BAB 18

Hari pernikahan ku tiba akhirnya. Dalam masa empat jam sahaja lagi aku akan berjabat tangan dengan Tok Kadi untuk melafaz akad untuk menikahi seorang gadis bernama Nur.

Jiwaku mati tika ini, Allah… berikan aku kekuatanmu.

“Hoi… Liam hang buat apa kat sini. Pi balik siap nu jap gi nak nikah kan?”

“Lagi empat jam kut. Aku nak siapkan design ni. Customer tu nak hari ni.”

“Kau tak bagitahu ke yang kau nikah hari ni kat boss? Kau tak minta cuti?”

“Kena bagitahu ke? Tak perlu kot, lagipun aku nikah lepas asar nanti. Sempat je nak balik siap.”

Zali menggeleng kepala mendengar jawapanku. Bahuku ditepuknya perlahan sebelum menghadap kembali PC. Aku kembali tenggelam dalam kerjaku, langsung tak sedar keadaan sekeliling. Hanya berhenti untuk solat zohor dan kembali menghadap PC.

Nah siap akhirnya design sticker bas ini. Lega hatiku. Selesai send email pada customer, belum sempat nak call customer, handphone aku berbunyi. Panggilan dari Ayah, dan Abang ku.

Terkejut bila Zali menarik kerusiku, nyaris tak jatuh. Zali sudah siap lengkap berbaju Melayu. Adusss sudah pukul berapa ni? Dah pukul 4:30 petang. Allah, ya Rabb pernikahan aku!

“Cepat tutup PC tu. Family hang dah gerak pi masjid dah. Depa suruh aku bawa hang pi sana.”

“Takkan aku nak pi macam ni?”

Biar benar takkan Zali nak aku nikah dengan berpakaian selekeh gini? Seluar jeans lusuh, t-shirt cap Nirvana dengan rambut ku yang bersepah, muka macam baru balik bersawah punya berkilat berminyak.

“Mana ada masa, semua orang dah ready kat masjid. Itulah aku cakap tadi, balik siap tak mau dengaq dok sibuk sangat dengan design dia 24 jam.”

Malas nak dengar bebelan Zali, sat lagi kena siap dengar bebelan Ayah abang dan Mak Uda, kasihan telingaku. Ah, salahku juga. Tanpa banyak soal aku memboloskan diri ke dalam Kancil Zali. Zali hulur songkok dan aku sarung ke kepala.

Wahai bakal pengantinku yang bernama Nur… maafkan pengantin lelakimu yang selekeh ini.

Mengucap aku dibuatnya bila Zali bawa Kancil macam nak pergi race F1.

“Hoi, slow sikit lah. Karang bukan aku pergi nikah, tapi pergi hospital pula.”

“Aku pelik dengan hang tau Zali, bagi nikah dengan orang yang tercintapun buat perangai macam kena kahwin paksa. Aku ni risau pengantin perempuan kau tu lari tau tak?”

“Kau jangan nak sakitkan hati aku boleh tak Zali, hang tahu kan aku kahwin pilihan keluarga.”

Lampu merah dan Zali selamba memecut Kancil. Aduhhh masaklah kali ni. Dia ni selamba betul tak nampak ke Polis kat belakang tu?

Zali mencampakkan sekeping kad jemputan kepadaku. Kad jemputan ke perkahwinanku.

“Zali, polis kejar kita lah.”

Kancil diberhentikan di tepi bila seorang daripada empat anggota polis Unit Ronda Bermotosikal itu meminta Zali berhenti ke tepi. Adusss masaklah kali ni! Sebelum keluar dari kereta Zali mencampakkan sesuatu kepadaku.

“Hang baca kad tu. Hang tengok sapa yang hang akan kahwin.”

Zali keluar dari kereta dan bercakap dengan anggota polis seramai empat orang itu. Entah apa dibincangkan Zali siap angkat tangan macam orang memohon merayu. Itu lah nak memecut tak beringat.

Kad itu aku buka, cantik dan kemas. Pasti didesign oleh Zali. Ini kali pertama aku melihat kad jemputanku sendiri. Mataku hampir tak percaya bila melihat apa yang kubaca. Allah…