×enam×

KHAYLA menarik bagasi miliknya melewati balai ketibaan. Dari jauh dia dapat melihat Syed Ikhwan sedang melambai-lambai ke arahnya. Hatinya bertambah gembira apabila melihat anaknya turut ada bersama. Dia sangat rindukan si kecil Darwish. Tak pernah sesaat pun dia tidak fikirkan Syed Darwish. Khayla menghampiri Syed Ikhwan lalu bersalaman dengan lelaki itu.

"Dah lama abang sampai?" tanya Khayla sambil mengambil Darwish dalam dukungan Syed Ikhwan.

"Baru saja. Lepas ni kita balik rumah papa ya. Dah lama papa dengan ibu tak jumpa Darwish. Rindu katanya. Malaeka pun bukan main sibuk tanya bila sayang nak balik sini."

Khayla tersenyum. Dia sangat bersyukur kerana mendapat suami dan keluarga yang sangat mengambil berat akan dirinya. Syukurlah kerana Syed Ikhwan sanggup menerima segala kekurangannya. Lelaki itu jugalah yang banyak memimpin Khayla ke arah lebih baik. Syed Ikhwan mencapai bagasi dan tangan Khayla, setelah itu mereka terus sama-sama melangkah ke arah ruang parkir kereta.

"Sayang rindukan mummy ya. Seronok tak duduk dengan daddy." Khayla mencuit pipi si kecil Darwish.

Sesekali Darwish merengek kerana tidurnya terganggu. Tenang betul hati Khayla setelah dapat menatap wajah anak kecilnya. Hampir seminggu juga Khayla tidak bersua muka dengan Darwish. Khayla terpaksa berjauhan dengan anak dan suaminya untuk tempoh masa tertentu kerana dia bertugas untuk penerbangan antarabangsa.

"Macam mana dengan kerja abang di syarikat. Okay ke?" tanya Khayla.

"Setakat sekarang okay. Tapi abang penat sebab kena bersaing dengan Ziyaad. Dia ada kelebihan dalam financial. Abang hanya handle HR saja." Syed Ikhwan melepaskan keluhan.

Khayla mengusap bahu Syed Ikhwan yang fokus memandu di sebelah. Bibirnya tersenyum pahit apabila nama Ziyaad meniti di bibir Syed Ikhwan.

" Khayla tahu abang boleh lakukan. Jangan mengalah," pujuk Khayla sambil tersenyum.

Syed Ikhwan membalas senyuman isterinya. Khayla sangat pandai mengambil hatinya. Sejak mereka mendirikan rumah tangga, jarang sekali Khayla menyakitkan hatinya. Kini, kereta yang dipandu oleh Syed Ikhwan memasuki villa milik Syed Fadhil.

"Eh abang Ikhwan baliklah," jerit Malaeka yang sedang duduk di gazebo berhampiran pintu pagar utama.

Malaeka terus bergegas ke arah kereta milik Syed Ikhwan. Dia tak sabar hendak bermain dengan Darwish sebenarnya.

"Kak Khayla baru landing ke?" tanya Malaeka sambil bersalam dengan kakak iparnya. Setelah itu dia beralih pada Syed Ikhwan pula.

"Akak baru ja landing. Malaeka tengah cuti sem ke?" tanya Khayla kembali.

Malaeka mengangguk. Dia sedang cuti semester selama dua bulan. Sebenarnya Malaeka sedang belajar dalam bidang perubatan di Mesir. Tahun ini dia pilih untuk pulang ke Malaysia kerana sudah agak lama tidak pulang. Dia rindukan keluarganya.

"Mummy... Daddy," jerit seorang kanak-kanak lelaki sambil berlari ke arah arah Syed Ikhwan.

Syed Ikhwan terus memeluk tubuh kecil itu.

"Aryan rindu daddy tak?" tanya Syed Ikhwan.

"Of course Ayan rindu daddy. Auntie Malaeka selalu buli Ayan." Aryan memuncungkan bibirnya.

Malaeka menjegilkan matanya pada Aryan. Pandai pula budak kecil ni mengadu. Aryan adalah anak sulung Syed Ikhwan dan Khayla. Kanak-kanak itu baru sahaja berusia tiga tahun. Sejak kecil lagi Aryan memang dijaga oleh keluarga Syed Fadhil. Syed Ikhwan mendukung tubuh kecil Aryan lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Di ruang tamu, kelihatan Syed Fadhil dan Puan Dahlia sedang berborak-borak sambil menikmati minum petang.

"Eh dah sampai. Mari duduk sini," panggil Puan Dahlia. Dia agak teruja apabila anak menantunya itu pulang ke rumah.

Ketika semua sedang leka berbual, Ziyaad muncul di ruang tamu. Lelaki itu kelihatan agak penat kerana baru pulang dari kerja. Keadaan menjadi tegang buat seketika. Ziyaad terus menapak naik ke bilik tidurnya tanpa menegur sesiapa. Begitulah sikap Ziyaad ketika di rumah. Dia agak dingin sahaja. Entah kenapa dia bertindak demikian. Dahulu Ziyaad seorang yang agak periang ketika bersama keluarga. Tapi semua itu sudah berubah.

Ziyaad melempar briefcase miliknya di atas katil. Setelah itu dia menghempas tubuhnya pula. Dia sangat penat sekarang. Sejak pagi tadi dia terpaksa menguruskan masalah di tapak pembinaan. Pihak pembekal tidak menghantar bahan binaan ke tapak disebabkan ada sedikit masalah. Jadi, terpaksalah dia sendiri yang selesaikan. Mujurlah ada Darren untuk membantu.

Baru sahaja untuk melelapkan mata, bahu Ziyaad disentuh seseorang. Rupanya Aryan yang menyentuhnya sebentar tadi. Ziyaad terus bangun duduk. Rimas betul dia rasa. Kenapa budak ini selalu cuba hendak dekat dengannya walaupun sudah banyak kali dimarah.

"Kau nak apa?" tanya Ziyaad.

"Uncle Ziyaad dah makan ke?" tanya Aryan sambil memanjat ke atas katil.

Ziyaad sekadar mengangguk malas melayan.

"Ayan dah makan. Ayan makan nasi dengan atok tadi. Nenek masak sedap." Bibir kecil Aryan mula berceloteh.

"Apa kata kau keluar dulu budak. Aku nak rehat kejap. Penat," ujar Ziyaad kasar. Dia menolak tubuh kecil Aryan supaya turun dari katil.

Entah bagaimana tiba-tiba Aryan tersilap langkah ketika hendak turun dari katil. Kepalanya terhantuk pada lantai. Ziyaad agak terkejut apabila Aryan mula menangis. Dahi Aryan kelihatan lebam. Ziyaad cepat-cepat mendapatkan Aryan.

"Ziyaad!" jerkah seseorang.

Ziyaad terus melepaskan Aryan yang sedang menangis. Khayla terus mendapatkan anaknya. Tubuh kecil Aryan dipeluk erat.

"Kalau you tak sukakan I. Jangan sakiti anak I," marah Khayla.

"Dia jatuh sendiri la. Bukan aku yang buat ," jawab Ziyaad cuba mempertahankan diri.

Aryan masih lagi menangis. Khayla tidak menghiraukan kata-kata Ziyaad. Dia terus membawa Aryan keluar dari bilik Ziyaad. Nampaknya Khayla sudah salah faham dengan Ziyaad.