BAB 15

Wani pandang telefonnya. Rasa sudah berbelas kali dia memeriksa telefonnya itu kalau-kalau ada mesej yang masuk dan dia terus hampa. Sejak malam itu, Farish langsung tidak menghubunginya, langsung tiada mesej yang dihantarnya.

“Dah siap ke?” Puan Salmah menyapa. Wani menoleh dan kemudian mengangguk malas.

“Tak pergi tak boleh ke?”

“Jangan nak mengarut, jiran kita kan.”

“Seganlah umi.”

“Nak segan apa, kan dah jumpa semalam.”

“Dia segan dengan Farish aje tu umi.” Yazir yang muncul entah dari mana, menyampuk

“Dah jom, jangan nak mengada-ngada.” Puan Salmah pandang tajam bagai hendak tembus, Wani akhirnya mengalah.

Sebaik sampai, Wani terus duduk di satu kerusi yang agak tersorok. Matanya meliar mencari Farish di celah-celah tetamu yang hadir. Dia kecewa lagi.

“Hi, neighbour.” Seseorang menyapa. Gadis comel yang menyapanya itu adalah jirannya barunya merangkap adik kepada Farish, Alissya.

“Hi.” Wani senyum.

“Would you like to have a drink?,” tanya Alissya dengan slang Amerika.

“No, thanks.” Wani senyum.