BAB 1

Saat ini aku sedang memandang pada kaki langit yang sedang menjingga dan kebiru-biruan. Langit senja kelihatan cantik hari ini sungguh damai. Aku memejamkan mata cuba bertafakur sambil menikmati ciptaan Tuhan yang indah ini meski hanya dengan mata terpejam. Deruan angina yang menyapa lembut di wajah membangkitkan atmosfera harmoni dan tenang.

“Betapa nyamannya…” bisik hatiku

Laungan azan Maghrib dari Surau Nurul Ain berkumandang sayup-sayup kedengaran dari arahku ini. Dan aku masih tidak berganjak dari tingkap ini. Punggungku enggan bangkit serasa mahu terus melekat di sini.

“Maisarah ! Apa yang kamu Maghrib-maghrib ni?! Tutup tingkap tu karang masuk benda tak patut baru kamu tahu” Suara dari arah pintu dapur singgah ke cuping telinga.

Aku menoleh ke belakang dan ku lihat emak sudah mendengus garang. Kalau emak sudah begitu fahamlah aku yang emak memang berang.

“Baiklah mak, Maisarah memang nak tutup pun...” segera aku menutup daun tingkap dari terus membangkitkan amarah emak.

“Jadi apa lagi yang kamu duduk tercongak di situ? Masuk mandi, standby untuk solat.’’ Arah emak tegas serupa komando.

Tanpa banyak kata aku segera menurut arahan emak. Aku menuju ke kamar mandi dengan jelingan tajam namun emak membalas pandanganku itu dengan 100 kali jelingan maha tajam.

Selepas bersiap aku membentangkan tikar sembahyang di hujung bilik, bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib. Namun tumpuanku terganggu dengan satu objek yang terletak di bawah katil. Eh tak pernah aku perasan objek tersebut sebelum ini.

“Maisarah ! Dah solat ke belum?” Baru sahaja dua tapak kaki ku mahu melangkah cuba mencapai objek tersbeut, suara emak sudah kedengaran.

“Ya, mak. Nak solatlah ni…”