BAB 8

Sejak ‘ditolak’ permintaanku oleh Ayuni Dahlia, aku tekad melupakan niat ikhlas dan murniku itu.

Aneh, sejak tekad itu kutanam dalam jiwa. Wajahnya tidak lagi dapat kulihat. Ke mana dia ya?

Nombornya ku dail menanti penuh sabar talian sebelah sana diangkat, menanti suaranya itu menjawab panggilanku. Tapi hampa talian di sebelah sana mati. Sengaja dimatikan atau memang mati taliannya?

Tidak putus asa esok aku mencuba lagi. Hampir seminggu mencuba tidak juga berjawab malahan masih tidak disambung, aku jadi resah. Mungkinkah sesuatu yang buruk telah berlaku pada Lia?

Hati yang risau bercampur merindu membuat aku memberanikan langkah kaki ke kedai buku Cahaya.

Biarlah dia nak bolayan aku nanti, atau halau aku. (Mana lah tahu kan?) Aku tetap nak jumpa dia, janji aku tahu dia selamat, safe and sound.

“Tumpang tanya boleh, pekerja yang namanya Ayuni Dahlia mana ya?”

“Awak siapa?”

“Saya Hafizuddin. Er… kawan dia. Dia mana ya? Boleh saya jumpa?”

“Dia cuti hari ini. Minggu depan baru masuk kerja.”

“Dia tak sihat ke?”

“Dia tak jemput ke? Mungkin sekarang ni dia dah ada kat masjid, akad nikah.”

Terlurut aku terduduk ke lantai. Pekerja kedai buku ini terkejut spontan membantu aku bangun.

“Boleh saya tahu masjid mana dia nikah?”

“Er…Masjid Manjung rasanya…Tapi …”

Belum sempat dengar ayat selanjutnya dari pekerja itu. Aku meluru keluar, pantas kupecut LC ke masjid Manjung. Aku masih punya peluang, siapa tahu hati kami bernada yang sama?

Mungkin pernikahan ini atas dasar keluarga, mungkin si manis tidak rela, mungkin si manis terpaksa, mungkin si manis yang rela…mungkin…

Penuh debar aku melangkah masuk. Melihat dari belakang, satu susuk tubuh berpakaian serba putih. Diakah yang duduk bersimpuh itu? Kelihatan Tok Kadi dan pengantin lelaki sedang berjabat tangan.

“Hentikan pernikahan ini!”

Semua mata berpaling padaku. Tangan Tok Kadi yang menjabat tangan ‘bakal suami’ pujaan hatiku juga terlerai. Aku mengambil nafas menahan perasaan yang berdebar menanti pujaan hatiku memalingkan wajahnya melihat aku.

Lihatlah aku, lihatlah aku, lelaki gila yang mencintaimu. Memang aku gila, si gila yang sanggup menghentikan sebuah perkahwinan hanya untukmu. Hanya untuk kau tahu aku sayangkanmu.

Sedang kau…ah, tak mengapa Hafiz yang penting kau cuba. Dari kau menanggung sesal seumur hayat kau.

“Aduiii!”

Sakit bahuku bila ditepuk dengan kuat dari belakang. Aku menoleh nak lihat siapa yang pukul aku.

Dia! Mukanya kalah singa mengamuk. Tak ada senyum langsung. Dia marah, lebih tepat lagi mengamuk!

“Awak buat apa kat sini?”

“Lia? Tapi siapa?”

Kalau dia di sini. Habis tu siapa pula yang duduk siap pakai baju pengantin segala tu. Pengantin perempuan berpaling menatapku, memang lawa tapi bukan dia. Belum sempat nak tanya apa-apa dia mengheret aku keluar dari ‘tempat kejadian’.

“Awak dah kenapa?”

Tinggi suaranya, memang dia marah, dan aku terdiam terpaku. Aku pandang dia dari atas ke bawah. Manis pujaan hatiku ini dengan baju kurung moden warna biru. Agak sepadan warna baju kami. Memang aku salah kali ini, memang bukan dia pengantinnya. Aduh Malu!!!!

Aku menoleh ke belakang bila terdengar suara riuh orang bersok sek sok sek berbisik mengata aku. Dan aku lihat Tok Kadi ketawa besar sambil menepuk-nepuk bahu pengantin lelaki yang aku kira saat ini tunggu masa nak meletup, nak mencekik aku hidup-hidup.

“Saya… saya…”

“Baik awak jelaskan sebenarnya… awak ni kekasih kak Ima?”

Aku menelan liur, pantas menggeleng. Gila, siapa kak Ima? Aku ni syok kat kau tahu tak? Oh Lia.

“Siapa kak Ima?”

Muka dia berkerut. Huh, tetap comel. Bikin hati ini bertambah sayang. Kau senyum kau marah kau tetap nombor satu dalam hati.

“Kak Ima pengantin perempuan tu la.”

“Saya tak kenalpun.”

“Kalau tak kenal, kenapa beria nak berhentikan pernikahan kami ha?”

Bala besar dah tiba! Pengantin lelaki sudah berdiri menghadapku.

Berani buat berani tanggung. Serkap jarang memang membawa padah.

“Abang cuba bawa bertenang.”

Terima kasih Lia. Aku senyum padanya tapi dia menjegilkan mata. Masih geram dan marahkan aku. Aku lihat pengantin perempuan memerhati dari balik pintu dan wajahnya dibasahi air mata. Aduhhhhh, apa yang telah aku lakukan?

Aku telah menyebabkan penyatuan antara dua hati terganggu, menyebabkan pipi pengantin perempuan dibasahi air mata. Pengantin lelaki mengesyaki pengantinnya. Dan membuat si manis ini mengamuk.

Aku harus berani, berani berterus terang mengenai perasaan dan hati ku pada si manis ini. Bukankah itu tujuan asalku.

“Maafkan saya. Tapi saya tak bermaksud. Saya ingatkan Lia yang akan bernikah hari ini. Sejak kali pertama saya lihat Lia.

Hati saya dah terusik, saya memang sukakan Lia. Saya minta maaf pada semua kerana merosakkan pernikahan ini. Maafkan saya. Hal ini tak ada kena mengena langsung dengan pengantin perempuan. Saya langsung tak kenal dia. Maafkan saya.”

Aku melirikkan pandangan pada pengantin perempuan yang Lia panggil Kak Ima. Maafkan aku.

Dan bila aku lihat Lia, Lia kelihatan tergamam. Wajahnya berubah.

Suasana senyap sunyi. Pengantin lelaki yang tadinya wajah masam mencuka gaya nak membunuh, berubah riak. Dia senyum dan aku pelik.

“Biar saya teka. Awak ni Liam? Saya Amir. Abang Lia.”

Aku mengangguk dan menjabat tangan pengantin lelaki ini yang rupa-rupanya abang Lia.Aduh berlipat-lipat kali kali ganda malu aku. Tebal muka rasanya. Aiyaa.

“Ini ke Liam yang Lia…”

Belum sempat pengantin lelaki itu menghabiskan ayatnya, Lia menghampiri pengantin lelaki itu dan memijak kakinya. Pegangan tangan pengantin lelaki ini, yang juga abang Lia pada tangan ku terlerai. Aku lihat wajah Lia merah padam, dan abangnya memegang kaki yang sakit.

Wah…ganas juga si cantik manis ini. Tapi memang cantik.

“Liam tu nama timang-timangan saya. Sekali lagi maafkan saya sebab menganggu majlis pernikahan Amir dan er… pasangan.”

Mataku terpandang wajah Lia yang berubah. Macam riak terkejut.

“Ni kalau semua dah settle, rasa-rasanya encik Amir nak nikah lagi tak?”

Semua tertawa bila Amir laju sahaja memeluk bahu Tok Kadi dan masuk semula ke ruangan dalam masjid untuk memulakan kembali upacara pernikahan yang terhenti disebabkan iklan tak berbayar dari aku. Adussss malu!

“Liam, kau pun masuk sekali. Tunggu sampai majlis ini selesai. Yuk!”

Terkejut aku bila Amir keluar semula, meletakkan tangannya di bahuku dan aku antara rela dan tidak mengikuti langkahnya masuk ke dalam. Dan Lia masih lagi terpaku di luar.

Mata kami sempat bertentangan, dan aku jadi resah bila dia menunduk, tertunduk.

Aku mahu tahu pendapatnya. Apakah dia akan memberikan aku isyarat lampu hijau atau lampu merah? Patutkah aku meneruskan usahaku memikatnya atau membiarkan sahaja semuanya berakhir dengan kekecewaan.

Apakah lampu isyarat berwarna merah yang mempertemukan aku dan dia akan menjadi tanda bermulanya satu percintaan antara kami atau kekecewaan untuk aku?

Oh Tuhan, sungguh aku mahu ia menjadi lambang cinta, tapi riak wajahnya tadi sukar ku baca.