BAB 1

PAGI itu terasa nyaman dan mendamaikan. Udara segar dihirup terus dari luar. Angin yang meniup lembut menampar halus ke pipi. Burung-burung terlihat riang terbang dan bernyanyi dalam bahasa tersendiri. Alam masih teguh berdiri di bawah kekuasaan Ilahi. Terus memuji dan bertasbih kepada sang pencipta Yang Esa.

Suasana kampung dan bandar memang cukup berbeza. Saat di bandar orang sedang sibuk berkejaran ke tempat kerja, di kampung masih boleh duduk sarapan bersama keluarga. Kebanyakannya di sini, bekerja sendiri. Meniaga, bercucuk tanam dan ajar anak-anak kampung mengaji.

Seorang gadis keluar dari rumahnya. Baru hari ini dia pulang setelah bertahun-tahun belajar di luar negara. Namun, sedikit pun dirinya tidak kekok menyidai pakaian di ampaian hadapan rumah dengan berkain batik. Jarang anak muda sekarang hendak memakai kain batik. Kolot katanya. Macam orang tua. Sedangkan tidak tertulis pun di situ ‘Hanya Untuk Orang Tua’. Kalau tak dikata tua, pasti dikata kampung.

Gadis itu selesai menyidai kain lalu masuk kembali ke dalam rumahnya dengan bakul kosong. Meskipun dirinya belajar timggi di negara orang putih, tetap dia tak lupa diri. Dia tetap anak kampung yang lahirnya di kampung, besarnya di kampung, mainnya di kampung dan belajarnya di kampung. Bermula dari didikan di kampung inilah dia berjaya ke luar negara. Jadi, untuk apa dia berlagak?

“Adik! Bangun! Tahu tak dah pukul berapa sekarang ni?! Ya Allah… liatnya anak dara sorang ni nak bangun… Nur Nazirah Natasha! Bangun!” gadis itu mengejutkan adiknya. Tak disangka bertahun dia di sana, adiknya berubah drastik. Entah di mana kelembutan dan kesopanan si adik itu hilang.

Nur Nazirah Natasha masih kaku di bawah selimut. Bantal menutup muka dan telinga. Sudah seminggu kakak sulungnya itu pulang dari luar negara. Seminggu itu jugalah dia berdegil dan meneruskan perangai tidak baiknya. Subuh tinggal, bangun lambat, belajar tidak. Sedangkan dia bakal menghadapi SPM pada tahun ini.

Mereka memang cuma dua beradik. Keduanya perempuan. Yang sulung itu kelihatan manis sahaja wajahnya. Tatkala senyum, semakin manis. Namun usah dimain-mainkan emosinya. Sekali dia angin, mahunya rebut taufan mengiring. Itu pun, cuma saat dia benar-benar sudah tidak tahan sabar. Si kakak itu bernama Nur Aimi Syakirah.

Si bongsu itu wajahnya lebih matang. Cuma sikapnya itu tak matang. Masih baru berumur 17 tahun. Memberontak, sifat remaja. Ingin bebas seperti rakan-rakan lain sedangkan dia tidak menyedari semua itu amatlah membahayakan. Sama cantik seperti si kakak. Cuma kakaknya lebih comel kerana berbadan kecil. Tetapi, si adik ini Nampak anggun kerana memiliki badan seperti model. Itulah Nur Nazirah Natasha.

Gadis itu keluar dari kamar adiknya dan kembali semula beberapa saat kemudian dengan semangkuk air. Tak pernah dia kisah dimarahi sang adik kerana dia tahu yang dibuatnya benar. Bukan ingin menyakiti, hanya ingin mendidik. Ditarik bantal yang menutupi muka si adik lalu disimbah dengan air yang dibawa. Terus terduduk si adik. Wajahnya mula kemerah-merahan menahan marah.

“Macam ni, adik kata adik jaga mak sepanjang kakak tak ada? Ini macam menyusahkan mak je. Apasal liat sangat nak bangun? Dulu tak macam ni pun. Kenapa jadi macam ni? Akak tak kisah kau nak marah ke, apa ke. Sekarang ni, kau pergi bersihkan diri, dan kemas tempat tidur kau ni. Selimut yang basah tu, sila jemur di luar kalau malam nak tidur lagi. Dalam masa 5 saat kalau kau tak bangun dari situ dan keluar mandi, tak ada makanan untuk kau.” Aimi sudah mula membebel. Bukan dia tidak kenal titik kelemahan adiknya. Sedangkan dia sendiri nanar bila tidak makan.

“Lima… empat… tiga… duu….” Belum sempat dihabiskan, berdesup dia mencapai tuala dan berlari ke bilik mandi. Aimi tergeleng sendirian lalu ikut keluar dan terus ke dapur.

Di dapur, kelihatan emaknya sedang sibuk menumis. Nasi lemak di pagi hari. Hanya tinggal sedikit lagi untuk disiapkan. Aimi membantu mana yang boleh dibantu. Sambal disiapkan oleh Aimi sementara emaknya memotong timun dan telur. Setelah siap, dihidangkan di atas meja. Tak perlu menunggu lama, tak perlu dipanggil, Nazirah masuk ke dapur dan duduk di meja makan. Belum sempat menyenduk nasi, tangannya dipukul oleh Aimi.

“Tunggu abah….” Kata emak.

“Ni kau dah jemur belum selimut tadi?” tanya Aimi. Nazirah hanya tersengih menampakkan barisan giginya yang cantik.

“Kau tak payah buat iklan colgate sebab kau kena jemur sekarang jugak kalau nak makan.” Bicara Aimi membuatkan Nazirah menarik muka masam. Terus dia bangun dari duduknya. Menghentak-hentak kaki ke bilik kembali. Itulah, lain kali dengar cakap kakak.