BAB 1

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun kelihatan sedang asyik bermain dengan komputer riba di meja belajar ketika daun pintu diketuk beberapa kali beriringan dengan laungan salam.

Kanak-kanak itu masih leka biarpun bunyi ketukan semakin bertalu-talu. Tiba-tiba muncul seorang wanita dari bilik utama lalu berlari anak ke pintu dan membukanya.

Terpacul wajah monyok seorang lelaki yang berkumis nipis. Wanita itu mengukir senyum manis sebelum mencium tangan lelaki itu yang merupakan suaminya.

“Masam aje kenapa, abang?” soal wanita itu lembut. Dia memimpin tangan suaminya itu masuk ke dalam.

Dia menyuruh lelaki itu ke ruang tamu sementara dia menyediakan minuman. Lelaki itu cuma akur sebelum merebahkan tubuh ke atas sofa. Keluhan berat kedengaran dari bibir merah jambu lelaki itu.

“Bos abang meroyan, Hamiza. Habis semua kena bedal. Itu tak kena, ini tak kena. Akhir sekali yang tak kena tu juga dia terima sebagai repot. Mana hati tak panas,” luah lelaki itu atau namanya Zaquan sambil merenung ke syiling.

Jelas riak kepenatan terpeta pada wajah tampan itu. Dia sempat mengerling ke arah anaknya.

“Zainol ni main apa sampai papa balik pun buat don’t know aje?” soal Zaquan yang tersandar pada sofa kepada anaknya itu.

Zainol menoleh seketika sebelum bermain semula. Bunyi tembakan dan jeritan kedengaran silih berganti dari komputer riba itu.

Hamiza yang muncul bersama segelas air turut memandang anaknya yang begitu khusyuk bermain dengan permainan di dalam komputer riba. Dia mengurut bahu Zaquan untuk mengurangkan kelesuan suaminya itu.

“Dia main game apa entah. Game tu selalu aje abang main dulu waktu belajar.” Hamiza menjawab membuatkan Zaquan tertarik untuk melihatnya.