BAB 3

Wani menjengah ke luar pintu, kakinya dijengket untuk melihat di sebalik tembok batu yang memisahkan rumahnya dengan rumah sebelah.

Wani perlahan-lahan menghampiri tembok yang tinggi paras matanya, tangannya memegang bahagian atas tembok itu dan lehernya dipanjangkan. Kelihatan seorang lelaki berdiri sambil memerhati barang-barang yang dipunggah keluar dari lori.

Wani terus memerhati lelaki itu dan entah macam mana lelaki itu memalingkan muka ke arahnya.

“Kalau nak stalk pun cubalah bagi salam!” Setepek ayat itu dilontarkan kepada Wani. Tepat, padu menusuk ke hatinya. Wani menjuih bibir. “Nanti rumah kau terbakar jangan harap aku nak tolong!!!” jerit Wani tapi dalam hati sajalah. Gila dia nak menggadai maruah perempuan melayu terakhir untuk lelaki yang entah siapa-siapa itu.

Wani cepat-cepat masuk ke dalam rumah, dia terus duduk di sebelah ibunya. Tangannya terus mencapai alat kawalan jauh di atas meja kaca di depan sofa. Puan Salmah jungkit kening memandang suaminya Encik Razlan yang turut terpinga-pinga melihat muka kelat Wani.

“Masamnya,” perli Encik Razlan.

“Orang sebelah taukeh kilang cuka ke?” tanya Wani tiba-tiba. Terbatuk Encik Razlan mendengar pertanyaan Wani.

“Kilang cuka kenapanya?” tanya Encik Razlan kembali. Wani pandang wajah bapanya kemudian ibunya. “Muka masam macam baru lepas berenang dalam kolam cuka aje.” Serentak Encik Razlan dan Puan Salmah ketawa mendengar kata-kata Wani.

“Kamu ni Wani ada-ada aje lah”

“Betullah umi. Umi pergi tengok sendiri. Ada ke dia cakap Wani stalk dia, Wani mengintai sikit aje kot. Bukan luak apa pun.”

“Umi dengan abah dah siap jumpa tadi. Umi tengok okey aje budak Farish tu, kamu ni aje yang ovet-reacting.

“Baru kenal dah nak back up orang sebelah pulak.” Wani bersuara perlahan.

“Jangan ingat umi tak dengar.”