1

Ayu Zalikha atau mudah dikenali sebagai Ayu merenung wajah ayahnya yang sedang tekun membaca surat akhbar di luar rumah sambil ditemani oleh secawan kopi dan biskut kering. Perlahan-lahan Ayu menghampiri ayahnya yang seorang bekas polis pencen itu dengan penuh berhati-hati.

"Ayah," Sapa Ayu dengan satu nada seraya sudah berdiri di sebelah ayahnya.

Ayahnya tidak memberi respon, matanya fokus sahaja membaca surat akhbar di pagi hari sabtu seperti ini.

"Ayah..." Sapa Ayu lagi setelah ayahnya tidak memberi respon.

"Apa?" Balas ayahnya dingin. Sudah memang sikap ayahnya begitu. Yalah, bekas poliskan, mestilah garang. Lagi-lagi dengan anak-anak.

"Ayah, Ayu nak pergi bercuti dengan kawan-kawan boleh tak?" Tanya Ayu sambil mengigit bawah bibirnya. Dia sudah bersiap sedia kalau-kalau ayahnya mahu memarahinya.

"Dekat mana?" Tanya ayahnya kembali sambil berhenti membaca surat akhbar yang berada di tangan. Wajahnya tajam sahaja menikam muka anak gadisnya itu.

"Err... Cameron Highland." Balas Ayu perlahan.

"Jauhnya!" Tempit ayahnya kerana terkejut setelah tahu anak bongsunya itu nak pergi jauh sampai ke Cameron Highland.

"Alah, ayah. Ayah bolehlah ayah. Ayu dah sembilan belas tahun. Bukan pergi sorang. Pergi ramai-ramai dengan kawan Ayu. Please? Nanti ayu beli dekat ayah keychain." Ucap Ayu dengan nada bergurau di hujungnya.

"Huh?! Buat apa ayah nak main keychain!" Tempit ayahnya lagi seraya bermain dengan misai polisnya yang kian berwarna putih itu.

"Bagi ajelah ayahnya. Bukan selalu dia nak jumpa kawan-kawan dia." Kata ibunya pula sambil membawa bakul untuk menyidai baju di ampaian. Ibunya ini lebih open-minded.

Ayu sudah tersenyum sambil mengangkat ibu jari sebagai tanda 'bagus mak bagus!' Sebab itulah dia lagi rapat dengan maknya. Mak dia ini, apa-apa pun boleh. Tak macam ayahnya terlalu tegas dalam mendidik anak-anak.

"Kawan Ayu lelaki ke perempuan?" Tanya ayahnya lagi dengan nada kembali tenang.

"Perempuan semua, tapi jangan risau. Kawan Ayu tu, mak cik dia ada rumah kosong dekat Cameron Highland sana. Dia suruh duduk je dekat situ. Bolehlah ayah ya? Ayah nak apa? Sarung tangan gambar strawberi? Topi corak strawberi? Cekak telinga kucing? Cakap je, nanti Ayu beli." Jelas Ayu seringkas mungkin diselitkan juga lawak hambarnya itu agar ayahnya tidak terlalu serius.

"Buat apa topi corak strawberi? Nak suruh ayah pakai pergi surau? Tak pasal orang kata ayah polis pencen gila!" Tempit ayahnya lagi.

"Alah, Ayu gurau je. Bolehlah ayah." Ayu merayu lagi sekali. Masih tidak mahu berputus asa.

"Berapa lama?" Nampak macam ayahnya nak bagi lampu hijau.

"Seminggu?" Ucap Ayu seraya mengangkat satu jari.

Ayahnya termenung sejenak. Berdebar-debar Ayu menantikan jawapan daripada ayahnya.

"Hmm, bolehlah." Ucap ayahnya sambil menyambung kembali membaca kertas putih yang berada di tangannya itu.

"Seriously ayah?" Soal Ayu lagi seolah-olah seperti tidak percaya. Mulutnya juga sudah terbuka luas sebab terlalu teruja.

"Iya. Hati-hati tau." Balas ayahnya selamba. Siapa sahaja yang tak sayang anak gadisnya oii? Dalam garang ada sayangnya juga. Hanya Ayu Zalikha satu-satunya anak gadis yang Rashad ada. Yang sulung anak lelaki berada di Kuala Lumpur bekerja di sana.

"Wohooooo!!!" Sorak Ayu gembira sampai terloncat-loncat di sebelah ayahnya.

"Tapi ingat! Jaga pergaulan, jangan sosial sangat. Ayah bukannya apa, takut jadi benda tak elok dekat kamu je nanti." Kata Ayahnya secara tiba-tiba dengan nada tegas.

"Terima kasih ayah. Tak apa, Ayu pandai jaga diri sendiri." Balas Ayu lantas, dia terus memeluk tubuh ayahnya setelah itu berlari masuk ke dalam rumah dengan hati yang gembira.

"Haih, budak-budak." Kata Ayahnya perlahan sambil mengibas surat akhbar itu supaya kembali tegak.

"Seronok sangat anak awak tu ayahnya." Ucap Puan Aminah selaku emak kepada Ayu Zalikha. Dia pandang sahaja suaminya itu sambil meletakkan bakul baju di atas kepalanya.

"Anak-anak, siapa yang tak sayang Minah oii. Saya garang pun saya tetap sayang dengan anak-anak kita." Ucap Rashad perlahan.

"Tahu." Balas Aminah sepatah, lantas dia terus meluru ke dapur untuk melakukan kerjanya selaku suri rumah.