BAB 8

“Apa ni?” Wani sikit terpinga-pinga, dipandang wajah Yazir kemudian ibunya.

“Hantar rumah sebelah,” jawab Yazir pendek.

“Wani tolong hantarkan karipap tu untuk Farish.” Puan Salmah pula bersuara. Wani cuba menggeleng dan entah macam mana dia melakukan perkara yang sebaliknya, dia mengangguk tanda setuju.

Wani bangun, bekas makanan itu dicapai. Dia melangkah dengan malas, keluar sahaja dia dari pintu, kakinya dijengket meninjau rumah sebelah. Kereta Toyota Cambry milik Farish masih ada di tempat letak kereta.

Letak kat atas tembok ni aje tak boleh ke, Wani berkira sendiri.

“Assalammualaikum.” Wani memberi salam agak kuat selepas loceng di pintu gate ditekan beberapa kali. Senyap.

“Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Sayup kedengaran suara Farish menjawab salam. Pintu kaca dibuka agak luas, dia melangkah menghampiri Wani yang berdiri masam di luar gate.

“Ni umi bagi.” Wani pandang wajah Farish sekilas sebelum dia tunduk memandang ke bawah. Dia dengan tidak semena agak gementar melihat penampilan tatkala lelaki itu menghampiri, dengan kemeja biru laut dan seluar khakis, Farish kelihatan begitu menarik.

Gila handsome mamat ni. Apasal malam tadi aku tengok biasa-biasa aje. Wani cuba berlagak selamba.

“Apa ni?” tanya Farish sebaik membuka pintu gate. “Karipap.” Pendek Wani menjawab. Sebaik bekas bertukar tangan, Wani cepat-cepat melangkah.

“Thanks,” laung Farish, dia hanya mampu memerhati Wani yang terus beredar tanpa menoleh lagi. Farish geleng kecil.

“Umi jangan suruh Wani hantar apa-apa dah kat rumah sebelah,” suara Wani tiba-tiba sebaik melintas di meja makan, dia terus melangkah ke tingkat atas.