BAB 1

JAMILAH merengus keras. Mencerun matanya memandang dua orang manusia di depannya.

“Sampai hati Dir ingkar arahan mak!” Keras nada suaranya memarahi anak sulungnya, Khidir.

“Maafkan Dir, mak... Dir bukan nak ingkar arahan mak tapi Dir sayangkan An. Dir tak boleh nak ikut arahan mak supaya berpisah dengan dia.” Khidir menggenggam kemas tangan Raihan di sebelahnya.

“Lagipun mak jugak yang nak sangat menantu, kan... sekarang Dir dah /bawakkan/ menantu untuk mak.”

Membara hati Jamilah mendengarnya. “Memang mak nak menantu tapi mak tak nak dia yang jadi menantu mak!” Jari telunjuk dituding ke arah Raihan yang sedari tadi menunduk.

“Apa, kurang sangat ke perempuan Melayu kat kampung ni sampai anak Cina mana entah yang kamu ambil jadi bini kamu?!”

“Memang Raihan anak orang Cina tapi dari kecik dia dibesarkan oleh orang Melayu. Dia dah lama kenal Islam la, mak.”

“Aku tak peduli dia dibesarkan oleh orang Melayu ke apa yang penting dia tetap Cina! Lahir dari keturunan Cina!” Makin meninggi suara Jamilah. Dia kecewa dengan anak lelakinya yang sanggup berkahwin tanpa restunya. Lagi dia bertambah kecewa apabila Raihan yang menjadi pilihan Khidir.

Khidir berdiri. “Apa masalahnya kalau dia lahir dari keturunan Cina? Dia pun manusia /jugak /macam kita. Darah dalam badan dia pun merah, bukannya hijau atau kuning!”

“Abang...” Raihan memegang tangan suaminya. Kepalanya digelengkan, tak mahu suaminya meninggikan suara pada wanita yang telah melahirkan suaminya. Khidir duduk kembali. Wajahnya diraup lantas melepaskan keluhan lemah.

“Kau tengok! Anak aku tak pernah tinggikan suara pada aku. Bila dia kahwin dengan kau, dia dah pandai kurang ajar. Langsung tak hormat aku sebagai ibu dia!” Mencerun mata Jamilah memandang Raihan.

“An minta maaf, mak... An...”

“Siapa mak kau?! Jangan berani-berani panggil aku mak ya! Aku tak sudi nak terima kau sebagai menantu aku! Huh!” pintas Jamilah tanpa sempat Raihan menghabiskan ayatnya.

Raihan menunduk.

“Ooo... kalau Saliza yang jadi menantu mak, mak sukalah ya?”

“Memang aku suka! Dari dulu lagi aku suka dia. Dia tu baik, pandai hormat orang tua dan yang paling penting, orang MELAYU!” Sengaja dia menekankan perkataan Melayu.

“Kalau kamu tak tolak lamaran dia dulu, mesti dia takkan lari dari kampung ni. Kamu ingat senang ke seorang perempuan nak melamar lelaki? Liza tu sanggup tebalkan muka dia datang melamar kamu sebab dia cinta sangat kat kamu tapi kamu pulak...” Dia mengeluh mengenangkan wajah sedih Saliza.

“Heiii... entah jampi apa yang perempuan tu guna sampai kamu tergila-gila kat dia!”

“Liza tu mak kata baik? Heh, depan mak je dia berlakon baik, suci tapi belakang-belakang buat kerja tak senonoh sampai buntingkan anak haram. Mak dia hantar ke universiti suruh belajar tapi lain yang dia buat. Perempuan macam tu ke yang mak nak suruh jadi bini Dir? Nak suruh Dir jadi pak sanggup?”