BAB 14

15 Februari 2016 (05.25 pagi)

Allahuakhbar! Maha Suci Allah.. Adik selamat di lahirkan walaupun belum cukup bulan. Adik aku lihat kecil sekali. Nama yang walid letakkan juga seperti namaku, Nurul Huda Aisyah. Tetapi di belakang nama Aisyah itu di tambah dengan Humairah. Nurul Huda Aisyah Humairah binti Umar Al-Akram.

Aku dapat melihat adik Humairah hanya beberapa detik bila aku tidak di benarkan oleh dokter tadi untuk melihat. Kak Hada juga hanya menangis je dari tadi. Walid juga.

“Innalillahi wainnalillah hiraji’un..” Aku dapat menangkap ayat yang terkeluar dari mulut walid.

“Ummi dah tiada sayang..” Kali ini kak Hada pula yang berkata kepada aku. Aku tak faham kenapa kak Hada cakap macam tu.

Jauh di sudut sana, aku nampak ummi berdiri melihat ke arah kami. Wajah ummi sedih. Dia memanggil walid, tetapi walid tidak memandang ke arah ummi. Walid hanya tertunduk terhenjut-henjut bahunya.

Tidak lama, ummi terus hilang dari pandangan aku. Kemana ummi pergi? Selang beberapa minit kemudian, keluar satu katil yang di selimuti kain putih. Siapa yang tengah tidur di atas katil tu? Mesti dia sejukkan, sebab tu dia selimut sampai tak nampak kepala.