BAGAIMANA KAU DI SANA

ELOSH

Drama Completed 402
0
(0 ratings)

Synopsis

KIT bersandar pada kerusi sebaik sahaja dia selesai membuat pesanan makanan kepada pelayan di kedai makan ini. Aktiviti seperti biasanya bermula. Ligat dia memerhatikan tingkah-laku manusia lain yang turut berada di situ. Dia beranggapan bahawa tujuan makhluk bergelar manusia itu ke kedai ini adalah sama iaitu bagi mengisi perut yang lapar. Berbeza dengan dirinya, bukan itu tujuan sebenar Kit berada di situ walaupun kedai tersebut sudah berbulan-bulan menjadi destinasi wajib makan malamnya sehari-hari. Kedai makan ini secara tidak sengaja ditemui oleh Kit beberapa bulan yang lepas. Ketika itu keadaan dirinya yang bercelaru membuatkan dia memandu tanpa hala tuju. Sedar-sedar sahaja dia sudah memarkirkan kereta. Usai enjin keretanya dimatikan, dia keluar dari perut kereta lalu menutup dan mengunci kereta mewah pemberian ayahnya itu. Dia kemudiannya bersandar pada pintu bahagian pemandu. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar jeans yang dipakai. Matanya melilau memerhatikan keadaan sekeliling dan kedai ini merupakan kedai yang paling hampir dengan tempat keretanya diparkir. Kit dapat lihat yang kedai ini penuh dengan pelanggan. Dia sempat membuat pemerhatian ringkas bahawa kedai ini membahagikan dengan strategik bahagian pelanggan yang menjamu selera sambil menonton perlawanan bola sepak di skrin besar yang disediakan dan juga satu lagi bahagian pelanggan yang tidak berminat untuk menonton bola. Bahagian pelanggan yang tidak menonton perlawanan bola sepak dihidangkan muzik sebagai halwa telinga. Kit membaca tanda nama kedai itu yang sebesar-besar alam tergantung di bahagian hadapan, Kedai Makan Apa-Apa Ajelah. Serta-merta senyuman senget terukir di bibir. Sengal je nama kedai ni. Komennya di dalam hati. Langkah kaki Kit bawa ke dalam kedai tersebut dan mujurlah ada sebuah meja yang baru sahaja dikosongkan. Tanpa menunggu lama, dia terus melabuhkan punggung. Apa-apa ajelah! Janji aku kat tempat yang ramai orang dan bising. Ujar Kit di dalam hati. Ya! Memang itu tujuan dirinya memandu tanpa hala tuju. Dia hanya mahu ke mana-mana sahaja asalkan tempat yang ramai makhluk bergelar manusia. Tempat yang tidak sunyi kerana kesunyian adalah musuh utamanya saat ini. “Okey bro, kau punya Nasi Goreng Apa-Apa Ajelah dan teh ais siap. Kalau nak apa-apa lagi nanti panggil je aku,” ujar Pali saat dia meletakkan sepinggan nasi goreng dan segelas air teh ais di hadapan Kit. Tersentak dengan suara Pali itu, Kit kembali ke alam nyata. Pali beredar selepas Kit mengucapkan terima kasih. Pali atau nama sebenarnya Fadhli ini sememangnya sudah terbiasa dengan Kit sejak Kit secara tidak sengaja menjadi pelanggan tetap di situ. Sebenarnya bukan Pali yang ingin berkurang ajar dengan pelanggan tetapi Kit sendiri yang mewajibkan dia guna ‘aku-kau’ apabila bercakap dengan Kit. Aku sebenarnya dah beberapa kali khatam menu kat kedai ni. Semalam aku makan Nasi Goreng Tom Yam dan hari ni disebabkan aku malas nak pening kepala fikir nak makan menu apa, aku pesan aje Nasi Goreng Apa-Apa Ajelah. Senang! Kat Kedai Makan Apa-Apa Ajelah ni memang ada menu nasi goreng, mi, bihun, kue tiau dan air Apa-Apa Ajelah. Pali kata sebab orang kita ni susah nak buat keputusan. Bila tanya nak makan kat mana dan nak makan apa mesti mereka jawab kat mana-mana ajelah, makan apa-apa ajelah, tak kisah. Jadinya abang kandung Pali mencadangkan mereka menamakan kedai makan ini Kedai Makan Apa-Apa Ajelah. Kreatif bukan? Lepas ni sesiapa yang kata tak kisah nak makan apa-apa ajelah tu boleh terus bawa dia orang makan kat kedai ni. Haha! Kit mula menyuap nasi goreng ke dalam mulut. Sambil mengunyah, matanya tetap menjalankan kerjanya memandang manusia yang berada di sekelilingnya. Ironinya dia ke situ untuk mengelakkan rasa sunyi namun jauh di sudut hati dia tetap rasa sunyi. Rasa pelik pula hari ni sebab mamat… “Apa khabar Kit? Hari ni saya duduk sini lagi ya.” Belum sempat aku nak habiskan ayat keraguan dalam hati, Mamat Apa Khabar ni dah muncul! Nasib baik tak tercekik dek ayam dalam nasi goreng ni. Kit mengomel sendiri. Tanpa menunggu jawapan dari Kit, lelaki yang tiba-tiba muncul itu terus duduk di kerusi sebelah kanan meja ini. Mereka duduk di meja segi empat yang memuatkan empat buah kerusi. Kit masih meneruskan kunyahan nasi goreng. Lelaki yang dia gelar sebagai Mamat Apa Khabar ini memang selalu duduk makan semeja dengannya. Pada awalnya adalah kerana kedai sudah penuh dan hanya meja tempat duduk Kit mempunyai kerusi kosong namun lama-kelamaan lelaki yang turut menjadi pelanggan setia Kedai Makan Apa-Apa Ajelah ini akan sentiasa duduk semeja dengannya. Apa-apa ajelah! Aku tak kisah lagipun dia ni suka bercakap, bercerita dan bertanya walaupun kebanyakannya aku hanya dengar dan tak balas apa-apa. Sekurang-kurangnya aku taklah rasa sunyi sangat. Sunyi... Satu perkataan dan perasaan yang aku sangat-sangat benci. Kit menggelar lelaki itu sebagai Mamat Apa Khabar kerana dia dengan skemanya akan sentiasa bertanya khabar. Dialah orang pertama yang aku jumpa sejak aku hidup kat muka bumi ni yang tanya khabar dengan ayat dari buku teks macam tu. Kawan-kawan aku selalunya bertanya khabar dengan ayat yang tak berapa nak skema contohnya how’s life, howdy ataupun how are you. Tapi tu semua suatu ketika dulu. Masa aku masih ada orang yang boleh aku masukkan dalam kategori kawan walaupun aku kadang-kala musykil dengan keikhlasan mereka nak berkawan dengan aku.


Share this novel

Rate this story


Comments

No Comment yet

ELOSH

15506 followers


NovelPlus Premium

The best ads free experience