BAB 7

Mereka khuatir Nurul akan terabai dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang. Namun, akku tekad berkali-kali aku meyakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah, Allah mengatur jalan indah dan mudah. Apalagi, keluarga Nurul juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Nurul diadakan jua.

Di suatu petang, beberapa hari sebelum majlis pertunangan suamiku, saat aku sedang memerhatikan halaman rumahku yang kini tumbuh mekar bunga mawar dan orked mekar memenuhi segenap ruang, sedikit sebnayak menghiburkan hatiku, suamiku datang bersama haruman indahnya. Namun haruman itu sedikit masih membuat hatiku remuk.

“Suri .....abang minta maaf sayang," ujar suamiku.

“Kenapa?"

“Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Suri . Tapi....Suri sedikit pun tidak marahkan abang. Suri terima segalanya demi untuk abang. Abang terharu. Abang....malu dengan Suri. Abang tidak dapat menunjukkan tauladan yang baik dan gagal menjalankan tanggungjawab sebagai suami."

“Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Suri Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Suri . Itu yang Suri cari abang. Suri sayangkan abang. Suri mahu abang gembira. Suri anggap ini semua ujian Allah abang. `'

“Suri ....Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Suri ini. Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Suri . Suri adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Suri ."

“Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Suri harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin."

“Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu.

Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas.

Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya. Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami.

Aku tidak mampu lena walau sepicing pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Noah dan Nurul . Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru. Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman bermSuri ku.

Seminggu selepas itu, barulah Abang Noah pulang ke rumah. Aku memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan.

“Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya lembut.

“Suri rindu abang. Rindu sangat." Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.

“Abang pun rindu Suri . Abang rindu senyuman Suri . Boleh Suri senyum pada abang?" Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.

“Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Suri ?" Aku menduga keikhlasan bicaranya.

“Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Suri masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang.