BAB 1

Nasuha kelam-kabut pagi itu. Sehari selepas hujung minggu, sudah tentu menjadi faktor kemalasan untuk bergerak ke tempat kerja. Tambahan pula, semalam dia pulang lewat ke rumah. Keluar beli-belah bersama Farihah dan Maisara sebelum ke pusat karaoke menyumbangkan suara, akhirnya membawa bahana kepadanya pagi ini. Terlewat bangun. Terlepas Subuh. Tertinggal sarapan. Semuanya ter-!

Jam tangan Omega yang dibelinya di pasar malam Ampang Jajar minggu lepas dijeling sekilas. Sudah pukul 8.15 minit pagi.

“Oh My Omega! Dah lewat 15 minit ni. Habislah aku! Baru praktikal dah buat perangai. Tapi bukan sengaja pun, jam bengong tu tak berbunyi. Padahal aku dah kunci pun semalam. Hurmm, bukan jam tu yang bengong, tapi bateri yang sengaja cari fasal. Time orang nak pergi kerja juga dia nak mampus!” Nasuha kalut di dalam Viva Elite Exclusive Edition hadiah daripada datuknya sempena ulang tahun kelahiran yang ke-23 yang kebetulan sama tarikh dengan pengumuman keputusan peperiksaan semester lepas yang menyaksikannya berjaya mencapai angka 4 flat.

“Ish, lembaplah budak-budak ni! Nak melintas tu cepatlah sikit. Ni tidak, terhegeh-hegeh. Jalan macam itik pulang petang. Tak nampak ke lampu merah dah tukar hijau. Nak kena langgar kot. Nama aja masuk universiti tapi tak ada sensitiviti. Dah la aku lambat ni!” Bebel Nasuha tatkala ada beberapa orang pelajar perempuan berjalan dengan gaya perempuan Melayu terakhir melintas jalan ke arah pintu utama UiTM cawangan Permatang Pauh yang tersergam di seberang jalan sebelah kanannya.

Panas hati melihat lenggok jalan yang macam kura-kura, Nasuha pantas membunyikan hon. Berpaling kepala budak-budak itu. Nasuha sekadar menjeling sebelum memecut pergi. Kalau ikutkan jarak dari UiTM cawangan Permatang Pauh ke KPJ Penang Specialist Hospital yang terletak di Bandar Perda itu tak adalah jauh mana. Cuma kelewatannya pada pagi itu membuatkan dia sedikit gopoh. Tambahan pula dia masih berpraktikal. Dan sehingga kini belum lagi mana-mana doktor yang menyelia tugasannya. Dengar kata doktor yang akan menyelianya sedang berkursus di luar negara dan akan kembali bertugas pada minggu ini. Cuma Nasuha tidak pasti hari apa doktor itu akan muncul.