Chapter 1

Bab 1 (3/4/2014)

Pohon yang berbisik…
Pada yang mendengar,
Dahan menyentuh,
Pada yang merasa,
Daun membelai,
Pada yang kecewa,
Dalam diam pohon berbisik,
Memeluk jiwa setiap yang lalu,
Di perut hutan bagaikan orkestra,
Gabungan bisikan yang membentuk lagu,
Menyiat hati kecil!
Menggenggam nafas!
Mencekik benak!
Sehingga yang terakhir yang dirasa,
Hanyalah pohon-pohon yang berbisik…

Jari Munir cepat menukar siaran pada radio. Justeru sebuah puisi yang mendalam berubah menjadi lagu rock yang membingitkan telinga. Munir memang tak pernah sukakan pada siaran sastera itu. Tak pernah melawatinya pun. Namun entah kenapa apabila membuka radio di dalam keretanya ketika memulakan perjalanan tadi, siaran itu yang terus melompat keluar dan memenuhi ruang kereta Proton Gen2nya itu. Aneh lagi, Munir yang tak pernah berminat pada sastera mahupun puisi tidak terus menukar siaran. Sebaliknya dia diam… dan mengarahkan mindanya untuk kosong seketika.

Agar bisa memberi ruang pada suara garau seorang lelaki yang sedang bermadah tentang pokok.
Untuk pertama kali dalam hidupnya Munir memberi perhatian pada sesuatu yang berseni. Untuk pertama kali dalam hidupnya Munir membuka hati untuk menerima sesuatu yang halus dan penuh misteri. Buat pertama kali dia cuba untuk memahami sesuatu yang tersirat. Namun berakhirnya puisi di dalam radio itu tadi membuatkan dia kembali sedar yang itu bukan dirinya. Dia bukan seorang yang berjiwa seni. Yang meluang masa untuk perkara-perkara halus yang dianggap remeh. Malah kalaupun hendak menjelaskan keperibadiannya, dia adalah yang cukup bertentangan dengan semua itu. Dia lelaki yang praktikal. Hanya memberi respon kepada perkara-perkara yang hitam putih sahaja. Makanannya adalah fakta. Minumannya adalah informasi yang jelas. Barangkali lima tahun hidup sebagai seorang pegawai polis mencanaikan peribadinya untuk jadi begitu. Keras dan dingin.

Hiburan pula bagi Munir adalah sesuatu yang jelas dan ketara. Bukan sesuatu yang memerlukan perhatian istimewa dan penghayatan. Bukan hiburan baginya kalau perlu berfikir. Apa maksud lelaki tua di dalam radio itu tadi? Pohon yang berbisik. Karut! Pohon tak punya sifat manusia. Ia hanyalah satu hidupan yang secara saintifiknya hanya wujud untuk keseimbangan ekosistem. Memberi keperluan oksigen dan makanan. Sebab itulah Munir benci pada sastera. Atau apa saja yang mempunyai nilai dan sifat seni. Pun begitu. Hari ini entah kenapa, dia sanggup meluang enam minit dari masa berharganya untuk menumpukan perhatian pada puisi itu. Tentang pohon-pohon yang berbisik. Telinganya bagai tertangkap. Hatinya bagai tertarik. Tangannya begitu berat untuk menukar siaran, selagi puisi itu belum merumuskan maksudnya. Untuk enam minit dia bagaikan kaku. Menjadi insan lain untuk seketika. Sebelum kembali kepada dirinya.

…bersambung

Bab akan datang:
Kemanakah destinasi Munir?