BAB 1

Jari jemari cilik itu dihulur ke luar jendela. Sesekali tangan itu bergerak-gerak menikmati cahaya matahari petang. Terasa kehangatan sinaran mentari. Bibir merah bak delima gadis kecil itu mengukir senyuman. Bahagia mengisi seluruh harinya. Sungguh indah dan ceria hari ini.

“Ariana.” Lembut Artika memanggil nama anak gadisnya. Mata comel itu bulat memandangnya. Ariana tersenyum sebelum berlari-lari anak ke arahnya. Ariana anaknya yang berumur sepuluh tahun. Satu-satunya anak miliknya dan Hairi, suaminya. Pipi gebu Ariana diusap lembut. “Jom keluar makan.” Ajak Artika. Ariana mengangguk laju lalu berlari ke almari merah jambu bercorak hello kitty itu bagi menukar baju. Artika tersenyum sebelum berlalu keluar dari bilik tidur sederhana besar itu.

Satu demi satu pakaian yang disangkut itu dibelek. Pergerakan tangannya yang ligat menolak pakaian ke dinding almari terhenti. Matanya tertancap pada satu tubuh kecil yang bercangkung menghadapnya dalam almari itu. Tubuh kanak-kanak lelaki yang kelihatan sebaya dengannya itu kelihatan agak kebiruan. Ariana memandang tajam budak itu yang hanya menunduk tidak menampakkan wajahnya.

“Pergi! Aku tak kacau kau! Jangan kacau aku!” Marah Ariana dengan nada keras. “Aku tak takutlah!” Ujar Ariana lagi saat telinganya menangkap bunyi ketawa kecil. Perlahan dan menyeramkan. Seketika kemudian tubuh itu hilang dari pandangan. Ariana menarik nafas lega.

Dia menyarung blaus hijau muda ke tubuh kecilnya. Baru dia hendak melangkah keluar dari biliknya, langkahnya mati. Telinganya menangkap bunyi ketawa kecil itu lagi. Tanpa menoleh ke belakang, Ariana bersuara. “Suka hati kau lah. Jangan fikir aku nak layan.” Habis sahaja bicaranya, dia melangkah keluar.