BAB 5

Romance Series 11962

Ok, sambung cerita. Dah nak sampai part yang aku paling suka ni. Ehem,... Kalau dah ada pembuli mesti ada pengawas dekat sekolahkan? Ha, ni aku nak cerita tentang salah seorang pengawas yang aku kenal dan agak rapat jugalah dengan sahabat baikku, Ain. Ahmad Faiq Rakif bin Borhan. Seorang yang sangat peramah dan lemah-lembut. Cepat mesra, tak sombong dan yang paling penting dia ni BFF kepada ‘ Crush ’ku. Aku pernah satu kelas dengan dia masa form 2.

Kira aku dengan dia ni pun boleh tahan rapat jugalah, cuma yalah kan? Aku ni jenis pemalu dan kurang bersosial sangat jadi aku jaranglah nak selalu berborak dengan dia. Tapi aku tahu dia baik macam Daiyan. Ha.. Ha.. Ha.. Aku ni tiba-tiba pula keluarkan nama ‘Crush’ku dalam cerita orang lain.

Tak boleh nak sabar langsung hatiku ini. Sabar-sabarlah dulu bukan aku tak akan cerita pasal ‘ pujaan hati ’ku itu nanti. Ni part orang lain, nanti masuk part dia aku akan cerita banyak-banyak sampai lidah aku sendiri tergeliat. He.. He.. He... Ok, sambung balik! Dia ni selalu datang meja ke aku dulu nak korek cerita pasal Ain.

Ya, dia ni memang dah lama suka pada Ain. Tapi sayangnya bila dia baru sahaja nak mula bertegur sapa dengan Ain, awal-awal lagi dia dah kena ‘ friendzone ’ dengan gadis itu. Ain memang seorang yang tegas dan susah untuk membuka hatinya untuk mana-mana lelaki termasuklah yang sebaik Si Faiq ni. Tidak seperti aku dan Najjah yang memang pantang jumpa lelaki kacak sikit.

Mulalah berangan dan buat drama sendiri. Namun begitu, Najjah tidak seserius aku apabila meminati seseorang. Katanya dia lebih suka ‘ cuci mata ’ sahaja, tidak mahu bercinta, menaruh harapan dan memberi komitmen pada mana-mana lelaki. Tambahan lagi kami ni masih belum menamatkan zaman persekolahan. Kadangkala masa aku form 2 dulu, kalau Faiq datang ke mejaku untuk bertanya perihal Ain. Aku selalu mengusik dan ugut dia untuk beritahu dia suka pada Ain.

He.. He.. He... Boleh tahan nakal juga aku ni pun. Lepas tu dia mesti buat muka cuak dan terus pergi duduk di tempat dia balik. Bila Ain melihat dia kerap kali datang ke mejaku, mesti Ain beri amaran kepadaku supaya jangan di layan sangat perangai pelik Si Faiq ni.

Di luaran memang aku mengiakan sahaja tapi dalam hati sudah berguling-guling aku mahu ketawa. Wahai Nur Ain Sabrina, tahukah kamu bahawa jejaka yang dikatakan pelik oleh mu itu menyimpan perasaan terhadapmu?

Bila ingat balik memang lucu betul. Tetapi entah mengapa sejak akhir-akhir ni, Ain semacam peduli dan mengambil berat pasal seseorang. Entahlah, aku pun tidak tahu sama ada itu hanya khayalan aku sahaja atau memang betul Ain tu sedang risaukan tentang seseorang.

Yang pasti bukan aku, aku ni dari dulu sampai sekarang pun dia masih risau dan ambil berat. Maksud aku seseorang yang lain, bukan rakan-rakannya. Tapi itulah, aku pun tidak tahu. Nak tanya, aku malas pula nak campur hal personal dia. Jadi sehingga sekaranglah Si Faiq tu tak dapat ambil hati Ain, Ain pun layan dia sekadar kawan biasa macam tu sahaja. Kesian juga aku lihat dia, duduk satu kelas sahaja dengan Ain tu tapi Si Ain ni pula layan macam tak nak layan aje. Nasib kaulah Faiq minat pada perempuan yang penuh dengan impian dan wawasan hidup macam Ain tu.

Dah masuk dah part aku paling suka dalam sesi bercerita aku ni. Ehem.. Ehem, Al-kisahnya bermula sejak aku masih di tadika lagi. Ahmad Daiyan Amzar bin Mokhtar. Seorang atau satu-satunya budak lelaki yang sentiasa protect aku dari pembuli-pembuli masa tadika dulu.

Aku ingat lagi kali pertama aku menjejakkan kaki ke alam persekolahan yang bagi aku pada masa itu sangat-sangatlah menyeramkan. Dulu aku selalu fikir yang sekolah ni macam tempat tahanan. Bila mama dan papa balik dan tinggal aku berseorangan di situ aku akan didera dan dimarahi oleh guru.

Biasalah budak-budak, aku selalu menangis bila mama dan papa hantar aku pergi tadika. Jenuh jugalah mereka memujukku. Namun begitu, aku tetap juga berkeras mahu pulang ke rumah. Aku ingat lagi masa hari first day ke tadika, time tu aku punyalah peluk kaki mama merayu supaya di bawa pulang ke rumah.

Sampai tersedu-sedan jugalah aku menangis, meraung nak balik. Tetapi tanpa aku sangka, tiba-tiba ada seorang budak lelaki ni datang ke arah aku sambil membawa sapu tangan kecil berwarna biru laut. Aku ingat lagi ayat pertama dia kepada ku masa mula-mula kami bertemu tu. Ha.. Ha.. Ha.. Boleh bayangkan tak? Betapa hodohnya wajahku masa tu. Dengan air mata yang berjuraian di wajah, mata bengkak dengan tocang rambut pun sudah senget sebelah masa tu. Bila ingat balik memang memalukan. Kemudian dia pun sapa aku.

“ Hai, nama saya Eiyan! Kenapa awak asyik nangis aje ni?” tanya dia lembut seperti mahu memujuk. Aku masa tu hanya pandang sahaja muka budak lelaki itu.

Pada mulanya memang aku tak hiraukan sapaan budak lelaki itu. Tapi lama-kelamaan apabila dia melihat keadaanku seperti itu yang masih lagi tidak mahu melepaskan kaki mama. Dia kemudiannya menarik tanganku perlahan meleraikan rangkulan kejapku dari kaki mama. Dari kedudukan aku pada masa itu duduk terjelepuk memeluk kaki mama sehingga akhirnya aku betul-betul berdiri di hadapannya.

Perlahan tangan mulus kanak-kanak lelaki yang memengang sapu tangan kecil itu menyentuh wajahku lalu menyapu sisa air mataku yang membasahi sambil dia berkata kepadaku

“ Dah-dahlah tu, janganlah nangis macam ni, tak baik. Kalau awak takut tiada kawan, saya boleh jadi kawan awak! Tapi awak kena janji, jangan menangis macam ni lagi ok? ” ujar suara halus budak lelaki tu kepadaku.

Aku pada masa tu sudah berhenti menangis, akan tetapi bola mataku terpaku sejenak memandang wajahnya dengan tepat. Kemudian cikgu tadika aku masa tu, Cikgu Hayati pula sambung memujukku.

“ Ha, Hannah bolehlah berkawan dengan Eiyan ni. Nantikan Hannah boleh belajar dengan dia, main sama-sama dengan dia dan makan sama-sama dengan dia, nak tak? Nanti cikgu letak tempat duduk kamu sebelah Eiyan ya? ” kata guru muda itu cuba memujukku untuk masuk ke dalam kelas.

Aku pun apa lagi, mendengar sahaja pakej-pakej yang ditawarkan oleh guru muda tersebut. Dengan ceria dan gembira aku berkata

“ Nak,.. Nak!!! ”

Pada masa itu aku boleh lihat wajah mama sedari tadi yang risau akan keadaanku kian berubah tenang. Cikgu Hayati pula menarik nafas lega. Akhirnya aku dan budak lelaki yang bernama ‘ Eiyan ’ tu pun mula berkawan baik sehingga akhir tahun. Memang pada masa tu tiada siapa pun yang berani datang nak buli aku. Baik lelaki mahu pun perempuan. Budak lelaki itu memang berpegang pada janjinya.

Akan tetapi apabila aku masuk ke darjah satu di Sekolah Kebangsaan Damansara Utama ni, kelibat budak lelaki itu langsung tidak kelihatan. Hampir sebulan jugalah aku buat perangai tidak mahu pergi ke sekolah. Namun begitu, selepas aku kenal dengan Ain dan Najjah fikiran aku terhadap budak lelaki itu terus hilang dibawa arus kenangan untuk beberapa tahun.

Tidak sehingga awal tahun masa darjah enam dulu, ada seorang budak baru lelaki yang masuk kelas aku. Ya, dia adalah budak yang sama semasa aku di tadika dahulu. Aku ingat lagi, aku pernah berselisih dengan dia di dalam kelas sewaktu aku mahu menghantar kerja rumah yang diberikan oleh Cikgu Saufie.

Aku cuba senyum kepadanya di dalam kelas. Manalah tahu kalau dia ingat aku lagi kan? Namun dengan hampanya, dia langsung tidak memandang ke arahku apatah lagi mahu membalas senyuman yang aku beri padanya itu.

Terkilan juga rasanya, bila orang yang kita pernah rapat dengan dia dahulu tiba-tiba bila jumpa balik dah berubah 360° darjah. Banyak betul soalan yang membelenggu di fikiranku ketika itu. Dia dah lupa aku ke? Dia tak ingat ke aku pernah jadi kawan baik dia dulu? Atau entah-entah, itu budak lain tak? Aku salah orang ke? Aku pernah juga menceritakan perkara tersebut kepada Ain dan Najjah. Tetapi respon dan jawapan yang mereka beri kepadaku adalah kemungkinan aku salah orang, dan mungkin juga Daiyan dan budak ‘ Eiyan ’ masa aku tadika dulu itu adalah dua orang yang berbeza.

Namun begitu, jauh di sudut hatiku firasat tetap mengatakan ‘ Eiyan ’ dan Daiyan adalah orang yang sama. Cuma yang berubah di sini ialah perwatakannya sahaja. Sewaktu aku di tingkatan satu, dia juga mendaftarkan diri di sekolah yang sama dengan aku, cuma kelas sahaja yang berbeza. Sejak aku menegurnya di sekolah rendah dahulu dan dia tidak pernah membalas sapaan aku itu, aku bertekad. Cukuplah setakat aku boleh melihatnya dari jauh. Dia mula menceburi bidang unit pengawas ni sejak dari tingkatan satu lagi.

Pada mulanya Ain mengajak aku sekali untuk merebut peluang menyertai unit pengawas sekolah ni dulu. Tapi aku yang menolak. Ya lah, orang macam aku ni mana nak kena jadi pengawas sekolah. Lembik, lemah, senang kena buli dan tak reti nak berkeras sikit dengan orang. Biar aje kepala ni dipijak-pijak.

Dibuatnya nanti aku denda sesiapa ke dan diorang ada niat nak balas dendam dengan aku. Tak ke jadi satu masalah pula? Biarlah lagipun aku lebih selesa menjadi seorang pelajar biasa yang tidak memengang apa-apa jawatan pun di sekolah. Sejak Daiyan menjadi seorang pengawas sekolah ni, makin kerap aku perhatikan dia dari jauh.

Kalau boleh hari-hari, lalu sahaja di kawasan kelasnya, memang tidak sah kalau mata ini tidak singgah ke celah-celah daun tingkap milik kelas itu untuk mengintainya dalam diam. Kadangkala tabiat aku ni akan di tegur oleh Ain yang dianggap olehnya seperti kerterlaluan. Tapi itu semasa aku di tingkatan satu atau dua macam tulah, sekarang ni kalau buat lagi perangai mengendap anak teruna orang dalam kelas tu, confirm kena ketuk kepala dengan Ain.

He... He.. He… Lagipun sewaktu aku masuk ke tingkatan tiga, kelas aku dan Daiyan dah jauh sikit. Terpisah dengan blok bilik guru dan pejabat kakitangan sekolah. Kalau aku nak lalu ke kelasnya tiap-tiap hari semata-mata mahu memerhatikan dia sahaja, memang kantoilah aku dengan budak kelas dia nanti.

Tambahan pula Ain dah bagi warning dekat aku supaya jangan datang atau lalu ke kelasnya pada masa itu kalau tiada urusan penting atau hal yang munasabah. Kalau dia dapat tahu aku lalu di situ semata-mata mahu usyar Si Daiyan tu. Memang habislah aku kena ceramah free dengan Ain. Ya, Ain start satu kelas dengan Daiyan dari form three, dan masa nilah aku, dia dan Najjah tidak satu kelas lagi. Sejak dari tu, aku hanya boleh melihatnya sekiranya tiba waktu rehat dan waktu balik sahaja, agak terbatas jugalah.

Namun aku tetap berpuas hati. Tetapi semakin lama aku kerap memerhatikan dia dari jauh, semakin lama hati aku ni menyimpan satu perasaan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan. Perasaan itu akan hadir ketika aku terlihat kelibatnya di mana-mana kawasan sekolah, tidak kisahlah di bilik pengawas, kantin mahupun di tapak perhimpunan.

Perasaan itu seperti gembira, bahagia dan adakalanya membuatkan aku bersemangat untuk ke sekolah setiap hari. Bila dia datang dekat ke arahku atau dalam erti kata lain dia datang untuk bagi tahu apa-apa info baru pasal unit pengawas sekolah kepada Ain, semua perasaan itu akan bergabung menjadi satu dan dia akan menyebabkan jantungku tidak akan berdegup secara normal, dan sehingga sekarang perasaan itu membuatkan aku tidak berani untuk bertentang mata dengannya lagi.

Kalau aku terserempak dengannya seperti pagi tadi, aku akan cuba sedaya upaya mengawal riak wajahku agar tidak kelihatan cemas atau gelisah sangat. Oh, terlupa pula aku nak beritahu! Kebanyakkan pelajar atau guru-guru di sekolah ni yang mengenali Daiyan jarang memanggilnya dengan nama penuh seperti mana yang sering aku gunakan. Selalu mereka akan memanggilnya dengan nama ‘famous’ iaitu Daizar.

Aku tahu gabungan nama ini mesti berasal dari nama penuhnya sendiri, Daiyan Amzar yang disingkatkan menjadi Daizar. Entah siapalah yang bijak pergi gabungkan nama penuh dia tu menjadi satu singkatan yang mudah. Apapun berbalik pada cerita tadi, sejak perasaan itu mendiami hati kecil ini, aku akan jadi tidak senang apabila ada orang lain yang cuba rapat dengan Daiyan.

Pernah sekali aku cemburu dengan Ain sebab dia rapat dan satu kelas dengan Daiyan. Dulu bila Ain tegur aku atau nak ajak aku berbual dengan dia ke, mesti aku akan tarik muncung todak sebelas inci dulu sebelum aku layan dia nak tak nak aje.

Tapi bila Ain tanya aku sebab apa aku layan dia begitu dan aku ceritakan perkara yang sebenar, dia punya sakit perutlah gelakkan aku sehingga mengalir air matanya! Ha.. Ha.. Ha... Rupanya aku yang salah faham, Ain dengan dia cuma kawan biasa sahaja. Ya lah, rakan setugas dalam unit pengawas sekolah dan rakan sekelas memanglah agak rapat sikit, tapi itu tidak bermakna mereka ada apa-apa hubungan istimewa. Apabila aku mengetahui sahaja tentang perkara tersebut, aku terus menarik nafas lega.

Namun begitu, sejak aku masuk ke tingkatan empat, ada pula gosip-gosip liar dan khabar angin yang mengatakan Fazira Si Miss Universe Sekolah merangkap classmate aku tu ada hubungan istimewa dengan Si Daiyan ni. Memang masa first time bila dengar cerita ni disebarkan dari mulut ke mulut oleh semua warga murid di SMK Damansara Utama ni, rasa frust menongeng jugalah! Dari junior sampai senior, separuh daripadanya memang ramai yang percaya akan cerita ni.

Termasuklah aku! Ya lah, mana tidaknya. Mereka berdua tu kerap sangat aku tengok ke hulu ke hilir. Kadang-kadang tu aku nampak dia orang tu berborak mesra sangat, time waktu senggang aku mesti nampak diorang tu study sama-sama sebelum balik sekolah. Tapi tak adalah mereka berdua aje, adalah budak-budak lain dekat kantin tengah study masa tu. Itu yang ramai buat cerita ‘ dongeng ’ pasal mereka berdua tu! Tahap aku jealous time tu memang macam dah nak meletuplah! Tapi aku tahan aje.

Pada mulanya Najjah pun hampir percaya dengan ‘ mitos lagenda ’ tentang cerita Daiyan dan Si Fazira tu ada hubungan istimewa. Tapi ke semua khabar angin tersebut disangkal oleh Ain dengan hujahnya yang tersendiri. Ain menjelaskan bahawa mereka itu hanya kawan rapat tidak lebih daripada itu. Cuma orang lain sahaja yang suka mengada-adakan cerita, tambahan pula bukan dia tidak tahu. Daiyan tu bukannya suka atau selesa sangat dengan budak perempuan atau lebih tepat Daiyan ni macam anti perempuan sikitlah.

Kalau nampak dia rapat dengan mana-mana budak perempuan di sekolah itu pun mesti bersebab. Contohnya, sebab tugasan penting macam ada kerja berkumpulan ke, ada study group ke ataupun ada perkara penting dalam unit pengawas yang memerlukan dia berkerjasama dengan kaum Hawa ni.

Kiranya dia rapat dengan perempuan jika sangat-sangat berkeperluan sahaja. Kalau tidak jangan haraplah. Mengetahui hujah Ain itu ada betulnya juga. Sejak dari itu, Najjah berhenti untuk mempercayai cerita karut tersebut hanya kadangkala sahaja sekiranya dia mahu mengusikku mesti dia akan menggunakan cerita palsu ini sebagai senjata utamanya.

Akan tetapi dalam diam aku mempunyai pendapat yang bercanggah dengan Ain. Ya, mungkin mereka itu kelihatan pada mata kasar hanya seperti kawan biasa. Tapi siapalah yang tahu isi hati mereka? Hati aku tetap kuat mengatakan salah seorang dari mereka berdua itu ada yang menyimpan perasaan sesama sendiri. Disebabkan itu aku agak kurang senang sedikit apabila melihat Fazira cuba berbual mesra dengan Daiyan. Rasa jiwaku dijentik hebat oleh gelora cemburu.


♡♡♡

17 Mac 2009

Alhamdulilah, sudah hampir dua bulan lebih aku mengikuti program study group antara kelas aku dan kelas ‘Crush’ ku ini. Aku happy sangat bila aku dapat satu kumpulan dengan Najjah. Ha… Ha.. Ha.., tak adalah aku di‘ pulaukan ’ macam pulau terpencil dekat sini. Setiap kumpulan dalam program group study ni masing-masing ada enam orang ahlinya. Ikutlah, ada kumpulan seimbang ahlinya, tiga lelaki dan tiga perempuan ada juga kumpulan yang lelaki hanya ada dua orang dan empat lagi perempuan.

Kira meriah jugalah program ni. Ramai juga yang turut serta dalam program ni, kelas aku dan kelas Ain semua terlibat kira dah ada 40 lebih dah orang campur budak kelas Najjah 7 orang, budak kelas aliran seni dan aliran sains rumah tangga ada lebih kurang 5 orang. Jadi dengan jumlah yang seperti ini kelas aku dan kelas sebelah telah memutuskan untuk membahagikan kami kepada beberapa kumpulan dan sampai sekarang setiap ahli kumpulan masih dikekalkan dengan jumlah dan orang yang sama.

Untuk setakat ni memang tiada apa-apa perubahan lagi yang dicadangkan atau dilakukan oleh mereka. Setiap kumpulan akan berbicang dan buat ulangkaji dengan subjek yang berbeza-beza. Kira setiap kumpulan tak akan ulangkaji subjek yang sama setiap hari. Jika ada yang sama pun hanya dua tiga kumpulan sahaja. Macam hari ini kumpulan aku dan Ain ulangkaji subjek yang sama iaitu matematik.

Kumpulan yang lain pula, ada yang study Sejarah, Bahasa Melayu, Sains dan lain-lain subjek teras. Program group study ni pun ada juga jadualnya. Macam budak kelas aku akan terlibat setiap hari Isnin sampai Khamis sahaja.

Kalau kelas Ain pula diorang akan teruskan sampai hari Jumaat sebelah petang selepas selesai solat Jumaat kira dalam pukul tiga macam tu lah. Cikgu-cikgu memang tidak terlibat langsung dengan program kami ni.

Cuma kadangkala mereka akan bagi bahan latihan dan rujukan sahaja kepada kami. Program group study ni bermula pada pukul tiga petang hingga pukul lima petang. Sedang aku leka menyiapkan latihan matematikku tiba-tiba Najjah menyiku aku.

“ Hish, apa kau ni?! Habislah aku punya tulisan! ” jeritku di telinga Najjah yang berada di sebelahku.

“ Hish, sorry lah beb! Tak sengajalah. Tu Daizar minta kau punya kertas tu. Tadi kau nak tanya soalan nombor 5 tu kan? Aku mana reti nak jawab soalan tu. Aku pun tak buat lagi ni ha! ” jelas Najjah kepadaku.

Ha? Dia pergi panggil Daiyan?! Ya Allah kawan aku seorang ni, yang pergi panggil ‘ pujaan hati ’ aku tu buat apa? Mana perginya Si Miss Universe Sekolah tu? Ya,.. Aku, Najjah, Intan, Nukman, Fazira dan Daiyan dalam satu kumpulan yang sama. Pada mula tu aku terkejut juga, apabila namaku tersenarai dalam kumpulan ‘ Crush ’ku ini. Tapi dalam masa yang sama hatiku ni sudah melompat kegembiraan.

Ha.. Ha.. Ha.. bukan senang nak satu kumpulan dengan orang popular dan merangkap ‘ pujaan hati ’ku di sekolah ni. Namun kegembiraanku mulai kuncup semula apabila melihat nama Fazira Si Miss Universe Sekolah tu ada sekali dalam senarai ahli kumpulanku. Tapi, yalah kan nak buat macam mana? Terima ajelah. Kalau ada agenda yang menyakitkan mata ni, aku akan berpura-pura menyibukkan diriku.

Walaupun Si empunya diri sudah berada di hadapan mejaku, aku tetap menarik lengan Najjah, ingin menanyakan mengapa dia memanggil ‘Crush’ku datang ke sini. Kenapa? Sudah tidak ada orang lain ke dalam kumpulan ni?

“ Yang kau pergi panggil Daiyan ni buat apa? Fazira dengan Intan mana? ” bisikku perlahan di telinga Najjah yang berada di sebalik tudung putih itu.

“ Kau ni lupa ingatan ke apa? Kan hari ni kumpulan kita pecah jadi kumpulan kecil sikit. Bak kata ‘ Crush ’ kau tu senang sikit kalau kita buat macam ni, senang nak urus dan tahu setiap kelemahan kita enam orang dalam kumpulan ni untuk setiap subjek. And, yah! Nukman ketua kepada kumpulan Fazira dan Intan, sedangkan mamat pujaan kau ni leader kita dalam kumpulan kecil ni! ” bisik Najjah perlahan dan berhati-hati agar butir bicara kami tidak diketahui oleh Daiyan.

Oh, ya.., ya.. Aku lupa! Ya, Allah kau ni dah kenapa Hannah?! Benda macam ni pun kau boleh lupa. Aduh, habislah kalau aku tak boleh fokus macam mana masa dia explain dekat aku soalan ni! Dalam diam aku dapat melihat riak wajahnya seperti sudah bosan menunggu kami berdua menghabiskan perbincangan bisikan rahsia kami.

“ Hmm.., dah habis bincang? ” tanyanya dengan nada menyindir.

Najjah hanya mengangguk sambil tersengih memberikan jawapan. Aku pula jadi malu tak tentu arah. Aku terus menundukkan pandanganku melihat permukaan kertas latihan matematik yang penuh dengan pelbagai formula itu.

“ Hannah, bagi kertas kau! Meh, sini aku tengok soalan tu. ” kata Daiyan kepadaku.

Aku pula hanya mendongakkan sedikit wajahku melihat wajahnya. Tanganku perlahan menyuakan kertas soalan itu kepadanya.

“ Oh, soalan kira luas dan perimeter ke? ” ujarnya sambil memandang ke arah soalan tersebut.

“ Haah, kami lemah sikit bab ni Daizar. Soalan ni pula mengelirukan, itu yang kami tak buat lagi tu! ” jelas Najjah kepada Daiyan.

“ Tak apa. Meh, sini aku ajarkan. Senang aje soalan ni! ” ujarnya tenang kepada kami.

Dia pun memulakan sesi penerangan. Najjah sempat lagi berbisik kepadaku mengingatiku supaya fokus semasa sesi penerangan itu berlangsung. Yalah, bukan dia tidak tahu perangai kawan baik dia ni. Kalau dah dapat dengar dan tengok secara ‘live’ ‘pujaan hati’ sendiri di depan mata berbicara dengan kita.

Kapal terbang Air Asia terhempas dekat sebelah pun confirm tak perasan! Sehabis sahaja sesi penerangan tersebut dia terus bertanya kepada kami sama ada masih keliru ataupun sudah mampu menyelesaikan soalan tersebut.

“ Ha, macam mana? Faham tak lagi? ” katanya lembut kepada kami berdua.

“ La, macam ni aje! Macam manalah aku nampak susah sangat soalan ni? Tapi tulah, kau pakai teknik yang lain sikit daripada Cikgu Zain ajar kami. ” kata Najjah.

“ Oh, yakah? Cikgu Sulaiman ajar kami guna teknik ni! Tapi jawapan sama aje, cuma jalan kira ajelah berbeza sikitkan? ” tanyanya kepada Najjah.

Najjah hanya mengangguk menggantikan jawapan lisannya.

“ Korang berdua macam mana? Boleh ikut ke guna teknik aku ni? ” soalnya lagi meminta kepastian dari kami.

“ Eh, boleh aje! Bagi aku teknik ni lebih ringkas sikit dan mudah nak faham. Ok, thanks Daizar! Nanti aku cuba buat lepas tu kita bincang balik.” kata Najjah yang sudah mula menjarakkan dirinya sedikit dariku, dia mahu menyambung menyelesaikan masalah pengiraan yang rumit itu seorang diri.

Najjah tabiatnya memang begitu, jika dalam subjek matematik kalau dia sudah dapat tahu sesuatu langkah penyelesaian dalam soalan itu. Dia akan mengasingkan diri dan cuba untuk selesaikan soalan tersebut. Daiyan hanya mengangguk memberikan jawapan kepada Najjah.

Aku baru berniat nak suruh Najjah yang ajar aku tentang penyelesaian soalan ini. Belum sempat aku mahu memberitahu Najjah tentang hal itu, dia telah mengasingkan dirinya untuk menyiapkan soalan tersebut.

“ Ha, kau? Macam mana? Faham ke tidak lagi nak siapkan soalan ni? ” soal Daiyan kepadaku agak tegas.

Aku yang masih takut-takut menganggukkan kepala.

“Eh!”

Tiba-tiba aku baru tersedar! Aku mana faham apa lagi.

Zero! Yang kau terlebih bijak pergi anggukkan kepala tu dah kenapa? Cari nahas? Selang beberapa saat aku menggelengkan kepalaku semula.

“ Tak faham cakap tak faham! Ini tidak, sekejap geleng, sekejap angguk! Meh, sini aku ajar kau balik. Tapi kita guna kaedah basic yang selalu Cikgu Zain ajar kelas kau dan kelas Najjah tu. Biar panjang sikit asalkan kau boleh faham macam mana jalan kira dia.” jelasnya kepadaku.

Kali ini aku sudah meletakkan fokusku 100% kepada penerangannya supaya aku boleh menjawap soalan tersebut tanpa mengharapkan bantuan dari Najjah, Intan mahupun Fazira lagi. Setelah selesai dia menerangkan kepadaku jalan penyelesaian masalah itu. Nukman datang ke arah kami berdua sambil menepuk bahu Daiyan.

“ Sorry bro, aku ganggu kau pula! ”

“ Eh, tak ada apalah. Lagipun aku dah habis ajar dia. Ha, kenapa ni? ” ujar menyoal Nukman.

“ Dah pukul lima lebih dah ni. Sepatutnya time ni kita dah balik ” terang Nukman.

Kemudian Daiyan melirik ke arah jam di pergelangan tangannya.

“ Haahlah, dah masuk lima sepuluh minit ni. Ha, oklah boleh dah nak kemas-kemas barang ni. Kau pergi bagi tahu dekat semua kita dah boleh stop, kita sambung esok pula.” ujarnya memberi arahan kepada Nukman.

Setelah menerima arahan dari Nukman, semua murid mula sibuk mengemas barangan mereka untuk bersiap-siap pulang ke rumah masing-masing, tidak terkecuali diri aku. Sebelum aku memasukkan buku-buku rujukan dan kotak pensel ke dalam beg. ‘ Pujaan hati ’ku sempat berdehem untuk beberapa ketika sebelum bersuara.

“ Balik ni study balik soalan tu. Lepas tu aku nak kau cari seberapa banyak yang boleh soalan yang seiras macam ni dan buat berulang kali sampai kau faham. Aku nak tengok hasil
semuanya esok. ”

Ha? Esok?! Mana nak sempat buat! Dengan kerja Sejarah lagi, Bahasa Melayu lagi, Addmath lagi! Aduh, lebamlah mata aku malam ni jadi panda! Tak apalah suka punya pasal aku buatlah.

“ Boleh ke tidak ni? ” soalnya kepadaku apabila dia melihat aku sedang berfikir sesuatu.

“ Ha.. Ha, boleh.. Boleh! ” ujarku yang baru sedar ke alam nyata.

“ Bagus, aku nak semua yang aku bagi tahu tadi siap! Bukan siap tu separuh-separuh. Remember that! ” katanya kepadaku sambil mengetuk kepalaku dengan pen birunya perlahan.

Dia kemudiannya melemparkan senyuman sinis ke arahku sebelum berlalu dari mejaku dan Najjah menuju ke tempatnya semula.

Alamak ai! Senyum sinis pun nampak kacak lah dia ni. Haih, macam manalah aku tak cair setiap kali tengok muka dia ni? Hmm.., alamatnya tidur tak lena lah aku malam ni. Hu.. Hu.. Hu..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience