BAB 6

“Dahlah tu. Pukul berapa nak hidang makan malam ni,” suara Puan Salmah dari dapur. Wani cepat-cepat melangkah ke dapur dan fikirannya terus terganggu dek kehadiran Farish.

“Rasalah masak lemak ni makcik.” Farish bersuara sambil menceduk masak lemak ayam yang dibawanya tadi ke dalam pinggan Puan Salmah.

“Kamu buat ke? Pandainya, kalau si Wani ni bukan kata masak lemak, goreng telur pun hangit lagi,” kata-kata Puan Salmah disambut tawa Farish dan Encik Razlan. Yazir yang duduk berhadapan dengan Wani juga tidak dapat menahan ketawa. Wani pula, merah wajahnya menahan malu dan geram. Langsung hilang kata, apabila melihat senyum sinis di bibir Farish hatinya bertambah sakit.

“Hm..sedaplah Farish. Dah boleh buka kedai ni,” seloroh Encik Razlan sebaik masak lemak ayam itu dijamahnya. Farish tersenyum menerima pujian itu. Matanya melirik memandang Wani yang tunduk memandang pinggan, langsung tidak mahu memandangnya.

“Wani kamu tak nak rasa ke? Nanti boleh belajar masak dengan Farish tengah-tengah cuti sem macam ni daripada asyik mengadap laptop aje. Malulah Farish yang lelaki ni boleh memasak sesedap ni.” Puan Salmah tidak habis lagi memuji, membuatkan Wani bertambah meluat. Satu persatu wajah di meja makan itu diperhatikannya. Semuanya seperti sedang menikmati makan malam yang menyeronokkan kecuali dirinya dan apabila matanya berhenti di wajah Farish, rasa menyampah terus membara.

“Bajet sangat!” suara Wani tanpa sedar suaranya cukup jelas didengari semua yang berada di meja makan itu. Farish berhenti mengunyah, begitu juga Encik Razlan, Puan Salmah. Yazir membuntangkan matanya.

“Bajet apa Wani?” tanya Encik Razlan.

Wani gigit bibir, wajah terasa panas membahang. Semua pandangan berpusat kepadanya. “Er..bajet..bajet 2016. Bila agaknya PM kita nak bentangkan bajet 2016.” jawab Wani tersekat dan dia perasan pandangan mata Farish yang agak sinis. Sumpah, tiba-tiba dia rasa dirinya mengecil macam Alice dalam cerita Alice In Wonderland, cuma masalahnya, Farish bukanlah Mad Hater berambut merah seperti Johnny Deep yang kelakar.