Bab 1

Demi Wayang

Ada sebuah dusun durian yang dikongsikan oleh beberapa buah rumah panjang, yang dipanggil ‘dusun kongsi’ (merupakan dusun yang dahulunya ditanam oleh datuk nenek moyang dan tidak diketahui pemilik sahih, oleh itu ianya diisytiharkan perkongsian beberapa keluarga yang berasal dari keturunan yang sama).

Dusun itu terletak betul-betul di kaki Bukit Begunan. Sejarah Bukit Begunan memang cukup dikenali oleh penduduk Sri Aman khasnya, kerana setiap tahun, akan ada terjadinya kemalangan yang meragut nyawa manusia.

Dikatakan kawasan itu menuntut darah manusia setiap tahun.

Kebetulan pada masa cerita ini berlaku, waktu itu tengah musim durian. Jadi, saya dan beberapa penduduk kampung yang lain, lebih kurang enam orang kesemuanya, bersiap-sedia untuk bermalam di dusun tersebut untuk memungut buah durian yang sudah masak untuk dijual.

Di sini, kalau musim durian, memang laku. Kadang-kadang dapat keuntungan hingga ratusan ringgit sehari. Kami berenam, empat daripada kami agak muda, ditemani oleh dua orang lelaki yang agak berusia, setelah sampai di dusun tersebut, mula membersihkan ‘langkau’ (pondok) yang memang telah lama berada di situ.

Kami mula membersihkan ‘langkau’ tersebut yang akan dijadikan tempat kami bermalam.

Masing-masing mula menjalankan tugas sendiri. Ada yang mencari kayu api, ada yang menyediakan tempat memasak, ada juga yang sudah mula mencari buah durian yang sudah jatuh.