BAB 1

‘Aku bencikan manusia yang menggunakan undang-undang untuk memanipulasi orang lain. Kerana undang-undang, papa aku terpenjara di tirai besi. Kerana jenayah orang lain, papa aku yang menjadi mangsa. Aku kehilangan papa dan mama sekali gus.

Maka, aku Ali Fattah selaku waris tunggal Datuk Asran akan membalas dendam terhadap mereka yang bertanggungjawab atas penderitaan papa dan mama aku. Mangsa aku yang seterusnya adalah seorang perempuan yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku, Fatma Hanim…….’

Kata Kak Diya, dia mesti bangkit. Dia tidak boleh kalah pada emosi. Tidak jua pada ketakutan. Dia harus maju ke depan dengan berani. Selangkah demi selangkah. Cabaran perlu ditempuh. Bukan untuk dielak.

“Fatma, kau tak nak keluar malam ni? Pergi downtown, nak tak?” soal Laila, menyiku Fatma yang masih ralit menyiapkan kertas kerja.

“Aku banyak kerja.” Jawapan Fatma pendek. Fokusnya pada kertas kerja yang harus diselesaikan.

“Kau ni. Sampai bila nak jadi macam saintis? Terperuk dalam rumah je. Balik rumah, terus buat kerja. Tak ada life betul hidup kau ni. Tak bosan ke?” rungut Laila tidak puas hati.

“Aku tak lupa pesan kakak aku sebelum ni. Dia cakap kat aku, be a strong woman. Aku nak berpijak di bumi nyata, Ila. Kau tak faham. Kau tak lalui apa yang aku lalui.” Mata Fatma masih pada helaian kertas kerjanya.

“Nonsense. Kerana mamat bodoh tu, kau hukum diri kau macam ni?”

“Setahu aku orang yang terlibat dengan jenayah ni bukan orang bodoh. Boleh jadi kita yang bodoh kerana percayakan orang macam tu,” balas Fatma tegas.

“Yelah. Kau tu yang beria-ia nak kenal si hacker tak bertauliah tu. Hati kau yang sakit. Duit kau yang lebur.” Laila nampaknya masih menyimpan perasaan amarah terhadap Amar.

Fatma diam. Tangannya yang asyik bergerak sejak dari tadi terhenti seketika. Wajah Laila dipandang.

“Sebab aku bodoh, Ila. Kerana sayang, aku serahkan hati aku pada mamat tak guna tu. Tak sangka orang macam tu masih wujud kat dunia ni.”

“At least, dia pernah cakap dia sayangkan kau. Dia nak tinggalkan kerja tu demi kau. Dia nak berubah demi kau,” komen Laila.

“Tapi tak kan? Alih-alih dia tipu aku kan?”

“Aku nasihatkan kau dulu kau tak nak percaya cakap aku.” Laila berjauh hati. Dia sudah berbuih mulut memberi nasihat kepada Fatma namun temannya itu langsung tidak ambil kisah. Sudahnya, Fatma juga yang terluka.