BAB 10

Satu hari, sejarah tercipta. Sedang aku duduk dengan member aku dekat seat paling belakang, akak tu approach aku. “Adik ni nama Helmi kan?”

Terpaku sebentar.

“Err, ya saya,”

“Akak selalu dengar adik cerita benda kelakar-kelakar dekat belakang. Adik ada cerita kelakar yang best tak? Cerita la dekat akak,”

Ya Allah aku manly tears dalam hati. Doa aku setiap kali lepas solat dimakbulkan (jangan gelak). Dan aku pun mula bercerita.

“Ok, pada suatu hari ni ada seorang raja yang mencabar semua penduduk, siapa yang mampu mengangkat seekor gajah, raja akan kurniakan dia 10,000 wang emas. Maka, ramailah yang mencuba nasib dan semuanya gagal. Jangan kata nak terangkat sikit, nak bergerak pun tidak. Raja mula hampa dan elok je raja nak batalkan pertandingan tu, datang seorang pemuda yang kurus, menerima cabaran raja. Punyalah rasa pelik semua penduduk kampung masa tu. Ye la, yang datang semuanya stok sador-sador badan. Six packs ketul-ketul. Pemuda ni, kurus kering. Raja tetap bagi peluang dan pemuda tu menyahutnya. Alangkah terkejutnya penduduk kampung dan raja bila pemuda tu berjaya angkat gajah tu dengan sebelah tangan je. Maka, pemuda tu pun menang,”

Semua orang fokus termasuk kakak tu.

“Nak tahu kenapa?”

Semua angguk hampir serentak.

“Sebab pemuda itu pukul telur gajah tu dengan tangan dia. Melompatlah gajah tu terkejut. Maka, terangkat la dia,”

Akak tu dah senyum sikit. Aku teruskan lagi.

“Tapi, raja tak puas hati. Dia cabar pulak, siapa yang mampu nak gelengkan kepala gajah tu, dia bagi lagi ganjaran yang sama yakni 10,000 wang emas. Maka, lagi dua kali ganda ramailah penduduk yang nak cuba nasib. Ada yang menarik kepala gajah. Ada yang acah-acah sergah gajah. Yang geletek gajah pun ada tapi semuanya gagal. Sampailah turn pemuda tu. Pemuda tu pun menghampiri telinga gajah tu dan berkata…”

“Kata apa?” tanya kakak tu.

Aku senyum.

“Hey gajah, kau nak aku pukul telur kau lagi ke? Ha, gelupor la gajah tu geleng kepala!”

Akak tu ketawa sampai terkeluar air mata. Aku tak dapat nak terangkan perasaan aku masa tu. Rasa macam kau dah lulus exam. Rasa macam dapat A dalam subjek matematik. Rasa macam baru score goal. Rasa macam menang duit. Rasa macam semua-semualah.

Hari itu menjadi hari yang paling gembira sepanjang hidup aku dalam bas tu. Sebabnya lepas kejadian tu, aku, akak tu, dan rakan-rakan yang lain akan berkumpul di seat belakang dan bertukar-tukar teka-teki dan cerita kelakar. Oh saat tu aku rasa sangat best.

Tapikan, benda-benda indah ni bukan selamanya kekal.