Bab 1

1.

“Maafkan abang timah, abang tak ada pilihan. Abang dah janji dengan Joseph dan Sophia yang abang akan bagi anak yang lahir ini pada mereka.

Demi kepentingan anak kita, kita harus berkorban sayang…”. kamal cuba memujuk isterinya tatkala melihat kesedihan terpancar dari sinar matanya. Kamal tahu, isterinya sedang berperang dengan gelodak rasa yang menggila.

Tapi dia tidak punya pilihan lain melainkan menyerahkan bayi yang baru lahir itu kepada Joseph, seperti yang dijanjikan.

Dia sedar, kata-katanya suatu ketika dahulu telah membawa dirinya ke kancah dilema yang maha hebat. Bukan dia tidak sedih, tapi apa boleh dia buat? Nasi sudah menjadi bubur. Masa yang berlalu tidak boleh diputar kembali menjadi satu permulaan.

Masa yang telah berlalu bukan seperti pita video yang boleh diputarkan kembali setelah tamat dipertontonkan.
“Jangan sedih Joseph, aku yakin satu masa nanti impian kau untuk mempunyai anak akan jadi kenyataan. Aku akan serahkan anak kedua aku yang bakal lahir itu pada kamu sebagai tanda persahatan kita, macamana? “. Kata kamal kepada Joseph, pada suatu petang yang hening.

Joseph kaget! Seolah tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Betulkah apa yang Kamal katakan?
Adakah hanya sekadar menyedapkan hatinya? Namun, hatinya berbunga bahagia bila menyedari kata-kata Kamal bukan sekadar gurauan, bagi Joseph, pucuk dicita, ulam mendatang.
Joseph datang ke Malaysia semata-mata untuk menceritakan masalah rumah tangganya kepada Kamal.

Joseph, anak kelahiran Sabah yang mempunyai campuran antara british dan Kadazan itu sudah tidak asing lagi bagi Kamal. Masalah Joseph, masalah Kamal juga. Bapa Joseph berbangsa british manakala ibunya dari etnik kadazandusun di Sabah.

Persahabatan mereka bagai isi dengan kuku, dari sama-sama menabur pasir di atas kepala sehingga masing-masing sudah berumah tangga. Persahabatan mereka tidak pernah berubah.

Namun, nasib tidak begitu menyebelahi Joseph apabila perkahwinan yang dibina bersama isteri tercinta tidak seperti yang mereka harapkan. Setelah beberapa tahun membina mahligai dengan pilihan hati, mereka masih gagal mempunyai cahaya mata.

Rumah tangga yang dibina umpama retak menanti belah. Sedangkan rumah tangga kamal dan isterinya, Fatimah sangat bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata mereka. Yang pertama Razif Adam berusia 4 tahun ketika anak kedua mereka dilahirkan.