BAB 9

Encik Razlan dan Puan Salmah berpandangan antara satu sama lain. Yazir sedang menikmati mee goreng turut berhenti mengunyah.

“Anak awak tu dah kenapa? Tak ada angin tak ada ribut, asyik nak moody aje?” tanya Encik Razlan.

“Entahlah abang. Saya tengok macam dia tak sukakan si Farish tu.”

“Budak tu baru pindah semalam, macam mana boleh tak suka pulak. Tak faham saya dengan budak-budak sekarang.” Encik Razlan geleng kepala. Puan Salmah angkat bahu.

Wani baring atas katil. Wajah Farish menerpa tiba-tiba. Perutnya tiba-tiba menjadi senak. Dia memejamkan mata, hatinya gelisah.

Aku suka dia ke?

Wani ketap bibir gugup.

Gila apa nak suka dia. Lelaki macam Hazim tu barulah taste aku.

Wani semakin menggelabah.

**********

Farish meletakkan bekas makanan yang berisi karipap itu di atas meja. Dia duduk dan tangannya mencapai telefon bimbitnya. Mesej yang baru diterimanya dibaca dengan senyuman bergaris di bibirnya.

Farish letak semula telefonnya di atas meja, karipap di dalam bekas biru itu dicapai. Tatkala karipap itu menyentuh bibirnya, terus dia terbayang wajah Wani.

Gadis cantik berkulit putih merah itu persis gadis cina cuma, matanya agak besar. Farish akui, memang Wani boleh dikategorikan sebagai gadis yang cantik, mungkin cuma perwatakannya agak kebudak-budakkan.

Sehinggalah dia bersiap hendak ke pejabat wajah Wani terus membayanginya. Sampai sahaja di pejabat Farish menghampiri meja setiausahanya, Tiana. Gadis bertudung satin merah itu segera bangun apabila melihat Farish.