BAB 4

“Eh, umi dengar ya?” Wani tersengih, cepat-cepat dilentukkan kepalanya ke bahu Puan Salmah. “Kamu tu Wani, cubalah macam perempuan sikit, ni rumah orang nak main terjah aje.”

“Umi ni, bila masa pulak Wani terjah rumah sebelah pulak?”

“Umi tak cakaplah rumah sebelah, rumah siapa-siapa ajelah. Cuba bersopan santun sikit, jadi perempuan sikit.” Wani pura-pura menguap mendengar bebelan ibunya itu. Dia memandang bapanya yang berpura-pura membaca suratkhabar. Dia tahu kalau hal-hal perempuan, bapanya malas hendak ambil port.

“Umur macam Wani ni kalau diikutkan dah boleh kahwin, dah boleh beranak-pinak.” Wani angkat kepalanya dari bahu Puan Salmah, berkerut dahinya memandang.

“Apa kahwin-kahwin pula umi ni, cerita beranak-pinak pun keluar sekali. Belajar pun tak habis lagi.” Wani gigit bibir bawahnya.

“Umi cakap ajelah. Umi teringin juga nak timang anak kamu. Tak kan nak tunggu umi dengan abah pakai tongkat baru kamu nak beranak.”

“Wani suruh bela anak kucing tak nak!”

“Anak kucing buat apa? Hish.”

“Suruhlah abang kahwin dulu,” pantas Wani bersuara sambil bibir muncung menghala ke arah Yazir yang sedang menjinjit kasut. Terpinga-pinga Yazir dibuatnya apabila tiga pasang mata itu memandangnya tanpa kelip. Terasa dirinya seperti penjenayah yang baru dijatuhkan hukuman mati mandatori!

“Kamu ni nak pergi mana Yazir?” soal Puan Salmah. Wani di sebelah angkat ibu jari tangan kanannya tinggi-tinggi. Dia perlahan-lahan bangun dari sofa.

“Abang nak tengok wayang cerita Isteri Aku Ustazah tu ibu. Senang nak cari calon menantu umi katanya nanti,” ujar Wani sebaik melangkah anak tangga pertama yang menuju ke tingkat atas. Yazir menjegilkan matanya mendengar kata-kata Wani.

Memang tak boleh harap punya budak!