BAB 1

‘’Aduh rimasnyalah! Time nak mencari ketenangan inilah juga ketenteraman awam diganggu!’’ getus hatinya.

Diselaknya langsir berenda putih lalu tingkap dibuka untuk melihat dari mana datang punca pencemaran bunyi itu. Rupanya bunyi bising yang datang dari rumah sebelah benar-benar mengganggu ketenteraman hari minggunya. Laptop yang yang dihadapnya sejak dua jam lepas ditutup kasar tanda protes, dia melangkah keluar dari bilik. Niatnya hendak ke tingkat bawah terbantut apabila melihat pintu bilik abangnya terbuka luas.

“Abang!” jerit Wani.

Yazir yang sedang memetik gitar di hujung katil mengangkat kepalanya. Wajah Wani yang tersengih-sengih dipandang malas sebelum dia memetik gitarnya semula.

“Abang!” jeritnya lagi.

“Apa?” Yazir meletakkan gitarnya di tepi meja. Hilang mood hendak mencari ilham dek suara Wani yang macam petir menyambar.

“Nak masuk boleh?” Wani tersengih lagi.

“Tak bagi masuk pun nanti masuk jugak, tak ada point pun nak minta kebenaran.”

“Hehehe.” Wani tersengih-sengih macam kerang busuk, dia melangkah masuk ke dalam bilik bercat biru yang konon-konon maskulin tu. Katil Yazir terus dihenyek macam setahun tidak bertemu katil beralaskan tilam empuk.

“Abang nak pergi dating yea?” usik Wani apabila dilihat abangnya berpakaian agak kemas. Yazir diam tidak menjawab.

“Abang nak keluar dating dengan Dhia yea. Mesti nak tengok wayang cerita Suami Aku Ustaz tu kan?” Wani terus mengusik.