles sedikit pelembap bibir kerana Luthfi tidak suka dia memakai lipstik berwarna.
Berpusing sekali di depan cermin, dia memerhatikan penampilannya buat kali terakhir. Dua bulan tidak bertemu, dia mahu nampak sempurna di depan suaminya.
Setelah yakin sempurna, barulah dia melangkah turun. Bersedia untuk menjemput Luthfi di lapangan terbang.
“RENU datang jemput ke?” tanya Luthfi ketika dia dan Tara sama-sama keluar dari balai ketibaan selepas mengambil bagasi masing-masing.
“A’ah. Kau? Iza jemput?”
“Tak. Aku suruh dia tunggu kat rumah je.”
Tara tertawa kecil. Tahu benar dengan sifat Luthfi yang satu itu. Tidak suka dihantar dan dijemput.
“Papa!”
Jeritan nyaring itu membuat Luthfi dan Tara sama-sama menoleh ke arah sumber suara.
“Siapa tu?” tanya Tara apabila melihat anak kecil itu melambai-lambai ke arah Luthfi sambil ditemani ibunya.
“Anak kawan aku,” jawab Luthfi. Turut terkejut melihat Sofea dan Eshal di sini.
“Kau suruh dia jemput ke? Eh kau ni…jangan kata…”
“Taklah!” Luthfi melajukan langkahnya mendekati Eshal.
“Eshal buat apa kat sini?” tanya Luthfi sebelum membongkok dan membawa Eshal ke dalam gendongannya.
“Nak jemput papa. Lepas ni kita pergi main?” Ceria suara Eshal menjawab pertanyaan Luthfi.
“Main kat mana?”
“Luth…Luth…” Suara Tara yang terdengar cemas membuat Luthfi menoleh.
“Apa?” tanyanya.
“Tu…” Tara menghalakan dagunya ke satu arah membuat Luthfi turut menujukan pandangannya ke arah yang sama.
Berubah wajahnya melihat Eliza berdiri tidak jauh darinya, memandangnya yang sedang mendukung Eshal dengan wajah sedih yang luar biasa.
“Iza!” Cepat-cepat Luthfi menurunkan Eshal dari gendongannya sebelum mengejar Eliza yang sudah berlari keluar dari ruang itu. Namun suara Eshal yang memanggil-manggilnya membuat dia berpatah balik.
“Eshal balik dulu ya? Nanti kita jumpa,” ujarnya. Dahi Eshal dikucup sebelum dia kembali mengejar Eliza.
“Iza!” Luthfi melilau di sekitar tempat letak kereta. Termengah-mengah nafasnya saking lelah, namun dia terus melangkah. Matanya meliar melihat setiap kenderaan yang diparkir di situ. Dia yakin melihat Eliza masuk ke sini tadi. Mungkin keretanya juga diparkir di sini.
Suara tangisan yang sayup-sayup singgah di pendengarannya membuat dia membawa langkahnya ke arah itu. Dia yakin itu suara Eliza. Tidak lama, dia melihat keretanya di salah sebuah ruang letak kereta. Segera dia berlari ke sana.
Terhenti langkahnya saat melihat Eliza bertinggung di tepi kereta dengan wajahnya disembamkan ke lutut. Masih menangis.
“Za…”
Tiada jawapan.
Luthfi mendekat lalu ikut bertinggung di sisi Eliza. Perlahan tangannya terhulur menyentuh bahu isterinya itu.
“Abang mintak maaf, Za. Abang tak tahu pun Eshal dengan Sofea datang. Abang…”
Eliza angkat muka.
Luluh rasanya hati Luthfi melihat wajah yang dirindui itu basah dengan air mata. Jelas menggambarkan kesedihan yang bukan sedikit.
“Kalau abang tak tahu, macam mana dia boleh ada kat sini? Macam mana dia tahu abang balik hari ni?” Serak suara Eliza berselang-seli dengan tangisannya.
“Abang…” Kata-kata Luthfi terhenti di situ apabila dia teringat beberapa hari lalu saat Eshal menghubunginya, dia ada memberitahu akan pulang hari ini.
Perlahan dia merapatkan kelopak matanya. Tidak sangka pula Eshal dan Sofea akan datang dan Eliza juga tiba-tiba membuat kejutan hari ini.
“Memang hari tu Eshal ada call. Abang bagitahu abang balik hari ni, tapi abang tak suruh dia jemput pun. Memang abang niat nak terus balik rumah.” Bersungguh-sungguh Luthfi memberi penjelasan walaupun dia tahu tidak mudah untuk Eliza percaya.
“Dia call, lepas tu abang bagitahu abang balik hari apa, naik flight apa, sampai pukul berapa? Apa yang abang bagitahu Iza, abang bagitahu dia jugak? Habis tu apa beza Iza dengan dia? Mana istimewanya Iza sebagai isteri abang kalau apa yang abang bagitahu Iza, abang bagitahu orang lain jugak!”
"Abang cuma bagitahu…Tapi takde terniat sikit pun nak suruh dia datang jemput. Lagipun Eshal tu kan...”
“Kalau macam tu abang pergilah kat dia! Biar Iza balik sorang!” Eliza bangun. Tangan sudah memegang knob pintu kereta. Namun Luthfi pantas menangkap pergelangan tangannya.
“Abang mintak maaf…okey?”
Eliza tepis tangan Luthfi. “Pergilah kat dia. Penat dia datang nak jumpa PAPA dia tapi kena tinggal.” Sengaja Eliza menekan suaranya saat menyebut papa.
“Za…”
“Patutlah abang tak nak Iza jemput. Sebab abang dah janji dengan dia kan? Dah puas keluar dengan dia, berseronok dengan dia, dengan MAK dia, lepas tu baru balik jumpa Iza? Nasib baik Iza datang hari ni. Kalau tidak, macam orang bodoh Iza tunggu abang kat rumah.”
“Bukan macam tu Za. Abang tak terlintas pun nak keluar dengan orang lain. Memang abang betul-betul tak tahu dia nak datang dan abang mengaku…salah abang sebab abang bagitahu abang balik hari ni. Abang mintak maaf.”
Eliza diam. Nafasnya yang turun naik menunjukkan dia masih marah. Bukan hanya marah, tetapi sedih, terkilan dan kecil hati. Mengingat anak kecil itu memanggil Luthfi dengan panggilan papa dan cerianya wajah Luthfi saat melihat Eishal membuat air matanya kembali deras mengalir.
“Abang mintak maaf…” Satu tangan Luthfi merangkul bahu Eliza lalu menarik isterinya itu ke dalam pelukan. Namun lagi-lagi Eliza menolak.
“Dua bulan Iza tunggu abang. Tapi balik-balik, abang jumpa orang lain dulu!”
“Abang takde niat pun nak jumpa orang lain dulu. Dalam kepala abang, abang memang nak balik jumpa Iza.”
“Kalau Iza tak datang tadi, mesti abang ikut budak tu kan? Lepas tu biar Iza tunggu kat rumah macam orang bodoh.”
“Sebab tu Tuhan gerakkan hati Iza datang jemput abang. Dia nak Iza selalu ada dengan abang supaya orang lain takde celah nak dekat dengan suami Iza yang handsome ni.”
Gurauan tidak bertempat itu membuat dia menerima jelingan tajam daripada Eliza.
“Demi Allah, abang tak suruh Eshal dan Sofea jemput abang. Betul, abang bagitahu abang balik hari ni, tapi abang tak mintak dia jemput.”
Eliza diam. Masih ragu walaupun nama Allah disebut. Bukan ragu dengan Yang Satu, tetapi ragu dengan penjelasan Luthfi.
“Abang tak pernah tipu Iza. Percayalah…” Luthfi terus berusaha untuk meyakinkan isterinya.
“Macam mana Iza nak percaya kalau…”
“Abang tak tahu macam mana nak buktikan pada Iza, tapi…setiap kali abang balik dari mana-mana pun, Iza orang pertama yang abang nak jumpa. Selama ni pernah ke abang lambat balik jumpa Iza?"
Tiada jawapan daripada Eliza. Akal warasnya mula menerima penjelasan Luthfi. Apatah lagi perasaan rindu yang mengatasi amarah membuat hatinya mula terpujuk.
“Kita balik ya? Bak sini kunci kereta.” Luthfi tadah tangan, meminta kunci kereta daripada Eliza.
Lambat-lambat Eliza menggagau kunci kereta di dalam beg tangan sebelum menghulurkannya kepada Luthfi.
“Jom…abang dah tak sabar nak makan Iza…eh nak makan masakan Iza…” Satu tangan merangkul bahu Eliza manakala satu tangan lagi membuka pintu kereta sebelum mendorong sedikit tubuh isterinya masuk ke tempat duduk penumpang.
Namun saat dia hampir menutup pintu kereta, suara Eshal yang memanggilnya membuat dia menoleh. Anak kecil itu kelihatan berlari ke arahnya sambil diekori oleh Sofea. Kerling Eliza di dalam kereta, isterinya itu sudah tarik muka.
“Papa nak pergi mana?” tanya Eshal.
“Uncle nak balik.” Walaupun Eshal memanggilnya papa, namun dia tetap membahasakan dirinya uncle kerana Eliza tidak suka. Beberapa kali juga dia mengajar Eshal memanggilnya uncle, namun anak itu tetap memanggilnya papa.
“Tapi Eshal nak pergi main dengan papa.”
Eliza yang mula jengkel, keluar dari kereta.
“Abang pergilah teman dia main. Biar Iza balik sendiri. Mana kunci kereta tadi?” ujarnya. Sedikit pun tidak melirik ke arah Sofea. Bengang kerana wanita itu tidak cuba memujuk anaknya.
“Eh…tak…tak…” Luthfi cepat-cepat mencekal pergelangan tangan Eliza. “Iza balik dengan abang.”
Luthfi kembali memandang Eshal sebelum membongkok sedikit mensejajarkan matanya dengan anak itu.
“Uncle penat hari ni. Nak balik rehat. Lain kali kita pergi main.”
“Bila?”
“Nanti uncle bagitahu.”
“Ala…penat Eshal datang jemput papa hari ni…”
“Kan uncle suruh tunggu uncle call, baru kita jumpa. Kenapa Eshal datang?”
Wajah Eshal berubah murung. Kecewa kerana permintaannya ditolak.
“Shal…” Sofea akhirnya bersuara sebelum melangkah mendekati anaknya. “...kita balik dulu ya? Nanti uncle call.”
Eshal tidak menjawab. Wajahnya tunduk menekur lantai sebelum tiba-tiba esakannya lolos. Sofea pandang Luthfi, berharap lelaki itu dapat menenangkan anaknya.
“Sofea…awak mak dia. Pujuk dia dan bawak dia balik. Suami saya baru sampai dari Oman. Dia penat, dia nak rehat. Tak ada masa nak layan sesiapa.” Eliza akhirnya bersuara. Tidak dia peduli andai Sofea tersinggung. Memang dia tidak suka. Titik!
“Yalah…” Sofea memaksa sebuah senyuman sebelum kembali memandang anaknya. “Jom Shal. Uncle penat. Biar uncle rehat dulu.”
Eshal akhirnya akur walaupun berat langkahnya meninggalkan Luthfi. Lambat-lambat dia menuruti langkah mamanya.
“Dah, jom kita balik…” Luthfi memandang Eliza yang kembali cemberut.
“Mak dia mesti sengaja suruh anak dia datang sini kan?”
“Dahlah, tak payah fikir pasal dia. Abang tak sabar nak balik rumah kita. Rumahku syurgaku, isteriku bidadariku.”
“Isteri yang mana?”
“Yang nilah. Syarifah Eliza binti Syed Mohamad. Satu-satunya, dulu, kini, dan selamanya.”
Eliza mencebik. “Gebang.”
“Abang gebang benda betul, Za.”
Eliza malas melayan. Masih sebal dengan Sofea yang seperti sengaja mengganggu momennya bersama Luthfi.
“Cepatlah masuk, Za. Takkan sampai Subuh esok nak terpacak kat sini.”
Eliza akhirnya masuk semula ke tempat duduk penumpang. Walaupun terganggu dengan kehadiran Sofea dan Eishal, namun dia lega kerana dia tetap menjadi keutamaan Luthfi.
Share this novel
Owh ni eliza yg kawan diana tu..ingat dah