Chapter 1

Oleh Pengarang : Iman Fadia

BAB 1

“SOMTAM! Somtam! Nasi lemak! Nasi lemak!”

Anis menoleh pada ibu di belakang gerai yang sedang berteduh di bawah pokok ketapang. Ligat mengupas betik muda. Ada sebaris senyum lekat di bibir.

Dia panjangkan leher melihat ke arah seberang jalan yang menghala ke jalan besar. Ada beberapa orang penduduk sekitar kampung di situ yang lalu- lalang.

“Hmm..masih awal ni.”

Anis belek jam di pergelangan tangan. Sembilan lima belas minit pagi.

“Somtam! Somtam!”

“Nasi lemak! Nasi lemak!” Dah perit anak tekak dia melaung.

Dari jauh makcik Sameah terkedek-kedek berjalan sambil membawa bakul bulat yang agak besar di tangan kanannya.Tersengih menampakkan giginya yang sedikit ‘karat’. Anis senyum geli hati. Nampak sangat orang tua di kampungnya suka benda ‘karat’ tu. Daun sireh terjuih keluar dari mulut Makcik Sameah. Ada warna merah meleleh di tepi bibirnya.

“Wah! Somtam dah ada! Bila balik Anis?” Tegur Makcik Sameah. Tersengih menampakkan gigi berkaratnya. Senyumannya semakin lebar. Semakin terserlahlah karat di giginya.

“Dah dua hari makcik! Cuti semester dah mula.” Anis bermanis muka. Kena senyum depan pelanggan.

“Ohh…bagi makcik somtam tiga ringgit! Musim macam ni saja makcik dapat rasa somtam kamu ni!” Makcik Sameah ketawa kecil. Nasi lemak yang sudah dibungkus dengan daun pisang diambil tiga bungkus.

Dia jeling mak Anis yang sibuk menyagat betik muda di belakang gerai. Sireh yang terjuih di mulutnya diludah. Tersembur warna merah menyimbah tanah dan rumput.

Eii! Geli! Anis tutup hidung. Makcik Sameah sengih lagi.

Ibunya yang berada di belakang ditoleh seketika. Masih sibuk menyagat buah betik muda. Sudah penuh satu besen.

“Senanglah kau Non! Anis dah cuti ni dapatlah tolong kau jual nasi lemak ni! Somtam pun dah ada.” Laung Makcik Sameah.
Mulutnya terkumat kamit mengunyah sireh. Merah sireh meleleh di tepi bibir lagi. Kepalanya dijenguk ke arah belakang gerai. Dia senyum saja. Selesai membeli, makcik Sameah beredar ke pasar pula.

“Tolong! Tolong!!”

Anis cepat-cepat menoleh. Seorang lelaki cuba merampas beg tangan Makcik Sameah yang dikepit di celah ketiak.

“Hoi!!”

Pantas Anis sambar betik bawah gerai, terus berlari ke arah makcik Sameah yang terhegeh-hegeh bergelut dengan pencuri.

Terkial-kial makcik Sameah mengambil beg duitnya semula. Main tarik tali lagaknya.

“Hoi! Penyangak! Nah ambik ni!” Lagak seorang pelontar lembing, Anis melontar sebiji betik masak. Betik itu sudah melayang ke arah pencuri.

Paaap!!!

“Opss! Alamak! Euww!! Baik aku blah cepat.” Anis cepat-cepat kembali ke gerai. Dah nak tersadung kakinya tergopoh gapah berjalan. Peluh menitik laju di dahi. Sempat jeling pada lelaki yang terkena betik tadi. Alamak! Dia cari

siapa yang baling betik la tu agaknya. Aduih…mati aku! Muka lelaki itu tadi sudah merah padam.

“Alamak! Dia datang sini? Tentu nak marah aku ni.” Anis buat-buat tak nampak. Tong! Tong! Tong! Somtam ditumbuk laju. Rasa dah tak ikut sukatan betul. Cili padi habis bersepai atas meja. Kacang pulak dah terpelanting macam bertih jagung masak.

Anis angkat muka. Muka merah lelaki tadi jelas melangkah ke arah gerainya. Alamak! Mampus aku!

Tut! Tut!

Kedengaran kunci automatik dari kereta mewah BMW hitam milik lelaki itu yang diparkir di seberang jalan betul-betul depan gerai dikunci. Jelas bunyinya.

“Boleh tanya sikit?”Lelaki tu mengelap peluh di dahi.

“Ya encik?” Anis beranikan diri. Tenang…tenang…

“Sini ada jual somtam?”

Anis angguk. Teragak-agak. Dah terpampang di depan gerai, ‘Somtam Ada Dijual Di sini’, nak tanya lagi bagai! Berlagak karat mamat ni!

Lelaki itu dilihat melilau pandang sekitar gerai. Anis pandang dengan ekor mata. Sempat lagi bedah siasat lelaki yang berdiri di situ. Tinggi, badan tegap, sasa, rambut perang. Mata? Tertutup di sebalik kaca mata hitam jenama Oakley. Kemeja coklat lengan pendek jenama Polo dan seluar jeans biru memang kena dengan gayanya.. huh! Orang kaya, patutlah sombong berlagak!

“Jadi somtam ni dibuat daripada betik?” Soal dia lagi.

Anis angguk lagi.

“Betik muda ke betik masak?”

Kali ni Anis tenung muka lelaki itu. Ni..nak beli ke nak temu ramah?

“Betik muda..kenapa encik?”

Lelaki tu berkerut kening. Dia masih mencari-cari sesuatu.

“Err..encik cari apa?” Anis tanya lagi. Turut melihat-lihat sekitar gerainya. Mana tahu masih ada betik masak di situ. Memang dia sengaja sorokkan tadi. Di pasar semalam, dia sudah tersalah beli betik yang sudah hampir masak.

“Betik masak…” Selamba dia jawab.

“Mana ada betik masak kat sini. Kalau dah jual somtam, betik muda je ada.” Tanpa disuruh, Anis rela hati beri penerangan. Hih! Dah macam minah kat kaunter pertanyaan pulak aku ni.

“Oh ya ke? Mana tahu betik yang terkena kat seluar saya ni datangnya dari gerai buruk awak ni.” Lelaki tu berkata dengan nada sinis.

Gerai buruk??? Eii! Nak kena sekeh dia ni! Buruk-buruk gerai ni pun, banyak jasanya pada aku dan keluarga aku! Rasa nak lempang saja tapi terpaksa tahan je..

“Jadi encik ingat saya yang baling?” Tanya Anis. Cuba berlakon.

“Ada saya tuduh awak?” Dia jeling tajam. Tangannya menyapu sisa betik yang masih melekat di seluar jeans jenama Lee.

Anis senyum kelat. Dia menoleh ke belakang. Ibunya di belakang gerai itu masih leka menyagat betik dan mangga. Bersila di bawah pokok ketapang.

“Err….macam mana seluar encik boleh terkena betik pulak?” Anis bermanis muka. Berlembut. Baik alih topik, menutup kesalahan sendiri. Nak hidup, kenalah pandai berlakon.

“Tadi ada orang lempar betik ke arah saya. Tak sempat saya nak mengelak. Kalaulah saya dapat tahu siapa dia, tahulah nanti!”
Anis menggelabah. Peluh dah makin galak bertempek di muka. Dia pandang langit. Matahari sudah terpacak.

“Oh…” Anis sengih sumbing. Terasa lakonannya sudah berterabur. Sudah ke laut!
“Macam mana somtam ni?”

“Macam mana apa?” Anis garu kepala. Memang tak faham soalan.

“Awak jual macam mana?!”

Anis menelan liur. Lelaki itu sudah mengetap bibir. Nadanya sudah lain. Dah naik satu oktaf. Agaknya sudah geram.

“Oh..itu ke. Ingatkan apa tadi. Saya jual dua ringgit tapi kalau encik nak beli lebih dari dua ringgit pun boleh. Encik nak berapa ringgit?” Anis sengih sumbing. Malunya…soalan macam itu pun dia tidak faham. Buat malu jadi siswi saja. Kena senyum, nanti lakonan aku kantoi! Hati pelanggan perlu dijaga walaupun rasa agak sedikit rimas dengan sikap pelanggan yang satu ini.

“Bagi saya lima ringgit jelah! Bukan saya yang nak makan, saya tak suka sayur kampung ni! Kalau tak kerana kakak saya yang mengidam, tak nak saya beli apa ni..somtam? Ergh! Nama pun dah pelik!” Lelaki itu mencebik.

Sayur kampung kau cakap? Huh! Berlagak betul mamat ni! Aku pun tak ingin jual kat orang sombong macam kau ni! Berlagak! Getus hati Anis. Geram.

“Err..jadi encik nak beli lima ringgit?” Anis cuba bermanis muka lagi. Dah macam senyum plastik. Lenguh menahan bibir yang terpaksa mengukir senyum.

“Ya! Tak dengar ke tadi?” Dia sandar di tiang gerai. Masih memerhati sekeliling.

Huh! Aku belum pekak lagi la!

Tong! Tong! Tong! Bunyi alu berlaga kuat dengan lesung. Semua bahan-bahan somtam ditumbuk dengan kuat. Nasib kaulah somtam jadi bahan geram aku! Lunyai bahan somtam aku kerjakan! Betik dan mangga muda yang sudah disagat digaul dengan kasar. Siap semuanya, pantas Anis hulur sebungkus somtam kepada lelaki berlagak tu. Sekeping wang kertas lima puluh ringgit pula dihulur kepadanya.

“Tak ada duit kecik ke encik? Lima ringgit je..” Anis pandang duit kertas di tangan lelaki tu.

“Tak ada! Kalau ada, saya dah bagi kat awak! Ni! Semuanya duit lima puluh!” Dia menunjukkan dompetnya yang dikuak sedikit. Ada beberapa keping wang kertas lima puluh ringgit di dalamnya.

Anis jeling bersahaja. Dah tahu nak beli lima ringgit, buat apa hulur lima puluh ringgit! Pagi-pagi macam ni mana ada duit pecah!

“Macam nilah encik, saya sedekah somtam tu kat encik. Encik pun ada cakap tadi, encik beli untuk kakak encik yang mengidamkan?” Anis jeling sekilas wajah lelaki itu. Kaca mata hitam dia masih melekat pada sepasang mata. Susah berinteraksi bila tidak nampak biji mata.

“Eh! Saya bukan peminta sedekah! Nanti saya datang balik bagi duit lima ringgit tu!” Dia mula menyinga. Ingat aku ni sengkek sangat ke?

“Dah kaya sangatlah tu! Berlagak!” Gumam Anis.

“Encik..ambil sajalah. Saya bagi dengan ikhlas. Saya pun tak ada duit pecah pagi macam ni. Tak payahlah encik bayar, kan panas ni! Nanti hitam legam pula kulit putih encik tu!” Anis mengetap bibir. Melirik ke arah tubuh tinggi lampai milik lelaki muda itu.
Kulitnya memang putih dan rambut pula sedikit keperangan seperti orang Inggeris. Mat saleh celop sombong mana yang sesat kat sini. Getusnya.

“Eh! Awak ni perli saya ke?”

Anis melihat lelaki itu mula buka cermin mata hitam. Masih bercekak pinggang. Ada nada tidak puas hati.

Wulawei! Terkesima seketika. Mata kebiruan lelaki itu jelas bersinar. Uih! Macam tahu je aku kutuk dia! Rambut cat merah, pakai kanta lekap biru agaknya. Menang sah mat saleh celop! Berlagak mat saleh konon. Dah tu kutuk somtam aku ni sayur kampung pulak!

“Saya tak perli pun. Encik saja yang terasa. Saya ikhlas bagi somtam tu percuma.” Sekali lagi Anis bermanis muka. Tidak mahu mengeruhkan keadaan. Hati pelanggan harus dijaga.

“No! Nanti saya datang bagi duit lima ringgit tu!”

Anis merengus. Lelaki itu masih berkeras ingin membayar. Laju lelaki itu melangkah semula ke kereta dan memecut pergi dari situ.

“Suka hatilah!”

Anis intai ke arah kereta lelaki tadi yang sudah memasuki jalan besar.

“Huh! Muka dah handsome dah tapi perangai..mak ai..sombong gila!!”Anis menggumam.

“Somtam! Somtam!” Sekali lagi Anis menjerit memanggil pelanggan.

ANIS menarik nafas lega. Puas! Semua somtam dan nasi lemak habis dijual. Siap mengemas, mereka berdua ke pasar untuk membeli buah betik muda yang sudah hampir habis.

“Mak, malam nanti Anis ada latihan silat. Mungkin Anis balik lambat sikit.” Anis menoleh ke arah ibu yang sibuk memilih betik muda dan mangga muda.

“Jangan lambat sangat Anis. Tak elok anak dara balik lambat.” Puan Ainon jeling sekilas anak gadisnya yang turut sama memilih betik muda.

“Anis tahu mak. InsyaAllah hujung minggu ni tamatlah latihan silat tu.” Anis sengih. Terbayang tali pinggang hitam melilit kemas di pinggangnya nanti. Seni silat cekak yang diajar oleh tok guru yang terkenal dengan ilmu kebal di kampungnya.

“Err..mak, Anis nak beli epal jap!” Anis minta izin.

Puan Ainon angguk. “Hati-hati..”

“Pakcik! Bagi epal merah ni lima biji!” Anis menuding ke arah longgokan epal merah dan epal hijau yang disusun cantik macam bentuk piramid. Sekeping wang kertas merah dihulurkan kepada penjual itu.

“Anis belajar silat lagi ke?” Tanya pakcik itu lagi.

Anis angguk. Turut membalas senyuman pakcik itu. Tak sangka, dia agak dikenali di pasar tu. Ramai juga yang tahu dia belajar silat di hujung kampung bergurukan Pak Soh yang terkenal dengan ilmu kebal.

“Baguslah! Tak ramai perempuan belajar silat. Semuanya tahu nak seronok saja. Berkepit dengan lelaki sana sini.”

Anis hanya senyum mendengar bebelan penjual buah itu yang sudah agak berumur. Memang itulah yang selalu terjadi di kampungnya sendiri. Yang perempuan, ikut mat motor ke hulu ke hilir. Yang lelaki seronok je angkut anak dara orang.

DUA minggu berlalu. Rasa malas nak ke kampus semula. Betullah kata orang, kalau nak pulang ke kampung, seronoknya macam nak lompat sampai ke langit tapi bila tiba nak meninggalkan kampung, beratnya kaki macam dah kena gam UHU cap gajah tu!

“Mak, cuti Anis dah habis. Tinggal tiga bulan je lagi pengajian Anis kat sana.” Anis mendekati ibu. Asyik melipat baju yang diangkat dari jemuran tadi.

“Cepat je masa ya. Oh ya! Bulan puasa nanti, abang Man nak balik. Mungkin dia akan beraya di rumah kita. Mak dan ayah dia pergi umrah dan beraya di sana.” Puan Ainon senyum. Masih ligat melipat pakaian. Baju yang sudah dilipat disusun rapi di tepi.

“Err..abang Man bawa Aira sekali ke mak?” Nada Anis mula ceria. Rindu sangat-sangat pada anak buahnya. Anak arwah kak Aiza.
Sudah dua tahun abang iparnya itu belajar di Australia. Sejak pemergian kak Aiza empat tahun yang lalu, abang Razman seperti sudah hilang arah tuju sehingga mengambil keputusan menyambung pelajaran jauh dari tanah air.

“Yalah..takkan nak tinggal sorang-sorang kat rumah mak ayah dia.” Puan Ainon sengih.

“Hmm.tak sabar nak jumpa Aira. Rindu sangat mak!” Baju yang siap dilipat disimpan dalam almari pakaian.

Malam itu Anis bertolak ke Kuala Lumpur menaiki bas ekpress Transnasional.