BAB 4

15 MEI 2012 4.12 petang

Betul cakap Dahlia. Cempaka ni berlakon lebih. Sakitnya tak seberapa pun. Tak payahlah pergi jumpa doctor.

Dahlia terpempam. Jantungnya berdegup kencang. Dia tahu? Cempaka tahu ke aku ada mengata dia? Jangan-jangan inilah sebab kenapa Cempaka menjauhinya. Tetapi Dahlia cuba berfikiran logik.

Cempaka mula menjauhinya semenjak bulan Ogos. Jadi tentu ada sebab lain. Dahlia meneruskan pembacaannya. Malam itu, air mata Dahlia tidak berhenti mengalir. Entah mengapa, dia berasa diari inilah isi hati Cempaka yang sebenar.

Dahlia mengurung diri di dalam bilik. Hamper seminggu juga dia begitu. Keluar bilik bila perlu. Kadangkala dia termenung di tepi tingkap. Diari Cempaka terus dibaca dan dibaca dengan penuh penghayatan.

Siapa cempaka sebenarnya? Perginya atau adanya dia tidak membawa perubahan kepada dirinya.

Siapa yang tidak kenal Dahlia. Pelajar yang selalu mendapat perhatian guru dan warga sekolah. Budak pandailah katakan. Apa yang dibuat semuanya betul belaka. Tidak pernah ada yang buruk. Cempaka?

Sebut nama saja orang dah boleh gelak. Memang ramai yang kenal Cempaka. Budak pelik dari Planet Pluto! Jalanya pelik, gayanya pelik, cara makannya pelik. Semuanya pelik tentang dia. Kerapkali dia dipersendakan.

Dahlia tersenyum sendiri. Untunglah diri sendiri tak jadi macam tu. Kalau tak, macam mana nak tayang muka. Malu oi dapat kawan macam tu. Nak berjalan saing pun kadangkala Dahlia berfikir dua kali. Cempaka budak skema. Mana boleh geng dengan dia yang ala-ala otai sekolah.

7 JULAI 2012 9.23 malam

Dahlia jahat. Sampai hati kau Dahlia.

Dahlia mengerutkan dahi. Apa kes ni kata aku jahat? Fikir kau tu baik sangatlah? Tak pernah buat dosalah. Aku kenal sangatlah kau ni. Mulut kata lain, hati kata lain. Mulut macam mulut longkang!

17 JULAI 2012 11.03 malam

Cempaka rasa serbasalah. Cempaka layan Dahlia macam biasa sedangkan Cempaka dah tak boleh terima dia lagi.

Air mata Dahlia mengalir laju. Sampai hati kau Cempaka. Aku layan kau baik selama ni. Tapi ini balasan kau? Memang patut aku pulaukan kau dari dulu lagi. Dasar tak sedar diuntung. Aku kawan dengan kau pun dah kira baik.