BAB 9

Terkejut aku bila sepinggan nasi minyak siap diisi ayam masak merah, disimbah gulai daging, dan jelatah, dua hiris tembikai dan segelas air sirap diletak dihadapanku. Sedapnya! Puas mata meneroka isi dalam pinggan aku mengalih pandangan mata pada pemilik sepasang tangan yang meletakkan pinggan itu. Adakah untukku?

Mukanya tiada reaksi. Aku menoleh ke sebelah aku, kut-kut ada orang kat sebelah ni. Manalah nak tahu ralit sangat termenung aku tak perasan sebelahku sudah ada orang. Tak ada! Memang dari tadi aku seorang diri duduk di meja batu di luar rumah keluarga pengantin perempuan.

Rasa tak sanggup nak masuk nak menatap muka tetamu majlis pernikahan ini. Malu kot! Bukankah aku yang menyebabkan pernikahan ini nyaris terbatal? Ini pun duduk luar seorang diri kat sinipun hampir semua mata memandang.

Apa mamat senget ni buat kat sini? Tak malu ke mari majlis orang, sudahlah tak dapat jemputan, ada hati nak buat onar pula. Malu! Malu! Rasa nak nyorok muka kat mana pun tak tahu.

“Untuk saya?”

“Tak lah, nak bagi kat hantu raya.”

Amboi, baik punya perli. Lega bila hujung bibir nya bergerak sedikit. Dia senyum, senyum padaku. Aku jadi kembang hati. Yess, ada harapan.

“Makanlah. Nak basuh tangan tu belakang awak ada paip.”

“Lia teman saya? Saya… saya pergi basuh tangan sat. Sat sahaja.”

“Saya nak lari mana. Inikan majlis abang saya.”

Menyengih malu aku.

“Lia tak makan sekali?”

“Dah makan kat dalam dengan abang tadi.”

Dia setia menemani aku sepanjang majlis berlangsung. Cuma meninggalkan aku sekejap untuk menepung tawar abangnya. Terketar juga tanganku bila diminta menepung tawar Amir dan pasangannya.

“Terima kasih Liam sudi tunggu sampai habis majlis.”

Amir bersalaman dan terkejut aku bila dia memeluk aku, aku yang hampir membuat pernikahannya terhenti. Disisinya Ima yang sudahpun selamat menjadi isterinya yang sah senyum melihat kami. Dia?

Dia memandangku hanya seketika sebelum menunduk, namun aku perasan senyuman dihujung bibirnya.

“Saya harap Liam dapat jaga Lia sebaiknya. Saya yakin pada kamu.” Dia berbisik ditelinga aku.

Pelukan terlerai dan aku dapat rasakan pandangan yang penuh ancaman dari Amir. Air liur kutelan, lalu mengangguk. Kepercayaan telah diberikan, Alhamdulillah aku sudah dapat green light dari abangnya, Cuma tunggu si tuan punya badan sahaja.

Dahlia hanya menunduk ketika aku memandangnya. Lain sangat perangainya dari waktu di masjid tadi. Macam tak percaya pula si manis ini yang menepuk bahu aku di masjid tadi.

“Saya pun minta maaf sebab hampir merosakkan majlis awak.”

Amir hanya ketawa, aku lihat tangannya melingkari pinggang isterinya.

“Kalau tak gitu, kita takkan tahu hati awak kan, idak gitu Lia?”

Aku perasan renungan tajam Dahlia pada Amir, aku hanya senyum, senyum bahagia.