BAB 14

“Assalammualaikum. Bukan ke lagi elok kalau jawab salam ni dulu.” Terpana Wani seketika membaca bait kata itu. Malas berteka-teki Wani mengambil keputusan mendail nombor tersebut. Tiga kali mendail baru panggilannya diangkat.

“Assalammualaikum Wani,” suara di hujung talian memberi salam. Wani terdiam agak lama kerana dia cukup mengenali suara itu.

“Waalaikummussalam,” jawabnya perlahan, dia mula gugup. Terus wajah Farish yang sedang tersenyum sinis menerpa mindanya.

“Mana dapat nombor Wani?” tanya Wani.

“Minta dengan umi.”

“Kenapa minta dengan umi?”

“Saja.”

“Mesej Wani kenapa?”

“Saja.” Suara Farish di hujung talian, entah macam mana kedengaran agak sensual di telinga Wani. Jantungnya kian kuat debarannya. Nasib baik Farish tidak berada di hadapannya kalau tidak mungkin dia sudah lari masuk dalam bilik air.

“Kenapa diam?” tanya Farish. Wani terus hilang kata.

“Wani..,” panggil Farish.

“Ya,” jawab Wani gugup.

“Dah jumpa lala?” tanya Farish. Wani spontan ketawa. Terus kejadian memalukan itu bagai terpapar di ruang matanya.

“Wani.” Panggil Farish lagi, suaranya kedengaran semakin sensual. Wani diam tidak menjawab. Gugup dengan situasi ketika itu. Tiga minggu tidak melihat Farish, dia akui ada sekumit rasa rindu dengan lelaki itu.

“Perkenalan kita tak berjalan dengan lancar. Maybe we should start it all over. I have to admit maybe i have a little crush on you.” Wani hilang kata, wajahnya terasa membahang. Hatinya berbunga-bunga.