BAB 13

Perlahan ku buka mata, kabur. Buka mata lebih luas lagi melihat keliling. Aku di mana? Bukan aku atas motor tengok side mirror Nampak Dahlia ke tadi?

Cuba angkat kepala, aduh sakitnya. Nama Allah ku sebut. Allah… sakitnya kepalaku. Tangan ku angkat terasa sakit, kuraba kepala. Berbalut.

Apa yang dah jadi pada aku?

“Dah sedar Liam?”

Suara Zali dan mataku pantas memfokus pada Zali dan Kak Lina dan Dia! Dia yang wajahnya sukar kutafsir.

“Apa jadi?” Itu yang keluar dari mulutku, tak tahu nak tuju pada siapa. Harap dijawab.

Tak larat nak tanya lagi, rasa kering dan pahit tekak.

“Awak pitam dan jatuh dari motor.”

Kesayanganku yang menjawab. Mulutku terlopong sedikit. Aduh malunya anak jantan jatuh motor. Jatuh depan kesayangan pula tu. Malu, jatuh ego ku sebagai rider bergaya. Jatuh dari motor depan awek yang dipuja. Maluuuuu!

“Nasib baik ada adik manis ni. Risau Kak Lina bila dapat call dari abang Zali. Mujur kamu okay Liam.”

Okay? Aku tak tahu nak sorok mana muka ni, malu kat Ayuni Dahlia.

“Tu lah, degil sangat. Aku nak bawa hang pi klinik tak mau. Orang lain pernah juga putus cinta tapi tak ada lah sampai jatuh sakit macam hang ni Liam.”

Zali ni, cover la sikit. Ada Dahlia kot, malulah aku dia tahu aku sampai jatuh sakit fikirkan dia. Aku buat isyarat pada Zali minta dia dekat pada ku. Zali dekat dan aku bisik padanya. Perasan juga reaksi ingin tahu di wajah Kak Lina dan dia.

“Dia lah Dahlia.”

Bulat mata Zali. Tak berkelip matanya memandang aku macam tak percaya. Jangan kata dia, aku lagi tak mahu percaya. Takdir Allah swt menciptakan kejadian di lampu isyarat yang menemukan aku kembali dengan pujaan hati.

“Eh Hafizuddin, aku lupa pula, tadi nak ambil barang kat kereta. Lina teman abang sat.”

Nama penuh aku disebut Zali, aku faham niat dia. Perasan perubahan di wajah Dahlia. Terima kasih Zali.

“Eh adik…”

“Dahlia… panggil saya Lia.”

“Minta tolong tengokkan kawan abang si Hafizuddin ni kejap ye. Abang datang balik nanti.”

Suasana senyap, aku pandang dia, tapi dia hanya duduk di hujung katil. Diam tak berkutik, siap baca majalah ujang lagi. Amboiiii, tak ada perasaan ke bakal kekasih aku ni?

Padahal aku nyaris ucap selamat tinggal pada dunia tadi. Blank face sungguh dia ni. Hati batu muka kertas A4, tak tahu apa yang dia rasa, apa yang dia fikir.

Bertambah sakit kepala aku ni nak mentafsir kamu Ayuni Dahlia.

Baru nak buka suara nak menegur dia. Doktor bertugas dan geng jururawat datang memeriksaku dan dia menjauh. Adusss melepas lagi peluang.