BAB 2

Yazir diam malas melayan. Dia cukup masak dengan perangai Wani yang terkenal dengan mulut becoknya. Nanti habis dijaja halnya dengan Dhia dengan ibunya, apa dia nak menjawab nanti.

“Jangan sibuklah Wani. Kalau nak menyibuk sangat, pergi rumah orang sebelah tu.”

“Apa yang bising sangat tu abang. Buat renovation ke apa?”

“Pindah masuklah.”

“Pindah apa bunyi macam kat kuari pecah batu aje. Rumah kita bergegar sekali.”

“Abang rasakan baik Wani pergi menyibuk kat sebelah daripada menyibuk kat sini. Untung-untung ada pakwe hensem,” ujar Yazir dalam usaha mengusir Wani keluar dari biliknya. Kalau dibiarkan mahu bertapa sampai ke petang, tak terlayan dia dengan perangai adiknya itu.

“Eleh macamlah Wani tak tahu, abang nak halau Wani kan?”

“Dah tahu lagi nak banyak tanya. Dah sshuhhh..shhuhh.” Yazir mengibas-ngibaskan tangannya seperti menghalau ayam lagaknya. Wani menjuih bibir, dia bangun dan berjalan dalam keterpaksaan menghala ke pintu.

“Beritahu umi abang nak keluar dengan Dhia baru tahu,” ugut Wani sambil mencekak pinggang di hadapan pintu bilik Yazir.

“Buatlah kalau berani. Abang suruh abah cut off wifi baru tahu, menganga tak dapat nak stalk facebook Hazim.” Yazir angkat kening dengan senyum simpul tanda mengugut. Wani mengetap bibir geram, dia menjelir lidahnya sebelum melangkah menuruni anak tangga yang menuju ke tingkat bawah. Sampai sahaja di ruang tamu, dilihat kedua ibubapanya sedang berbual. Entah apa yang dibualkan sehingga kehadirannya langsung tidak mereka sedari.