BAB 3

16 JANUARI 2012 8.02 malam

Cempaka sayang bunga. Sebab itu kawan-kawan Cempaka nama bunga semuanya kecuali seorang. Nama dia Faridah. Sebab mula dari huruf ‘F’, Cempaka panggil dia Flower. Lama-lama jadi Awa. Akhir sekali tukar jadi Bunga. Kan sedap.

Dahlia menutup buku itu. Ini diari! Dia tidak wajar membacanya. Tidak lama selepas itu, Dahlia membukanya kembali. Kalau dah terbaca, baik baca sampai habiskan? Dahlia meneruskan bacaannya. Banyak berkisarkan tentang lelaki yang Cempaka minati. Tiba-tiba selakannya terhenti.

23 MAC 2012 10.22 malam

Petang tadi Cempaka cakap nak jadikan Ahmad keasih hati Cempaka. Sebenarnya, Cempaka bergurau saja. Tiba-tiba Dahlia mentertawakan Cempaka. Dia kata, inikan kekasih, pandang Cempaka pun belum tentu Ahmad nak.

Macam nak menagis waktu itu. Hina sangatkah Cempaka? Tidak layakkah Cempaka? Cempaka tahu, Dahlia cuma bergurau saja. Tetapi ia tetap pedih.

Apa Cempaka ni patung? Salahkah Cempaka mencintai dan dicintai. Badutkah Cempaka? Hanya boleh ditertawakan setiap masa. Cempaka benci diri sendiri.

Tapp! Dahlia menutup buku itu. Inikah perasaan Cempaka? Padahal aku tidak pernah melihat dia menangis. Mukanya seperti tidak berperasaan. Terseksakah Cempaka selama ini? Aku tidak perasan. Semua yang aku fikir Cuma aku. Aku lupa yang Cempaka juga manusia seperti aku. Punya hati dan perasaan.

Laju saja otak teringat kisah dia mentertawakan Dahlia kerana dimarahi guru matapelajaran kimia. Dahlia tersilap hantar kertas peka Fizik ke meja Kimia dan peka Kimia ke meja Fizik. Seharian Cempaka diam membisu.

Apabila ditanya laju saja Cempaka menjawab, pening kepala. Cempaka pening atau sebenarnya berkecil hati dengan sikapku?

Seusai solat isyak, Dahlia menyambung kembali bacaannya. Kini dia ingin lebih mengetahui isi hati Cempaka. Adakah Cempaka menulis sesuatu mengenai dirinya? Buruk atau baik?

1 APRIL 2012 3.00 pagi

Cempaka tidak boleh tidur. Kepala Cempaka sakit sangat. Cempaka tak nak makan ubat. Makin hari, Cempaka semakin sakit kepala. Kenapa ni?

31 april 2012 4.00 pagi

Sejak akhir-akhir ni, Cempaka selalu pengsan dekat sekolah. Malu! Dah banyak kali Cempaka balik rumah sebab sakit. Mungkin Cempaka perlu buat ‘medical chech up’.

Dahlia termenung. Cempaka sakit? Dia tahu Cempaka memang selalu pulang ke rumah. Fikirnya, Cempaka memang tidak tahan sakit. Tapi, tidak pula dia tahu Cempaka sering pengsan.

Mungkin sebab itu Cempaka sering lupa menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru. Dahlia mendengus. Cempaka memang selalu mencari alasan. Entah-entah, dia sengaja cakap lupa sedangkan dia malas untuk membuat kerja rumah.