×lima×

HARI INI Aurora masuk lambat ke pejabat. Bukannya dia sengaja berbuat demikian, tapi dia terpaksa menggantikan Darren bermesyuarat di syarikat pihak pembekal. Tiba-tiba sahaja dia menerima mesej pagi tadi mengatakan Darren terpaksa mengambil cuti kerana ada hal kecemasan yang tak dapat dielakkan.

"Lambat awak masuk hari ni Aurora," tegur Ziyaad yang juga menunggu lif untuk ke atas.

Aurora menundukkan sedikit wajahnya sebagai tanda hormat. Dia langsung tidak perasan akan kehadiran lelaki itu.

"Saya ada meeting pagi tadi. So, memang terpaksa masuk lambat. Eh, encik pun lambat masuk ke?" tanya Aurora kembali.

"Ada hal sikit," balas Ziyaad pendek.

Kepala Aurora diangguk perlahan. Tidak lama selepas itu, pintu lif terbuka. Aurora memberi peluang kepada Ziyaad untuk masuk dahulu sebagai tanda hormat. Wajah Ziyaad kelihatan dingin sahaja sepanjang berada di dalam lif. Entah apa yang baru dilalui oleh lelaki itu. Takut pula Aurora hendak bertanya. Nanti dikatakan suka menjaga tepi kain orang pula.

Sebaik sahaja tiba di tingkat enam, Ziyaad terus meloloskan diri dari lif. Dia menuju ke arah Jabatan Kewangan. Aurora pula kembali ke kubikel kerjanya. Sempat lagi Aurora menegur Tania yang sibuk membawang dengan pekerja lain di meja hadapan penyambut tetamu.

Aurora meletakkan briefcase miliknya di atas meja. Dia perasan akan sekeping kad yang diselit di bawah laptop.

"Kad apa pula ni?" Aurora terus membuka kad itu. Mulutnya terlopong melihat isi kad tetsebut.

Seutas rantai bersama loket terukir namanya jatuh dari kad itu. Dia sangat kenal akan pemiliknya. Tapi dah lama dia buang rantai itu ketika di London. Bait-bait tulisan di kad itu juga sangat dikenalinya. Semua ini mesti kerja Syed Ikhwan. Entah apa lagi yang lelaki itu mahu.

'Marissa Aurora,
Nama yang pernah meniti di bibir ini saban hari beberapa tahun yang lalu. Andai aku mampu undurkan masa, pasti akan aku berbuat demikian. Maafkan aku Marissa kerana membuang dirimu.'

Aurora ketawa sinis selepas membaca apa yang tertera pada kad itu. Semudah ini sahaja Syed Ikhwan meminta maaf. Apa yang dilakukan oleh lelaki itu sangatlah jahat. Hati Aurora telah tertutup rapat setelah itu. Semua kepercayaan yang diberi pada Syed Ikhwan hancur lebur begitu sahaja. Hanya Tuhan yang tahu betapa susahnya untuk Aurora mengorak langkah dari kenangannya. Kad dan rantai itu terus dibawa ke arah Jabatan Sumber Manusia. Aurora harus berdepan dengan Syed Ikhwan kali ini.

"Syed Ikhwan ada?" tanya Aurora pada kerani yang bertugas di hadapan pintu masuk bilik kerja Syed Ikhwan.

"Ada. Cik Aurora ada urusan apa ya?" tanya kerani itu kembali.

Aurora terus merempuh masuk ke dalam bilik kerja Syed Ikhwan. Kerani itu sangat terkejut dengan tindakan Aurora. Dia terus cuba menghalang Aurora dari berbuat demikian. Syed Ikhwan juga kelihatan agak terkejut. Ketika itu, dia sedang berbual dengan dua orang pekerjanya mengenai beberapa perkara.

"Maaf Tuan, saya dah cuba halang cik Aurora." Kerani itu memohon maaf.

Syed Ikhwan memgangkat tangan memberi isyarat kepada keraninya untuk keluar. Setelah itu, Syed Ikhwan meminta dua orang pekerjanya pula untuk keluar. Wajah Aurora sangat kemerahan. Menahan marah.

" Apa semua ni Ikhwan? Apa lagi awak nak dari saya?" tanya Aurora bertubi-tubi.

Syed Ikhwan bangun dari kerusi menuju ke arah pintu lalu menguncinya. Pandangan matanya jatuh melorot pada tangan Aurora yang sedang memegang seutas rantai. Tahulah dia bahawa apa yang membuatkan Aurora sangat marah.

"Saya hanya mahu mengingatkan awak pada kenangan kita. Adakah awak langsung tak rindukan saya?" Syed Ikhwan cuba mengumpan perhatian Aurora.

"Rindu? Awak cakap apa ni. Benda nak rindu-rindu antara kita dan berakhir. Awak yang hancurkan semua itu. Awak sedar tak?Awak tinggalkan saya lepas apa yang saya dah beri pada awak. Awak ingat semudah itu saya nak maafkan awak," jerkah Aurora sekuat hati.

Syed Ikhwan menghampiri Aurora. Rantai di dalam tangan gadis itu diambil. Sebenarnya rantai ini dijumpai oleh Haizar. Lelaki itu yang mengutip rantai ini ketika Aurora nekad membuangnya. Selama beberapa tahun ini, Syed Ikhwan ada mengikuti perkembangan Aurora. Cuma dia tak tahu status sebenar gadis itu sahaja. Ya, Syed Ikhwan sedar bahawa semua ini salahnya. Tapi dia juga mangsa keadaan. Sukar untuknya memulakan hidup baru. Tambahan lagi, dia terpaksa menutup kesalahan orang lain.

"Saya terpaksa Marissa. Bukan niat saya nak sakitkan hati awak. Saya sayang awak sangat-sangat. Tak pernah sedetik pun rasa salah itu tak muncul dalam hati saya. Kalaulah awak boleh rasa apa yang saya rasa." Syed Ikhwan menundukkan wajahnya.

"Sudahlah Ikhwan. Kadang-kadang saya terfikir, kenapa Tuhan temukan saya dengan awak setelah bertahun? Adakah untuk sakitkan hati saya lagi?" Aurora mula ketawa dalam tangisan.

"Jangan cakap begitu. Pasti ada sebab kenapa Tuhan temukan kita," pujuk Syed Ikhwan.

Aurora mengesat air matanya kasar. Rantai yang berada di dalam genggaman diserahkan kembali pada Syed Ikhwan. Setelah itu, dia terus melangkah pergi meninggalkan Syed Ikhwan. Aurora sangat terkejut apabila melihat Ziyaad sedang berdiri di hadapan pintu masuk. Lelaki itu sedang memeluk tubuh sambil memandang ke arahnya. Aurora cepat-cepat menyembunyikan wajahnya yang kemerahan lalu melangkah pergi. Dia takut jika Ziyaad tahu apa yang berlaku di antaranya dan juga Syed Ikhwan.

Ziyaad memerhati Syed Ikhwan. Lelaki itu hanya menundukkan wajah apabila pandangan mata Ziyaad menusuk matanya. Ziyaad menghampiri Syed Ikhwan lalu menarik kolar baju lelaki itu.

"Jangan ganggu dia. Teruskan hidup kau dengan Khayla." Ziyaad memberi amaran.

Syed Ikhwan menolak tangan Ziyaad.

"Kau yang hancurkan hidup aku begini. Kau jangan lupa," balas Syed Ikhwan.

Ziyaad mendengus geram. Dia terus melangkah pergi meninggalkan Syed Ikhwan. Makin lama dia berada di situ, makin besar pula masalah nanti. Memang dia yang menyebabkan hidup Syed Ikhwan hancur. Dia yang larikan diri dari perkahwinan bersama Khayla. Tapi ada sebab kenapa dia berbuat demikian. Tapi Syed Ikhwan yang bodoh kerana menerima tawaran untuk menggantikan dirinya.